Tanya Sama Hati - Bab 3

FEZRUL memberhentikan keretanya tidak jauh dari rumah Tisya. Sebentar tadi dengan lapang dada dia mahu menghantar Tisya pulang, tapi Tisya enggan. A;asan yang diberikan,

“Cukuplah aku permainkan kau, Fezrul.”

Sambil memejam mata, dia menarik nafas sedalam yang boleh lalu dilepaskan perlahan-lahan. Cuba menenangkan diri. Ini kali kedua dia mendengar Tisya mengungkapkan kata-kata itu. Kali pertama adalah ketika malam dia datang untuk menyelamatkan Tisya.

"Tak, Tisya, sebenarnya kau tak permainkan aku. Tapi kau permainkan diri kau sendiri. Kali ni aku takkan jadi bodoh lagi. Aku takkan lepaskan kau lagi,” ujar Fezrul perlahan separuh berikrar.

Tiba-tiba dia terlihat susuk tubuh Tisya yang berjalan longlai sambil menggalas beg gitarnya menuju ke rumah. Fezrul cuba bersembunyi sambil mengintai dari dalam keretanya. Harapnya Tisya tidak perasan akan kehadirannya. Dia bukan apa, sekadar mahu melihat wajah Tisya sahaja. Itu mampu menenangkannya.

KELUHAN berat dengan serta-merta terhambur keluar sebaik sahaja aku berdiri terpacak di hadapan rumah sambil memperbetulkan kedudukan beg gitar yang kugalas. Keluhan itu adalah keluhan yang terkandung pelbagai resah. Sebaik mendekati pintu rumah, aku terdengar pergaduhan antara ibu dan ayah. Sekali lagi keluhan menguasai diriku.

Kerana aku, ibu dan ayah bergaduh. Ah! Kenapalah aku tak ikut sahaja kehendak ibu. Senang, tak ada masalah dan andai berlaku sekalipun, biar aku seorang sahaja yang tanggung. Tak perlu susahkan hati orang lain. Tak perlu kerana aku nama orang lain yang busuk. Tak perlu kerana aku, orang lain bercakaran sesama sendiri. Tak perlu kerana aku juga ibu semakin hilang kepercayaan terhadap aku. Argh…

“Saya nak pertunangan ni diputuskan jugak!” tegas ayah.

“Abang, apa ni? Kan dari dulu lagi saya dah cakap, soal jodoh anak-anak kita biar saya yang aturkan. Saya tahu yang mana baik dan buruk untuk anak kita. Saya yang lahirkan mereka, jadi saya lebih tahu.”

“Apa awak kata? Awak tahu yang mana baik dan buruk? Badri tu mungkin baik di mata awak, tapi tak di mata saya. Dia tu tak ubah macam iblis. Awak tengoklah, sampai sekarang dia langsung tak jumpa kita. Sekurang-kurangnya datang jumpa kita mintak maaf atau terangkan segalanya. Ini tidak, langsung tak bertanggungjawab.”

“Jadi abang nak cakap Fezrul tu malaikatlah? Baik dan bertanggungjawab hanya sebab dia datang jumpa kita dan cakap nak berkawan dengan Tisya. Macam tu?” sindir ibu pula.

“Saya tak kata pun dia macam malaikat. Lagipun sekarang ni kita tengah berbual tentang bakal menantu hantu awak tu. Awak tahu tak tadi saya telefon pejabat, dia orang beritahu saya Badri tak masuk kerja lagi. Awak tengok, macam mana saya tak persoalkan tentang tanggungjawab?”

“Alah, abang tu campur aduk soal kerja dan peribadi… Itu yang jadi macam tu.”

Niat aku hendak melangkah masuk ke dalam rumah terus mati. Aku enggan mendengar lagi semua itu. Terus aku melangkah keluar dari rumah dan berjalan tanpa arah tuju.

Mungkin sekarang bukan masa yang sesuai untuk pulang. Itulah kata-kata terbaik untuk aku pegang buat masa ini.

PIN!!! Hampir melompat aku yang sedang asyik melayan perasaan mendengar bunyi hon itu. Sangat dekat dengan aku. Nak kata aku ganggu jalan, tak jugak. Aku jalan betul-betul tepi jalan. Atas rumput lagi, bukannya jalan tar. Aku toleh ke belakang melihat pemilik kereta itu. Ternganga seketika aku.

“Kau buat apa kat sini?” soalku sambil memandang Fezrul yang tersenyum seronok seperti sedang menonton filem komedi. Kepalanya dikeluarkan sedikit dari kereta.

“Saja aku nak tengok kau?” balasnya yang masih tersenyum.

Dahiku berkerut.

“Kau nak pergi mana ni?” soalnya.

Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal itu sambil mencari jawapan, tetapi tidak kutemui pembohongannya.

“Tadi aku nampak kau masuk rumah, lepas tu kenapa kau keluar semula?” soalnya membuatkan sekali lagi aku ternganga dan tidak menemui jawapan bernas kecuali persoalan.

“Kau intip aku?”

“Siapa suruh kau tak bagi aku hantar kau? Kau nak pergi mana ni? Meh aku hantar.”

Aku tidak tahu hendak membalas apa. Maka aku pun harus belajar menjadi pelakon spontan sepertinya. Sambil mencebik, aku terus meneruskan langkah. Kereta yang dipandunya cuba bergerak seiring dengan aku, tapi tidak kupedulikan.

“Jomlah… aku temankan kau. Nanti aku hantarlah kau balik. Aku tahu kau malas nak balik lagi, kan? Kau cakap aje nak pergi lepak dekat mana, aku bawak pergi,” ajak Fezrul lagi.

Aku terus menapak seperti orang pekak tanpa menghiraukannya.

“Hei, bego, kau ingat kau cantik sangat ke buat muka macam tu?” marahnya sengaja mahu mengapikan aku.

Aku cuba menyirami diri dengan kesabaran. Langkah kuteruskan.

“Bego… bego… bego si pendek. Pendek… pendek… pendek si bego. Bego yang perasan cantik simpan rambut panjang. Pakai cap konon nampak maco.” Api Fezrul lagi, tetapi kali ini dengan irama yang entah apa-apa dan sumbang sana sini.

Tapi yang entah apa-apa itulah yang berjaya membakar aku. Terus aku kaleng batang tubuh menghadapnya dengan wajah menyinga.

“Hei, sengal! Kalau aku nak simpan rambut sampai panjang sapu jalan sekalipun, kau sibuk apa?” marahku sambil mencekak pinggang. Masih dengan mimik muka yang sama.

Fezrul tersenyum seronok. Permainannya menjadi.

“Aku sibuklah sebab kau kan buah hati aku…” ujar Fezrul selamba.

“Kau jangan perasanlah, sengal. Memang sejak dari sekolah lagi aku bencikan kau. Perasan macho. Dulu braces sekarang sengal, sama aje. Tetap makhluk tuhan paling sengal!”

Marahku semakin berapi apabila melihat Fezrul terus ketawa puas di dalam kereta sehingga bergoyang-goyang keretanya. Dengan ringan, kakiku terus melayang menendang dinding keretanya. Nasib baik aku bijak pilih tempat, kalau aku tendang tayar, gerenti kaki aku yang sakit tadi. Ni mesti sebab kecik-kecik aku minum Susu Nespary, bijak-bijak.

Ketawa Fezrul terhenti. Wajahnya berubah. Dengan pantas dia melangkah keluar dari kereta untuk melihat dinding keretanya yang menjadi mangsaku walaupun sebenarnya tidak ada kesan apa-apa pun. Kali ini aku pula mengambil tempatnya untuk tersenyum dan ketawa sepuas hati.

“Hoi, apa ni sepak-sepak kereta aku?” marahnya pula.

“Padan muka kau,” ujarku sambil menjelir lidah. Dengan pantas aku kembali melangkah.

Fezrul cuba mengejar dari belakang membuatkan aku juga terpaksa membuka langkah. “Siap kau, aku dapat kau aku sekeh-sekeh kepala kau sampai botak, bego,” ugutnya.

Aku cuba berlari dengan lebih pantas, tetapi tidak terdaya. Gitar yang kugalas sedikit membebankan. Tetapi aku tetap cuba mengelak tiap kali dia hendak menangkapku sehinggakan ada ketikanya aku nyaris termasuk ke dalam longkang. Dan permainan kami yang seperti budak kecil, kanak-kanak rebina berry itu sedikit menggembirakan aku. Dalam masa yang sama melupakan permasalahan yang membelengguku jiwaku juga aku terlupa akan pandangan sekeliling. Seolah taman itu aku seorang sahaja yang tinggal. Nasib baik juga tiada sesiapa yang mengintai. Kalau tidak mesti jadi gosip lagi. Kawan-kawan ibu dekat dalam taman ni pun boleh tahan mulut dia orang, kalau sampai ke telinga ibu, memang hangitlah telinga aku jawabnya.

Akhirnya Fezrul dapat menangkap aku juga. Itu pun kerana aku kepenatan. Cewah, alasan.

“Meh sini. Meh sini,” ujarnya cuba menyekeh kepalaku. Tetapi aku cuba melarikan kepalaku ke kiri dan kanan walaupun sebelah tangannya memegang beg gitarku kejap membuatkan pergerakanku terbatas.

“Ampun… ampun…” balasku cuba berdalih.

“Ooo… sekarang baru kau nak mintak ampun? Baru kau nak sujud kat kaki aku…?” kata Fezrul pula.

Kaki? ajukku sendirian. Ha! Baru aku teringat sesuatu. Sekali lagi kaki kuhayunkan, tetapi kali ini sasarannya kaki Fezrul pula. Serta-merta dia melepaskan beg aku dan terduduk di atas jalan menahan sakit. Dan aku terus mencekak pinggang sambil tersenyum mengejek ala-ala seorang pemain bola sepak yang berjaya menyumbat gol.

“Ini untuk pagi tadi. Pandai kau berlakon dengan pegawai kerek tu ya…” beritahuku sebelum membuka langkah. Bukan langkah silat, tapi langkah seribu. Kali ini aku terus berlari ke rumah untuk menyelamatkan diri. Tak rela lagi menjadi mangsa makhluk Tuhan paling sengal ini.

Sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan rumah, sempat aku melihat Fezrul yang sudah berdiri di sisi keretanya sambil memandangku. Diangkat jari telunjuknya sambil digoyang-goyang. Aku faham maksud itu.

Siap kau! Ya, itulah maksudnya. Tapi sedikit pun tidakku gerun kerana semestinya aku selamat sementara waktu ini.

Sambil melambai dan menjelir lidah dengan wajah secomel yang boleh, aku terus mengatur langkah masuk ke dalam rumah tanpa memikirkan apa yang kudengari tadi. Mungkin juga kesunyian rumah membuatkan aku melupakannya terus.

Jom intai sedutan bab seterusnya

“Aku nak mintak dekat IB,” balas aku dan Fezrul hampir serentak kemudian kami mengerut dahi sesama sendiri sambil menampar lengan antara satu sama lain juga serentak. Begitu juga dengan pengucapan yang seterusnya, tetap serentak.

“Kau kahwin dulu,” ujar kami dengan perlakuan seperti budak-budak itu.

“Elok sangatlah… Memang jodoh hampa bersama. Sama-sama naik pelamin. Silap-silap jadi laki bini,” ujar Haiza sambil ketawa bersama Haikal.

Aku langsung tidak mempedulikan ketawa mahupun usikan itu. sedikit pun tidak mampu mengsik jiwaku. Ada sesuatu yang lebih penting. Pandanganku masih pada Fezrul. Aku sengaja garangkan muka sambil menunjuk jari telunjuk ke arahnya dan memberi amaran.

“Kau jangan mintak kat IB, kalau kau mintak, siap kau.”

“Eh apa pulak. Suka hati akulah nak mintak kat mana-mana pun. Yang kau sibuk nak mintak sama-sama dengan aku apa hal? Kau pergilah mintak dekat DBKL ke, Petronas ke. Sibuk aje nak ikut aku. Ha, kau tu kan nak jadi komposer, pergilah praktikal kat mana-mana syarikat rakaman, lagi senang.”

“Suka hati akulah. Kau tu nak jadi pengarah, pergilah praktikal dengan Yusuf Haslam ke, Mohd Nor Kadir ke, tak pun Rosyam Noor. Sibuk aje nak ikut aku.”

“Alah, kau tu yang gedik nak ikut aku. Tak nak berenggang dengan aku cakap ajelah!” sindir Fezrul lagi.

“Apa pulak, aku yang cakap dulu tadi. Kau yang tiru aku. Kan Haiza, tadi aku yang cakap dulu, kan? Kan? Kan?” soalku sambil memandang Haiza. Sengaja aku besarkan anak mata mahu menakutkannya.

“Yalah, dia tu kawan kau, mestilah dia sokong aku. Haikal, tadi aku yang cakap dulu, kan?” balas Fezrul sambil meminta sokongan Haikal pula.

Haiza dan Haikal masing-masing menggaru kepala melihat keletah kami.

Ah, aku tak peduli, aku nak mintak dekat IB jugak. Kat sana peluang aku lebih cerah.

Aku lihat Fezrul sedang merenungku.

“Apa pandang-pandang, ada hutang ke?” marahku.

0 ulasan:

 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon