BHB - Bab 1

NIA duduk di atas katil yang bercadar putih bersih itu dengan memakai pakaian pengantin berwarna ungu lembut. Tambah ayu lagi apabila dia memakai tudung menutupi kepalanya. Terdapat sehelai selendang di bahagian atas kepalanya, ala-ala Waheeda. Walaupun dia kelihatan cantik dan ayu berpakaian sebegitu, namun wajahnya tidak sebegitu. Keserian pengantin yang terpancar hanyalah dibuat-buat sahaja. Para tetamu yang hadir tidak mengetahui apa yang bermain di dalam hatinya. Cecair jernih mula keluar dari kelopak matanya dan mengalir perlahan ke bahagian pipi.
“Riq, maafkan Nia,” ucapnya sayu lalu menundukkan kepala.
Cepat-cepat Nia menyeka air matanya dengan hujung jari apabila pintu bilik dibuka.
“Kau menangis, Nia?” soal Najla yang baru memasuki bilik pengantin. Terus duduk bersebelahan dengan Nia.
“Taklah,” balas Nia dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Jangan tipu, Nia. Aku tahu kau menangis. Kenapa kau menangis?”
“Aku tak menangis.” Nia masih tidak mengaku.
“Habis tu kenapa mata kau berair?” soal Najla sedikit mendesak.
“Aku… aku sedih sebab terpaksa berpisah dengan mak dan abah aku,” bohong Nia. Tapi memang benar tercalit juga sedikit kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan orang tuanya.
Najla menggeleng-geleng kepalanya. Bukannya dia tidak tahu apa yang sedang bermain di jiwa Nia, tapi dia masih sengaja menyoal. Dia juga perempuan, dia dapat rasa apa yang Nia rasa sekarang ini. Bercinta dengan orang lain tapi terpaksa berkahwin dengan orang lain.
“Sudah, mari sini aku betulkan semula mekap kau tu,” ajak Najla tidak mahu terus menekan Nia.
Nia hanya menurut.
“Nia, kau fikir apa yang kau buat ini betul ke?” soal Najla.
“Kenapa, Naj?”
“Baru dua minggu dia pergi meninggalkan kita. Tup tup, kau nak kahwin dengan Adam. Kau tak kesiankan arwah ke?” Lancar sahaja mulut Najla menyoal. Solekan yang dikenakan pada wajah Nia terhenti.
“Naj, kau tak faham apa yang aku rasa sekarang ni. Ini amanat arwah. Aku bukan suka-suka kahwin dengan Adam. Aku tahu ini bukan main pondok-pondok.” Nia cuba menerangkan apa yang terbuku di hatinya.
“Aku faham, Nia. Tapi aku cuma risaukan kau. Kau yakin kau boleh bahagia dengan Adam sekiranya perkahwinan ini kau anggap sekadar untuk melaksanakan amanat arwah?” soal Najla memandang tepat wajah bujur sirih Nia.
Nia diam membisu, menundukkan kepala. Soalan Najla itu tidak mampu dijawab melainkan…
“Naj, tolong faham situasi aku,” balas Nia lirih.
“Aku faham, Nia. Aku faham dan aku dapat rasa apa yang kau rasa sekarang ni. Aku tahu kau tertekan. Bukan niat aku nak tambahkan lagi tekanan kau. Tapi kau harus fikirkan masa depan kau juga,” pujuk Najla sambil menggenggam tangan sahabatnya itu.
“Apa yang patut aku buat sekarang, Naj?”soal Nia semakin buntu. Pernikahannya
akan dilaksanakan sebentar lagi, takkan hendak dibatalkan? Air hangat mula bertakung di kelopak matanya.
“Kau yakin Adam cintakan kau?” soal Najla.
Nia diam memikir. Dia hanya mengangguk sebagai jawapan.
“Kau yakin Adam dapat membahagiakan kau?
Anggukan lagi sebagai jawapan kepada Najla. Entahlah anggukan pasti ataupun tidak.
“Kau yakin kau boleh bahagia bersama Adam?”
“Aku boleh cuba lakukannya,” balas Nia kali ini tanpa anggukan.
“Kalau itu yang kau fikirkan, terserahlah pada kau. Aku harap kau sudah fikir semasak yang boleh. Kau dengan Adam bukan hidup bersama untuk sehari dua mahupun setahun dua, tapi untuk selamanya. Aku sentiasa mendoakan kebahagaiaan kau orang berdua,” terang Najla mengingatkan Nia. Walaupun Najla belum berkahwin atau berpengalaman dalam hal rumah tangga, namun benar apa yang dikatakannya itu.
“Terima kasih, Naj,” balas Nia sambil memeluk Najla.
“Aku harap kau tak menyesal dengan apa yang kau lakukan ini,” bisik Najla halus ke telinga Nia.
“Sudah, tak baik pengantin menangis. Nanti hilang serinya,” tambah Najla lagi lalu meleraikan pelukan.
“Sebenarnya kau bukan risau hilang seri tapi kau takut solekan kau comot, kan?” soal Nia kali ini. Barulah dia senyum dengan betul.

MAJLIS pernikahan Adam dan Nia dilangsungkan secara sederhana. Majlis akad nikah diadakan di rumah berkembar dua tingkat Adam sekali gus dengan majlis bersanding. Majlis mereka tidak seperti pasangan pengantin yang lain. Duduk di atas pelamin yang begitu gah, cantik dan bersesuaian dengan majlis pernikahan yang dianggap hari yang paling berbahagia dan ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang bercinta.
Ini adalah kehendak Adam dan Nia sendiri. Mereka bukanlah seperti pasangan lain; merpati dua sejoli. Hubungan yang pernah terjalin dahulu hanyalah sekadar sahabat baik.
Keluarga mereka tidak mampu untuk membantah. Masing-masing tahu yang anak mereka itu sudah besar. Mampu untuk berfikir yang mana baik dan buruk. Bukannya kerana mereka langsung tidak mengendahkannya atau tidak mengambil tahu, tapi mereka terpaksa menjaga hati anak-anak mereka itu sendiri. Mereka harus faham situasi Adam dan Nia. Mereka juga pernah remaja. Perasaan orang remaja sememangnya lain. Lagipun, tiada apa yang hendak dihalang kerana kedua-dua belah pihak keluarga memang mengenali bakal menantu mereka itu walaupun tidak berapa rapat.
Jam sudah menunjuk ke angka 11.00 malam, namun Adam masih lagi berada di ruang tamu rumah yang dibiarkan gelap. Dia selesa begitu. Langkahnya yang sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri itu akhirnya terhenti. Punggungnya dihenyak ke atas sofa, berserta dengan keluhan berat.
Malam ini adalah malam pertamanya dengan Nia. Bagi pasangan lain malam ini adalah malam yang terlalu bermakna sehinggakan tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Tapi tidak bagi Adam.
Fikirannya berkecamuk. Setiap kali dia bersuara pasti ada saja yang dibidas oleh kata hatinya. Semakin bercelaru dia dibuatnya. Hendak mengikut kata hati atau haknya?
Hendak tidur sebilik dengan Nia atau tidak? Itulah persoalannya. Walaupun persoalan itu nampak terlalu remeh dan biasa, namun ianya berbisa kerana jika tersalah langkah mungkin sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku. Itulah yang bermain di fikirannya sejak tadi.
Kalau ikutkan hukum, Nia sudah menjadi haknya. Dia sudah boleh menyentuh Nia kerana mereka sudah pun menjadi suami isteri. Apatah lagi tidur sekatil dengan Nia. Dia juga boleh minta apa yang sudah menjadi haknya daripada Nia.
Namun tetap difikirkan kata hatinya: Bagaimana dengan penerimaan Nia? Tidakkah dia akan terkejut melihat aku terpacak di hadapan pintu bilik? Adakah dia akan menjemput aku masuk atau menghalau aku keluar dari bilik itu?
Kalau dia panggil aku sekalipun, apa yang boleh aku buat? Pasti aku hanya kaku di situ. Lebih baik aku tidur di luar. Aku pasti dia masih teringatkan arwah Ariq. Bukankah perkahwinan kami hanya untuk menunaikan amanat arwah? Tak mungkin dia akan menjemput aku masuk.
Kalau dia halau aku, padan dengan muka aku. Kahwin dengan orang yang tidak mencintai aku. Tapi kalau betul dia tidak mencintai aku, kenapa dia sanggup menerima lamaran aku? Kenapa dia sanggup menghabiskan masanya untuk hidup bersama aku? Kenapa?
Adam menanggalkan kaca matanya yang bertenggek di atas batang hidung terlebih dahulu sebelum meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Peluh yang memercik keluar dari dahi dikesat dengan tangan.
Sebab ini adalah amanat arwah Ariqlah, ngok! Bukankah dia terlalu mengasihi Ariq. Sudah tentu dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat merealisasikan kehendak orang yang tersayang. Tambahan pula apa yang diminta oleh arwah Ariq adalah amanat terakhirnya.
Tanpa sedar Adam sudah pun memburuk-burukkan Nia dan arwah rakan baiknya sendiri. Ah! Apa yang aku cakap ni? Adam beristighfar panjang. Apa yang patut aku buat sekarang?
Adam semakin tidak tahu apa yang sebenarnya hendak dicari sekarang ini. Memang betul apa yang diperkatakan: Apabila berada berdua-duaan lelaki dan perempuan, pasti akan ada makhluk yang ketiga.
Ariq, kenapa kau buat aku begini? Memang aku cintakan Nia, tapi itu semua dulu. Dia hanya cintakan kau, Riq. Bukan niat aku untuk menyalahkan kau, tapi aku tak mampu mencurahkan kasih sayang pada orang yang tak sudi. Aku hanya mampu menjaga dia bagi pihak kau, Riq. Tapi aku tak mampu membahagiakan dia seperti mana dia bahagia di samping kau, keluh Adam sayu apabila teringatkan arwah Ariq.
Adam bangun daripada duduk. Berjalan ke kanan dan ke kiri seperti tadi. Jawapan masih belum ditemui. Apa yang patut dilakukannya? Jarum jam semakin hampir menunjuk ke angka 12.00 tengah malam.
“Adakah Nia sedang menantikan aku?” soal Adam perlahan.
Buat apa pulak! Pasti dia sedang asyik dibuai mimpi indah mengingatkan memori bahagia yang pernah dikecapi bersama Ariq? bidas hati kecilnya.
“Apa yang patut aku lakukan ni?”
Apa kata kau masuk saja bilik tu dan terus tidur di sisi Nia? cadang hatinya.
“Bukankah itu bermakna aku seorang penceroboh?”
Ah lantaklah! Penceroboh apanya? Itukan hak aku! tegas Adam.
Dalam kegelapan Adam berjalan perlahan-lahan menghampiri anak tangga. Tangannya meraba ke kiri dan kanan untuk ke tingkat atas. Kelihatan cahaya lampu masih terang-benderang dari dalam bilik pengantin sebaik Adam sampai ke kemuncak tangga itu.
“Nia belum tidur lagi?” soal Adam sendirian sambil mengerut dahi.
Langkah diatur menghampiri bilik itu. Sayup-sayup kedengaran suara Nia membaca ayat suci al-Quran. Semakin dekat Adam dengan bilik itu, semakin jelas sampai ke telinganya surah yang sedang dibaca oleh Nia.
Langkah Adam terhenti di hadapan bilik itu. Pintu dibukanya sedikit agar dapat melihat wajah Nia.
Tekun benar Nia membaca surah Yassin pada malam-malam sebegini, bisik hati kecil Adam sebaik terpandang Nia yang memakai telekung sembahyang. Duduk di atas sejadah. Perlahan-lahan daun pintu itu ditutup semula. Adam melepaskan keluhan lalu menyandarkan tubuhnya pada dinding. Orang lain menganggap malam ini malam yang paling bahagia buat pasangan pengantin baru, tetapi tidak oleh Adam. Bahagia itu tidak dikecapinya.
“Ah! Apa dah jadi dengan aku ni? Bukan nafsu yang aku cari, tapi aku sedang mencari seorang isteri yang baru aku nikahi. Isteri?”
Andaian Adam mengatakan Surah Yassin yang dibaca oleh Nia dengan penuh kelembutan di sebalik kesayuan mengingatkan orang yang tersayang adalah dihadiahkan khas buat arwah Ariq.
Bukannya dia cemburukan arwah Ariq kerana lebih dipentingkan oleh Nia, tapi hati kecilnya sedikit terguris. Dia amat mengetahui apa yang dirasakan oleh Nia. Masakan tidak, selama enam tahun mereka berkawan sudah pasti Adam dapat mentafsirkan sesuatu dari apa yang dilihat sepanjang hubungan Nia dan Ariq.
Ariq adalah cinta pertama Nia. Kata orang cinta pertama memang sukar untuk
dilupakan. Ya, memang benar. Penangan cinta pertama terlalu dahsyat.
Langkah diatur perlahan meninggalkan bilik itu. Adam mengambil keputusan untuk tidur di bilik sebelah. Haruskah dia memaksa Nia sekiranya gadis itu sendiri masih tidak dapat menerimanya? Masih tidak dapat melupakan insan yang pernah dicintainya?
Tidak! Aku tidak harus memaksanya. Aku sendiri tidak percaya sekarang ini aku sudah pun mengahwini kekasih sahabat kusendiri. Bukan dia seorang sahaja yang masih belum bersedia untuk menempuhi alam rumah tangga ini, aku juga begitu. Aku masih mentah. Aku masih belum mengetahui apa itu sebenarnya maksud perkahwinan, luah Adam.
Lagipun masih baru lagi arwah pergi meninggalkan mereka. Adam sendiri masih belum dapat menutup buku kenangannya selama enam tahun bersama sahabat yang sudah dianggap seperti saudara sendiri. Suka dan duka ditempuhi bersama, melainkan rahsia penyakit yang membawa maut itu.
Sebelum masuk ke dalam bilik sempat Adam menoleh sekali lagi. Melihat bilik Nia. Daun pintu itu masih tertutup rapat seperti yang ditinggalkannya sebentar tadi.

0 ulasan:

 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon