ADDC - Prolog

1997
DEWAN Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur kelihatan sedikit sesak. Kedengaran juga riuh-rendah suara pelajar-pelajarnya yang tidak sabar menanti untuk mengambil slip keputusan SPM. Selama dua tahun mereka bertarung untuk satu peperiksaan terbesar yang mana bakal menentukan masa depan mereka.
Di satu sudut, kelihatan pelajar-pelajar 5 Sains 1 sedang berkumpul. Ada yang berpegangan tangan, berpelukan dan ada juga yang berbual selamba seolah yakin bakal mendapat keputusan yang cemerlang. Mungkin juga kerana ini sekolah berasrama penuh, jadi mereka lebih terdidik kepada pembelajaran, kerohanian dan jasmani berbanding sosial.
Tisya yang baru sampai terus melangkah menghampiri Nija, rakan baiknya sejak tingkatan empat lagi. Mereka saling berpelukan. Melepaskan rindu yang sudah bersarang.
“Kenapa kau lambat, Tisya?” soal Nija sambil mencemik muka. Tisya hanya tersenyum.
“Nanti dah dapat keputusan terus call ibu. Ibu tunggu,” pesan Puan Zahra ketika menurunkan Tisya di hadapan pintu pagar utama.
Masih terdengar lagi pesanan ibunya, Puan Zahra memukul gegendang telinganya. Tisya senyum sendiri. Masak sangat dengan perangai ibunya yang satu itu. Risau mengalahkan dirinya, bagaikan ibunya pula yang ingin mengambil keputusan. Tisya tahu, kalau dia tidak membantah tadi, pasti ibunya akan berkeras untuk turut serta bersamanya di sini. Ermm… nasib baik setelah dipujuk rayu, ibunya mengalah juga akhirnya. Itu pun dengan syarat. Kena telefon setelah selamat mendapat keputusan.
Hari ini hari terakhir Tisya di sekolah itu, jadi pastinya Tisya ingin meluangkan masa bersama rakan-rakannya sebelum masing-masing kembali ke daerah masing-masing. Nama pun sekolah berasrama penuh, kan. Pastinya para pelajarnya tidak terdiri dari satu kawasan sahaja. Kalau tak digunakan hari ini dengan sebetulnya, bila lagi nak jumpa, kan? Entah tahun bilalah. Jadi… pastinya Tisya tidak akan mempersia-siakan saat ini. Dia akan menjadikan kenangan hari ini sebagai satu kenangan untuk hari esok. Itu janjinya dalam diri. Itulah alasan yang telah diberikan pada ibunya tadi. Nasib baik ibunya faham.
“Kau rasa, kau akan dapat berapa A?” soal Nija ingin tahu tahap angan-angan kawannya itu.
Lamunan Tisya hilang ghaib entah ke mana. Tisya hanya tersenyum sebagai jawapan. Dia tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia sendiri tidak dapat memikirkan keputusan yang bakal dia terima nanti. Tidak mahu memasang angan-angan. Takut!
“Cikgu Zainal mana?” soal Tisya sambil memandang Nija, Lia, Mila dan Qis.
“Kat pejabat kut. Tengah ambik result agaknya,” balas Mila.
“Yang kau terkepit-kepit macam nak terkencing ni kenapa? Kau gabra ke?” soal Nija yang tidak senang melihat perubahan rakannya itu. Dia kenal siapa Tisya. Mereka pernah tingal satu dorm, jadi dia masak benar dengan diri Tisya. Malah kerana sifat selamba Tisya itulah yang mengeratkan lagi persahabatan mereka.
“Mahunya aku tak gabra. Kalau apa yang aku target tak dapat, mesti aku kena ceramah motivasi ngan mak aku tiga hari tiga malam punyalah. Kau macam tak kenal ngan mak aku tu. Along aku dulu pelajar cemerlang, jadi aku kena lawan atau duduk selevel ngan dia. Kalau tak… Hurm…” Di akhirnya, Tisya mengeluh.
“Itu aku tahulah, tapi cara kau ni buat aku rimaslah,” rungut Nija lagi.
Tiba-tiba kedengaran suara Encik Malik, Pengetua Sekolah Menengah Sains Alam Shah selama lima tahun. Serentak dengan itu semua pelajar terdiam. Tanda hormat. Encik Malik mengarahkan pelajar-pelajarnya mengikut guru tingkatan masing-masing pulang ke kelas. Encik Malik juga sempat memuji pelajar-pelajarnya. Tahun ini peratus kecemerlangan meningkat lagi. Sekolah Menegah Sains Alam Shah menjadi salah sebuah sekolah terbaik di Kuala Lumpur.
Mendengar kata pujian itu, barulah Tisya dapat melepaskan sedikit sesak yang membungkam di dada. Dalam hati sempat dia berdoa agar dia salah seorang daripada pelajar cemerlang yang disebutkan itu. Walaupun bidang sains bukan pilihannya—sebaliknya pilihan ibunya, namun Tisya tetap belajar bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu menghampakan ibu bapanya. Mungkin bila menjejakkan kaki ke universiti kelak, barulah dia akan mengambil bidang yang dekat dengan jiwanya.
“Semua dah ada ke, Adha?”
Semua anak mata pelajar 5 Sains 1 terarah pada Cikgu Zainal. Mereka langsung tidak perasan sejak bila guru tingkatan mereka yang sporting itu berdiri di situ.
Adha memandang sekeliling. Melihat wajah-wajah rakan yang lain sebelum menjawab pertanyaan Cikgu Zainal.
“Razen dengan Qimie tak ada, cikgu. Dia orang pergi tandas agaknya.”
Cikgu Zainal mengangguk sebelum bersuara kembali. “Tak apalah. Yang lain boleh ikut saya kembali ke kelas yang pernah awak buat sepah dan rasa tension bila duduk dalam tu. Adha, tolong pergi cari Razen dan Qimie, suruh mereka ke kelas dengan kadar segera. Awak tu jangan melencong pulak,” ujar Cikgu Zainal tegas. Sempat juga dia menyelitkan memori yang bakal ditinggalkan pelajar-pelajarnya. Sempat dia menjeling Tisya.
Ada beberapa pelajar yang tersenyum sesama sendiri. Memang benar apa yang dikatakan cikgu mereka itu. Terutama kelas yang bersepah sehinggakan mereka diberi pingat iaitu berupa sebuah baldi, mop dan pencuci lantai kerana berjaya merangkul anugerah kelas terkotor pada minggu itu.
Tisya tertunduk malu. Dia tahu Cikgu Zainal sengaja mengusiknya. Yalah, dia ketua kebersihan, tapi harus diingat, lepas dinobatkan sebagai kelas terkotor, minggu seterusnya kelas 5 Sains 1 dapat merangkul kelas tercantik. Lima minggu berturut-turut pulak tu. Tisya tersenyum bangga mengingatinya. Mana tidaknya, penat dia bergaduh dengan rakan kelas yang lain terutama Fezrul, budak braces yang malas melakukan tugas seperti yang diaturnya.
Jangan ingat budak pandai ni semuanya dengar cakap. Lagi dia pandai, lagi banyak dia menjawab. Lagi banyak alasan yang mereka cipta, ngomel Tisya dalam hati.
“Cikgu Zainal senyum kat kau tu, kau tak tergoda ke?” bisik Nija pada Tisya saat mereka melangkah menuju ke kelas.
“Otak kau! Dia dah kawinlah, sengal,” marah Tisya.
Nija tersenyum sendirian. Kini baru dia nampak perwatakan sebenar rakannya itu.

“PATUT tak aku…”
Qimie yang sibuk membelek diri di depan cermin memandang sekilas ke arah
Razen apabila terdengar suara rakannya itu. Tapi bila dilihatnya tiada sebarang reaksi yang menyusul, dia kembali membelek dirinya. Memperkemaskan baju, rambut… semualah. Mengalahkan perempuan. Setelah berpuas hati, barulah dihalakan bola matanya pada Razen yang nampak seperti sedang berfikir sesuatu. Seperti cacing kepanasan pun ada juga. Menggelabah semacam saja. Kening Qimie di angkat sedikit apabila pandangan mereka bertemu.
“Tak ada apalah…” balas Razen lemah sambil menyandar tubuh pada dinding tandas.
Apa hal pulak dengan kawan aku seorang ni. Lain macam aje aku tengok. Tak macam biasa. Gelisah semacam. Isy… Isy… Isy… Parah ni, bisik Qimie sendiri.
Qimie kembali memerhati pergerakan Razen. Tidak sampai seminit sudah tiga kali keluhan dilepaskan rakannya itu. Malah dia tak henti-henti bermain dengan jari-jemarinya sendiri seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kau tengah risau pasal result ke?” soal Qimie yang sudah mula rimas.
Razen menggeleng tanpa memandang wajah Qimie. Pandangannya tertumpu pada lantai.
“Habis tu?”
Sekali lagi keluhan berat melalui mulut dan hidung Razen serentak.
“Kau ingat lagi tak dulu aku pernah cakap kat kau pasal…” Razen tidak meneruskan bicaranya. Dia seolah-olah malu hendak menyatakan apa yang bersarang di hatinya kini. Malu untuk berkongsi kisah dengan kawannya itu.
“Pasal apa? Kau ni… dari kita tingkatan empat lagi, cakap tak pernah nak yakin. Cuba sesekali kau yakin pada diri sikit macam kau selalu jawab exam. Penuh yakin dan confident. Mesti resultnya tak mengecewakan. Ini mesti pasal…” Qimie sengaja tidak meneruskan kata-katanya. Dia tahu sahabatnya itu faham akan apa yang dia maksudkannya itu.
Kali ini Razen mengangkat muka. Memandang tepat wajah Qimie. Direnung bebola bulat itu. Dia seolah sedang melihat wajah Tisya, Ainul Batrisya. Gadis yang memiliki mata yang cantik dan kulit putih gebu di sebalik penampilannya yang sedikit lasak itu. Kini barulah dia mendapat keyakinan untuk bersuara.
“Ermm… ha’ah pasal Tisya. Aku rasa dah sampai masa aku berterus-terang dengan dia. Apa pendapat kau?”
Qimie merapati Razen. Ditepuk-tepuk bahu temannya itu. “Ha! Macam itulah. Yakin! Ini depan aku pun bukan main susah kau nak cakap, depan dia apa lagi. Razen, Razen. Ermm… aku rasa elok jugak. Sampai bila kau nak pendam, kan? Mungkin ini masanya.”
Tiba-tiba Adha masuk ke dalam tandas. Macam orang tengah buat serangan hendap saja. Terkejut Razen dan Qimie dibuatnya.
“Wei! Cepatlah, result dah keluarlah. Cikgu Zainal tunggu kat kelas. Jomlah,” ujar Adha seolah tidak sabar mengambil sekeping kertas yang sangat bernilai itu.

“TISYA…”
Tisya tersentak mendengar Cikgu Zainal memanggil namanya. Segera dia bangun, mengatur langkah dan berdiri di hadapan. Sebentar tadi Cikgu Zainal sudah berpesan, nama siapa yang dipanggil sila tampil ke hadapan.
Jantung Tisya berdegup pantas. Dia tidak tahu apa sebabnya.
“Razen…” panggil Cikgu Zainal sambil melihat wajah anak muridnya yang duduk di tempat masing-masing.
Tisya turut memandang mencari wajah Razen. Teman yang banyak membantunya.
“Saya, cikgu,” ujar Razen sambil melangkah masuk ke dalam kelas bersama Qimie dan Adha.
Razen pura-pura tidak nampak Tisya yang sedang berdiri di hadapannya sambil tersenyum. Bukan sengaja dia bersikap begitu, tapi tiap kali melihat Tisya, jantungnya semakin berdegup kencang sehingga sukar dikawal. Nak pula bila nampak Tisya senyum, mahu berterabur jantung dia atas lantai.
“Okey, berdiri kat sebelah Tisya. Qimie dan Adha boleh duduk,” ujar Cikgu Zainal sambil tersenyum lebar. Slip keputusan Tisya dan Razen dipegangnya. Langkah diatur mendekati kedua muridnya itu.
“Siapa sokong kalau kita satukan dia orang berdua?” soal Cikgu Zainal tiba-tiba membuatkan seisi kelas yang nampak serius dan takut menjadi sedikit riuh. Gelak tawa dan sokong menyokong silih berganti.
Tisya dan Razen terkejut. Mereka berpandangan dengan wajah blur.
“Tak sesuailah, cikgu. Kalau Tisya dengan saya lebih sesuai kut,” sampuk Fezrul sambil disokong rakan-rakannya.
“Diamlah kau budak braces yang sengal! Cikgu ni, orang dahlah tengah gelabah, boleh pulak dia nak buat lawak,” marah Tisya sambil mencebik bibir.
Senyuman masih meniti di bibir Cikgu Zainal. “Alah… takkan saya nak bergurau sikit pun tak boleh kut?” ujar Cikgu Zainal sambil memberi slip keputusan pada Tisya dan Razen.
Kedua mereka mengambil dan meneliti sebelum menjerit gembira. Hampir-hampir juga mereka berpeluk kerana gagal mengawal diri. Nasib baik!
Razen bersalaman dengan Cikgu Zainal. “Terima kasih, cikgu.”
“Razen dan Tisya pelajar terbaik sekolah kita. Tahniah!” ujar Cikgu Zainal diiringi dengan senyuman yang meleret. Senyuman penuh bangga mungkin.
Tepukan gemuruh mula bernada di dalam kelas itu.
Cikgu Zaianl terus mengedar keputusan kepada anak muridnya. Dia bersyukur kerana kesemua anak muridnya berjaya mendapat markah yang cemerlang. Dia tersenyum lagi. Bangga dengan kejayaan yang di kecapi oleh para pelajarnya.

SUASANA kelas yang tadinya penuh suspens kini bertukar hingar-bingar. Almaklum sajalah, semua mendapat keputusan cemerlang dan hari ini hari terakhir mereka bersama. Selepas ini masing-masing akan meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi lagi. Tak perlu lagi pakai baju putih, kain biru, seluar hijau dan tali leher. Lepas ini boleh bergaya dengan apa saja fesyen yang diingini.
“Cepatlah wei, kita ambik gambar sekelas. Cikgu Zainal pun jomlah join sama. Cepat! Semua masuk!” suara Qis, bendahari kelas menyelit dalam hingar-bingar itu memanggil sahabat yang lain berkumpul di hadapan kelas termasuk Cikgu Zainal.
Tisya, Nija, Qis, Mila dan beberapa budak perempuan yang lain duduk di atas kerusi bahagian depan mengapit Cikgu Zainal yang duduk di bahagian tengah.
“Tak muatlah, rapat-rapat sikit. Budak laki janganlah main-main,” ngomel pelajar kelas sebelah yang diminta mengambil gambar.
“Wei, kau ke tepi! Ni tempat aku.” Dalam kekecohan itu sempat juga Fezrul berebut tempat dengan Razen.
“Kan aku yang sampai dulu, kau carilah tempat lain…” balas Razen. Dia tahu kenapa Fezrul ingin berebut tempat dengannya. Fezrul cemburu kerana dia berdiri di belakang Tisya. Ini kali terakhir mereka merakam kenangan. Jadi, jangan haraplah aku nak ubah tempat lain. Inilah yang akan menjadi kenangan aku nanti, bisik Razen dalam hati.
Tisya menoleh ke belakang melihat Fezrul dan Razen yang sedang tolak-menolak. Ketika itu Fezrul tersengih sambil mengenyit mata. Tisya menjeling.
“Sengal!”
Nija yang duduk di sebelahnya tersengih. Apa tidaknya, satu kelas sudah sedia maklum si budak braces nakal dan handsome itu memang suka mengusik Tisya.
“Okey, ready ya. Satu, dua, tiga,” laung pelajar kelas sebelah itu menyuruh pelajar 5 Sains 1 bersedia.
“Fezrul!” Tisya menjegilkan matanya yang bulat dan bercahaya itu. Bagaikan mata srikandi.
Tapi berlainan pula reaksi Fezrul. Senyuman meniti di bibirnya. Dia suka melihat gadis itu marah. Tiap kali melihat Tisya marah, dia seolah merasakan sedang meniti jambatan mesra. Ini kerana tiap kali gadis itu dalam keadaan marah, hanya dalam situasi sebegitu sahaja dia dapat memanggil gadis itu dengan panggilan yang tak dapat diucapkan ketika mereka duduk tanpa rasa marah.
“Alah… janganlah marah, sayang. Abang cuma nak rakamkan kenangan kita bersama aje.”
Sah dia mengamuk. Mana taknya, dalam gambar tadi sempat aku letak muka aku sebelah dia. Rapat pulak tu. Barulah namanya pasangan bercinta betul tak? monolog
Zefrul sendirian.
Razen yang masih berdiri di situ merengus marah. Dia tidak tahu kenapa Tisya seolah berat mata hendak melihatnya. Tambahan di saat dia mendengar Fezrul memanggil Tisya dengan panggilan sayang, hatinya menjadi lebih hangat daripada biasa.
Geram! Itulah perasaan yang membelit hati Tisya tiap kali memandang wajah Fezrul. Ada saja ayat-ayat yang terlontar untuk menyakitkan hatinya.
“Qis, nanti cuci gambar tu banyak-banyak tau. Aku beli semuanya,” ujar Fezrul lagi sengaja mengusik Tisya.
Tisya menjeling Fezrul sekilas sebelum memandang Qis dan berkata, “Jangan, Qis. Kalau kau kawan aku, kau jangan bagi gambar tu kat dia.”
“Tisya, kau janganlah jeling-jeling aku macam tu. Lemah lutut aku dibuatnya.”
“Isy, budak sengal ni! Aku lempang jugak kang,” marah Tisya lagi.
“Lempanglah kalau kau rasa itu sebagai ubat rindu untuk aku,” balas Fezrul sambil menayang pipi seolah bersedia menerima hadiah terbesar daripada Tisya.
Di saat Tisya sudah bersedia hendak melakukan apa yang diminta, Fezrul cepat-cepat mengubah kata.
“Tapi kalau kau cium pun best jugak.”
“Sengal!” Tisya terus melangkah meninggalkan Fezrul. Makin lama dia melayan Fezrul, makin bertambah tekanan mentalnya.
Aku pergi telefon ibu aku pun bagus! ngomel Tisya sambil melangkah keluar dari kelas.
Melihat kemesraan itu, hati Razen bagaikan di lahap-lahap. Tapi hanya seketika. Cepat-cepat dia mengejar Tisya yang sudah keluar kelas dari belakang. Mungkin ini
masanya.

LANGKAH Tisya masih dipegang oleh bola mata milik Razen. Dia diam. Kaku seperti sedang mentafsir segala apa yang berlaku beberapa minit tadi. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika ini. Hendak mengejar, untuk apa? Hendak memujuk, Tisya tidak merajuk dengannya. Hendak diluahkan apa yang terkandung di hati dan benaknya, semua sudah dikeluarkannya. Semua! Langsung tidak ditinggalkan walaupun secebis. Tapi…
Argh!!! Itulah kenyataannya. Tanpa Tisya cakap apa-apa pun, Razen sudah amat faham akan maksud yang Tisya sampaikan. Faham sangat. Jelas sejelas jelasnya!
“Oit! Apa hal terpacak macam patung ni? Langsung tak bergerak-gerak. Hidup lagi tak?” soal Qimie yang sudah melabuhkan punggungnya di banir pokok yang memang sudah menjadi port rasmi mereka berempat—Razen, Qimie, Tisya dan Nija.
Razen masih diam membisu. Pertanyaan Qimie hanya dibiarkan dibawa angin lalu. Fikirannya bukan di sini sekarang. Entah sudah berada di mana. Jauh melayang, mengembara entah ke mana.
Qimie semakin pelik dengan sikap kawannya itu. Dia bangun dan mendekati Razen. Ingin memastikan bahawa rakannya itu masih dalam keadaan stabil dan bernyawa.
“Kenapa?” Qimie melambai-lambaikan tangannya di hadapan mata Razen.
“Apa kau ni?” soal Razen pelik. Kembali stabil ke alam realiti.
“Bernyawa pun lagi. Aku ingat tadi dah selamat…”
“Selamat ke mana?”
“Ke mana-mana ajelah Razen oi!!!”
Qimie sudah kembali duduk. Kali ini tidak lagi di banir pokok yang sentiasa dijadikannya pilihan. Kali ini punggungnya sedap menjamah muka kerusi batu yang memang disediakan di bawah pokok itu. Razen turut serta tanpa menunjukkan sebarang reaksi yang positif.
Qimie memandang Razen dari atas ke bawah. Dia yakin, kawannya ini bukan seperti kawannya yang selalu. Ada perkara yang mengganggu fikiran kawannya itu. Hendak ditanya, dia sendiri tidak tahu hendak di mula dari mana. Risau akan merumitkan lagi keadaan. Lebih baik, tanya perihal yang biasa-biasa dulu, nanti barulah cucuk jarum! ngomel Qimie dalam hati.
“Kau terus balik Perak ke hari ni?” tanya Qimie sambil menguis-nguis daun yang sudah selamat bersemayam di permukaan meja batu itu.
“Ermm, tak. Mungkin lusa kut baru balik sana. Aku balik rumah pak long dan mak long aku dulu. Tak seronok juga kalau aku datang ke KL ni tak singgah rumah mereka. Nanti apa pula kata mereka tu. Lagipun… dia orang tu bukannya orang lain. Pak cik dan mak cik aku… Kenapa?”
“Tak ada apa. Saja tanya. Ermm… macam mana?” Qimie memberanikan diri untuk menyoal soalan yang lebih peribadi. Perasaan tidak sabarnya sudah melonjak-lonjak. Tinggal nak keluar dari dalam badan aje belum lagi. Memang kena tanya. Lagipun dia datang ke situ tadi pun semata-mata ingin mengetahui perihal itu. Perihal masa depan Razen. Perihal Razen dan Tisya.
Razen mengerut dahi. Tidak faham apa yang dimaksudkan Qimie. Buat-buat tak faham sebenarnya.
“Kau jangan nak buat-buat tak faham pulak. Pasal dia. Kau tahu, kan, siapa yang aku maksudkan?”
Wajah Razen tiba-tiba berubah. Dipandangnya Qimie sekilas. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Qimie membalas dengan tersenyum lebar. Tidak sabar rasanya untuk mendengar khabar gembira dari sahabatnya itu.
“Ermm… kalau itu jodoh aku, lari ke benua mana sekali pun, tetap akan jadi milik aku. Tapi… kalau bukan…” Razen tidak menghabiskan kata-katanya. Dia bangun dan terus berlalu meninggalkan Qimie bersoal jawab sendiri. Hal yang satu itu, biarlah hanya dia yang tahu. Biarlah rahsia itu tetap menjadi rahsia pada dirinya. Rahsia yang mana telah membuatkan hatinya tekad untuk menyimpan nama Ainul Batrisya jauh di sudut hatinya.

0 ulasan:

 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon