Akan Datang - Detektif Cun

Selepas berbulan-bulan dipandang dingin, dan inilah hasilnya.
Terima kasih buat yang menyokong dan membakar semangat 'Hatta' kembali...
.
DETEKTIF CUN - PEMBONGKARAN KES PENCULIKAN AKHIL
(HATTA NUHARIS)
TERBITAN : FP (FP JUNIOR)
RM 10.90
.
.
Sikap dingin Akhil membuatkan Nurin rasakan sesuatu. Tambahan pula sejak kali pertama memijakkan kaki di Akademi Khas lagi lelaki itu sudah memandangnya semacam. Tapi Nurin tidak mudah menggelabah, dia tetap cuba mendekati Akhil walaupun Mulhim sudah memberitahunya akan perangai lelaki itu.
.
Akibat daripada rasa malu, kehilangan Akhil mula menjadi tanda tanya. Ke mana dia pergi sebenarnya? Dalam cuba membongkar kes yang kekurangan bahan bukti ini, mampukah Nurin mencari ke mana hilangnya Akhil? Mampukah Nurin dan rakannya menyelesaikan kes ini? Dan yang paling penting, mampukah Nurin menjernihkan persahabatan antara dia dan Akhil?
.
Ingin tahu jawapannya? Jom sama-sama kita menyiasat kes ini.

Disember Bulan Mereka

Selamat ulang Tahun Buat Mak, Fauzi dan Abg Dus


Permulaan Yang Baru

Masuk Panggung Lagi...

.
.
.

Detaktif Cun - Pembongkaran Kes Penculikan Akhil

BAB SATU
(TERPEGUN)
.
5 Disember
.
NURIN melangkah masuk ke dalam bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat subuh berjemaah bersama mama dan papanya. Pagi ini dia akan dibawa ke makmal untuk pemeriksaan. Kalau segalanya seperti apa yang diperkatakan Inspektor Zahrul, mulai tahun hadapan dia akan bersekolah di Akademi Khas. Tidak pernah terlintas di fikirannya dia akan mempelajari dua bidang yang amat diminatinya dalam satu akademi, sains dan penyiasatan.
.....Tiba-tiba Nurin teringatkan Nek Yam. Langsir biliknya diselak. Rumah itu gelap sahaja. Memang dia sudah diberitahu yang kini Nek Yam tinggal bersama anak sulungnya. Anak-anaknya tidak mahu lagi peristiwa itu berulang. Nurin memanjatkan seribu kesyukuran kerana berjaya menyelamatkan Nek Yam.
.....Dia kembali menuju ke mejanya. Beg sandang yang berada di atas kerusi diambil. Dikeluarkan segala isi di dalam beg itu sebelum disusun semula. Dia hanya membawa apa yang patut.
.....Tak sabar nampaknya,” usik Mulhim tiba-tiba, membuatkan Nurin sedikit terperanjat.
Tetapi kemudian dia tersenyum sebelum menutup kelopak matanya dan berbual dengan Mulhim menggunakan telepati.
.....“Tak adalah, sebenarnya takut juga…” ujar Nurin berkongsi rasa dengan sahabat telepatinya.
Kes Nek Yamlah yang menemukan mereka secara bersemuka, jika tidak mereka hanya berhubung seperti ini.
.....“Tak ada apa yang nak dirisaukan, Nurin. Awak kan Detektif Cun. Belum awak masuk akademi lagi dah digelar detektif. Cemburu saya tau tak.”
.....“Alah, mengadalah awak ni. Bajet saya nak panggil awak Detektif Kacaklah tu. Jangan mimpilah…” balas Nurin berseloroh.
.....“Awak tak cakap pun saya rasa saya dah memang kacak.”
......“Perasannya,” ujar Nurin, kemudiannya mereka ketawa bersama.
......"Awak, nak tanya sikit ni. Nanti agak-agak awak soalan apa yang dia tanya ya? Awak kan dah berpengalaman,” soal Nurin ingin tahu. Risaunya seolah hendak mengambil PMR buat kali kedua.
......“Tak nak cakap. Awak tunggulah nanti,” ujar Mulhim sengaja mengusik Nurin.
......“Ooo… kedekut ilmu ya? Tak apa, ada lori ada bas, ada hari saya balas.”
......Mulhim ketawa kecil sebelum menjawab, “Berdendam nampak. Tak ada soalan pun yang ditanya. Awak janganlah risau sangat. Okeylah, saya terpaksa pergi dulu. Selamat berjaya. Saya tunggu awak.”
.....“Terima kasih,” balas Nurin sebelum membuka kembali kelopak matanya. Nafas ditarik sedalam yang boleh sebelum dihembuskan.
Kini dia bersedia.
.
KERETA yang dipandu Encik Mahmud terus melalui lorong yang sedikit sempit itu menuju ke makmal. Sambil itu Nurin memandang sekeliling. Nalurinya kuat mengatakan yang dia pernah sampai ke tempat ini. Dia cuba mengagak keluasan kawasan itu tetapi gagal.
......Yang memelikkan, kenapa makmal itu terletak begitu jauh. Rasanya sudah jauh mereka tinggalkan pintu masuk yang mana dikawal rapi itu. Namun begitu, Nurin tetap bersikap tenang. Tetapi tidak wajah Puan Riana.
......“Kenapa macam pelik sangat tempat ni, abang? Betul ke?”
......“Saya pun tak tahu. Lagipun dari tadi jalan lurus saja, mana ada simpang ke mana-mana. Betullah tu,” balas Encik Mahmud.
......"Betul jalan ni, papa, mama,” sampuk Nurin, membuatkan dahi Puan Riana dan Encik Mahmud sedikit berkerut. Mereka cepat-cepat bertanya.
......“Nurin pernah datang tempat ni ke?” soal Puan Riana dan Encik Mahmud hampir serentak.
,,,,,,Nurin menggeleng dan tersenyum.
Encik Mahmud sekadar melihat perilaku anaknya itu menggunakan cermin pandang belakang. “Habis tu macam mana Nurin tahu?”
......“Inspektor Zahrul yang cakap.”
......Jawapan Nurin itu membuatkan sekali lagi terlukis kerutan di dahi mama dan papanya. Tetapi hanya seketika kerana kini mereka sudah memahami walaupun sedikit. Dan… mereka harus mempercayainya juga.
.....Akhirnya mereka sampai juga ke destinasi yang dituju. Kelihatan satu pintu gerbang yang tak kurang besarnya menyambut kehadiran mereka. Dan tidak jauh dari situ berdiri Inspektor Zahrul.
.
MELIHAT bangunan itu sedikit pun tidak membuatkan Nurin teruja. Malah dia berasa pelik. Kenapa bangunan ini tidak seperti di dalam cerita aksi yang dilihatnya? Penuh dengan teknologi. Bangunan yang lain daripada yang lain dari rekaannya.
.....Tapi sangkaan Nurin meleset sama sekali. Sebaik melangkah masuk, mulutnya sedikit ternganga. Tertawan hatinya seketika. Reaksi Encik Mahmud dan Puan Riana usah ditanya, lebih daripada Nurin keterujaan mereka.
.....Rupanya bangunan itu di luar sahaja nampak klasik, tetapi di dalamnya tidak mampu diucap dengan kata-kata. Seperti ada pepatah yang mengatakan, jangan menilai buku dari kulitnya.
.....“Jom, kita ke sana. Doktor Wahida dah tunggu kita kat sana,” ajak Inspektor Zahrul kemudian menuju masuk ke satu lorong.
.....Melalui lorong itu mereka akan bertemu dengan beberapa buah pintu di kiri dan kanan mereka. Tapi kelebihan Nurin membuatkan dia tahu yang sebenarnya itu bukan pintu tetapi hanya lukisan yang menyerupai pintu untuk mengaburi mata penceroboh.
.....Tiba-tiba langkah Inspektor Zahrul terhenti. Kini dia berdiri di hadapan sebuah pintu antara puluhan yang lain. Terdapat sebuah kotak kecil merah di sisi pintu itu. Inspektor Zahrul merapatkan batu cincin yang dipakainya ke arah kotak berwarna merah itu dan kemudian pintu itu terbuka.
.....Keterujaan Nurin semakin meninggi. Dia seolah tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Tapi ada sesuatu yang mengganggunya sejak tadi. Kini dia terus meluahkannya.
......“Saya rasa saya pernah datang kawasan ni, Inspektor Zahrul. Dekat dalam kawasan ni ada makmal forensik, kan?” ujar Nurin tanpa menunggu balasan daripada Inspektor Zahrul.
......Sambil melangkah beriringan dengan Nurin, Inspektor Zahrul membalas, “Tajam deria ingatan awak. Betul, kawasan ni luas dan di dalam kawasan ni juga ada makmal forensik yang pernah Nurin dan Mulhim datang.”
......Kini senyuman meniti bibir Nurin. Namun begitu otaknya ligat memikir sesuatu.
......“Kalau balai polis, makmal forensik, maktab polis, Akademi Khas semua kat dalam satu kawasan, tak ke ianya dah dikira bonus bagi orang yang dengki atau yang nak musnahkan negara kita? Sekali bom, patah satu sayap pertahanan. Tak ke kita yang bagi jalan mudah kepada pihak lawan?” soal Nurin membuatkan Inspektor Zahrul pula yang tersenyum. Dia tahu pemikiran Nurin sebenarnya lebih daripada itu.
......Inspektor Zahrul memandang Encik Mahmud dan Puan Riana yang berjalan di belakangnya.
“Lihat, ada ke budak yang sebaya dengan Nurin memikirkan hal yang macam ni?” soalnya membuatkan mama dan papa Nurin tidak tahu hendak berkata apa melainkan, “Ya”.
......Bebola mata Inspektor Zahrul disapu ke wajah Nurin kembali. “Sebenarnya perkara itu memang sudah lama difikirkan dan memang sengaja kesemua ini dibina dalam satu kawasan yang luas, yang mana Akademi Khas merupakan pusat bagi kawasan ini.
......“Kawasan ni luas, jadi tak mungkin akan ada tentera dari negara mana pun boleh mengepung kawasan ni dengan bilangan askar yang seramai mana pun. Kalau ada yang nak bom pula, sebenarnya ada beberapa tempat yang dah dizonkan sebagai ruangan magnetik. Sebarang alatan lain yang muncul di dalam kawasan ini yang bersifat letupan, serta-merta kuasa alatan tersebut akan ditarik oleh magnetik ini.
......“Tapi ada yang bahaya juga. Kalau salah satu daripada magnetik tu gagal berfungsi, letupan yang berlaku di zon tertentu akan dibawa ke zon lain juga. Biasalah, ciptaan manusia tak semuanya sempurna. Yang penting doa,” terang Inspektor Zahrul panjang lebar.
Sebenarnya perkara itu tidak boleh diketahui oleh semua pihak walaupun mereka orang penting di dalam akademi itu. Tetapi Inspektor Zahrul percayakan Nurin. Anak gadis itu bukan seorang yang mudah menggelabah walaupun pistol diacu ke kepala.
Nurin mengangguk. Dalam diam dia mengagumi kerja keras mereka yang mencipta ruang keselamatan itu.
......“Kat dalam ni tempat pemeriksaan,” ujar Inspektor Zahrul memberitahu Encik Mahmud dan Puan Riana sebelum menyambung lagi. “Saya mintak Encik Mahmud dan Puan Riana rahsiakan apa yang encik dan puan lihat di sini. Semua ini sebahagian daripada rahsia keselamatan negara kita.”
......Melihat anggukan kedua ibu bapa itu, Inspektor Zahrul tersenyum. Dia tahu yang Encik Mahmud dan Puan Riana orang yang baik.
......Sebaik melangkah masuk ke dalam pintu yang seterusnya, Nurin berasakan dia seolah berada di dalam dunia yang lain. Sebenarnya dia masih berada di bumi yang nyata. Mungkin juga kerana sejak tadi mereka tidak berselisih dengan sesiapa membuatkan dia berfikiran sebegitu.
.....Kini mereka berdiri di kawasan yang sedikit lapang dan kelihatan juga beberapa orang sedang membuat kerja dan ada yang sedang menunggu di kawasan sofa yang disediakan. Dari situ, kelihatan juga seorang wanita dalam lingkungan 50-an melambai ke arah mereka.
.....“Itulah Doktor Wahida,” beritahu Inspektor Zahrul sebelum melangkah.
.....Melihat wajah Doktor Wahida, resah hati Nurin bertukar tenang.
.....“Jemput duduk, encik, puan,” ujar Doktor Wahida setelah bersalaman dengan Puan Riana dan Nurin. Wajah wanita yang bersifat keibuan itu tidak lekang dengan senyuman.
.....“Jadi, anaklah yang datang untuk pemeriksaan tu?” soal doktor berjubah putih itu.
.....Nurin mengangguk sambil menjawab, “Ya, saya, doktor.”
.....“Jangan panggil doktor, panggil bonda. Kat sini semua panggil doktor bonda. Terutama yang sebaya macam Nurin,” terang Doktor Wahida kemudian memandang wajah Encik Mahmud dan Puan Riana yang duduk di hadapannya.
.....Sebelum memulakan bicara, dia sempat memandang Inspektor Zahrul yang duduk bersebelahan dengannya. Melihat anggukan inspektor muda itu, Doktor Wahida tahu yang Inspektor Zahrul memberitahu kini adalah masanya.
.....“Boleh saya bawa Nurin ke dalam? Encik Mahmud dan Puan Riana duduklah di sini. Sambil itu, ini, serba sedikit secara ringkasan tentang anak indigo. Pihak kami tahu kalau ditulis dalam perenggan yang panjang dan penerangan yang meluas, susah untuk orang biasa memahaminya. Jadi saya harap encik dan puan dapat memahaminya. Saya minta diri dulu. Mari, Nurin, Zahrul,” terang Doktor Wahida sebelum mengajak Nurin dan Inspektor Zahrul ke dalam makmal.

Selambak

Selambak? Apa yang selambak ni? Kalau nak tahu, itulah n3 saya untuk kali ini. Saya rangkumkan perjalanan minggu lepas menjadi 1 n3.
.
.:JUMAAT:.
.
Dengan ahli seramai 8 orang, termasuk Hanny Esandra,
ahli baru yang menjadi bahan, kami menonton New Moon.
Tengok opening pun dah teruja inikan pula kandungannya.
Ah tak sebar betul nak tunggu tahun depan.
Kurang asam jawa betul ending dia!
.
.
.:AHAD:.
.
Dah lama rasanya tak pergi Jom Heboh.
Rasanya last pergi pun ngan famili dan masa tu masih lagi Sure Heboh.
Ahad lepas keluar dengan Fieda yang tak habis-habis menyesal
kononnya menyusahkan saya. Jadi kami pun apa lagi,buatlah tawaf.
Kaki ni dah lama sangat rasanya tak berjalan jauh, cam nak pancit la jugak.
Petang tu dahbalik rumah boleh pulak ajak
Wandi pergi BB jalan-jalan lagi. Huh! Memang kerja gila.
Malam tu jalan lagi pergi Downtown. Lagipun nak jumpa
Aween dan BF dia kat sana. Jadi lepas Wandi dah balik dengan Aween dan BF dia, saya pun balik rumah dan tidur sepuasnya tanpa gangguan. Usah ditanya pukul berapa bangun (",)
.
.
.:Buku Lagi:.
.
Jangan terkejut tengok buku yang saya beli ni dan jangan pulak tafsir saya sedang mengubah. Tapi akan datang tak tahulah sebab itu kerja Allah. Tapi memang dah lama sangat nak beli empat buku ni. Tapi bila dah dapat...
Huh! Nak mulakan dengan yang mana satu ni?
.

Detektif Cun

Anda mungkin pernah membaca cerita ini dan mungkin mahu mengetahui penyiasatan yang seterusnya. Khas buat Hanny, Izati dan pembaca lain yang ternanti siri Detektif Cun yang seterusnya, aku akan cuba memuaskan hati semua. Terimalah...
.
* * * * *
.
DETEKTIF CUN : PEMBONGKARAN KES PENCULIKAN AKHIL
-HATTA NUHARIS-
.
Prolog
(Detektif Cun)
22 Disember
.
NURIN berdiri sambil bersandar di balik dinding. Telinganya cuba dibesarkan seboleh mungkin dan cuba mendengar perbualan itu. Mungkin benar apa yang diperkatakan Mulhim. Sebenarnya dia bukan mempunyai telinga lintah, tapi kelebihan yang ada pada dirinya membuatkan dia mampu mendengar dengan jelas.
......Kepalanya cuba dikeluarkan sedikit sambil mengintai dari tangga. Kelihatan mama dan papanya, Puan Riana dan Encik Mahmud sedang berbual dengan Inspektor Zahrul. Memang sudah adat yang dipelajari keluarganya, andai orang tua berbual, anak kecil sepertinya harus beredar. Jangan menyampuk kerana itu kurang sopan namanya. Itu yang selalu diingatkan mamanya.
......Tapi masalahnya sekarang ini, dia harus mendengar juga. Dia mahu mengetahui kerana tiga batang tubuh di ruang tamu rumahnya itu sedang berbual tentangnya. Tentang anak muda yang bakal menginjak usia 16 tahun.
......Dia baru sahaja pulang ke rumah ditemani Inspektor Zahrul. Memang seperti apa yang dijanjikan. Walaupun sibuk dengan tugas, namun Inspektor Zahrul harus bertemu dengan Puan Riana dan Encik Mahmud untuk menerangkan duduk perkara sebenar.
......“Seperti apa yang saya perkatakan sebelum ini, sebenarnya Nurin anak istimewa. Dia mempunyai kelebihan yang tidak apa pada orang biasa seperti kita,” ujar Inspektor Zahrul.
......“Eh, tapi masa saya lahirkan dia, doktor cakap semuanya sempurna. Tak ada apa-apa masalah pun. Dia membesar pun macam kanak-kanak yang normal. Macam mana inspektor boleh cakap macam tu pula?” soal Puan Riana yang masih kebingungan. Dia dan suaminya berpandangan seketika dan kelihatan juga kerutan halus terlukis di dahi mereka.
......Inspektor Zahrul sekadar tersenyum sebelum menjawab. Perkara seperti ini sudah biasa baginya. Lagipun perkara pelik seperti ini tidak ramai yang tahu. Tapi anugerah Tuhan ini seharusnya dijaga, takut disalahgunakan.
......“Begini, Puan Riana, Encik Mahmud. Sebenarnya kanak-kanak istimewa yang saya maksudkan itu bukanlah bermaksud Nurin mengalami kecacatan mental atau fizikal. Tapi dianugerahkan kelebihan deria yang dipanggil deria keenam atau dalam istilah lain anak indigo.”
......“Anak indigo? Maksud inspektor?” soal Encik Mahmud pula yang masih kebingungan. Kerutan di dahi semakin jelas kelihatan.
......Nurin melepaskan keluhan berat. Mungkin benar juga adat orang lama-lama yang diterapkan kepadanya. Rasanya kalau dia duduk di situ, sudah lama dia menyampuk dan menerangkan perkara sebenar kepada papa.
......“Indigo adalah anak-anak yang mempunyai lebih daripada lima deria. Tahap IQnya juga lebih tinggi daripada kita. Contoh yang mudah untuk saya terangkan seperti anak encik dan puan, Nurin,” beritahu Inspektor Zahrul sebelum berhenti mengambil nafas.
......“Dia tak pernah belajar ilmu penyiasatan betul tak? Tapi kerana kelebihan yang ada padanya itulah yang membuatkan dia dapat menyelesaikan kes Nek Yam. Dan… Encik Mahmud dan Puan Riana tak pelik ke seawal usia tujuh tahun Nurin dah boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan lancar berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya?” terang Inspektor Zahrul memanjang lebarkan lagi penerangannya dan diakhiri dengan soalan.
......Memandangkan Encik Mahmud dan Puan Riana terdiam seolah baru menyedari sesuatu yang tidak pernah mereka fikirkan secara luas sebelum ini memberi peluang kepada Inspektor Zahrul menyambung lagi kata-katanya.
......“Untuk pengetahuan Encik Mahmud dan Puan Riana, sebenarnya kerajaan kita ada menubuhkan institusi khas untuk melatih anak-anak yang kita kesani mempunyai kelebihan seperti Nurin. Adalah lebih elok sekiranya Nurin dimasukkan ke dalam Akademi Khas dan keselamatannya lebih terjaga. Kalau dia bebas begini, saya takut orang jahat akan menggunakan kelebihan Nurin untuk kepentingan mereka.”
......Encik Mahmud dan Puan Riana mengangguk walaupun mereka belum faham sepenuhnya.
......“Boleh tolong panggilkan Nurin?” pinta Inspektor Zahrul tiba-tiba membuatkan Nurin terkejut.
......Dahi Puan Riana dan Encik Mahmud berkerut sedikit. Namun Encik Mahmud tetap menurut kata Inspektor Zahrul.
......“Nurin…” laung Encik Mahmud dari ruang tamu kemudian dia memandang gelas berisi air di atas meja yang belum disentuh Inspektor Zahrul lagi. “Jemput minum dulu, inspektor,” pelawanya.
......Nurin menarik nafas sedalam yang boleh sebelum menapak menuju ke arah ruang tamu.

Terima Kasih

Sampul surat berlogo DBP di dalam peti pos menjadi tanda
tanya saat saya membukanya.
Dan butirannya, nashkah TC Bulan Dis.
Hurm... rupanya puisi yang saya cipta 2 tahun lepas,
Daripada Teman Buat Teman tersiar.
Alhamdulillah, walaupun saya sendiri akui puisi itu
terlalu lurus (bodoh-bodoh) tetapi masih dibuka pintu untuk disiarkan.
Terima kasih DBP, tahun ini sudah dua puisi saya tersiar.
Hurm tahun depan macam mana pulak ya?
Tak buat apa-apa lagi pun... Cayoik!!!

Bertukang Mood / Mood Bertukang

Semalam wajah lain dan hari ni wajah lain.
Itulah blog a.k.a khemoh aku ni.
Sekarang ni mood mudah benar berubah.
Sebenarnya mood aku yang sedang
bertukang atau aku sedang bertukang khemoh ni?

Habis Sudah

.
.
Tuhan takkan menduga sekiranya kita tak mampu melaluinya...

Buku Oh Buku

.
.
Ni semua baru lepas balut. Huh! Banyaknya yang belum baca...
Dekat rak tu ada la lagi 3-4 buah. Bila nak baca ni?
Kenapalah aku ni malas sangat nak baca?
(",)

Aidil Adha Hari Dia...

.
.
Terima kasih Ya Allah Kerana Masih Memanjangkan Hayatnya Untuk Kami
.
* Ni cacatan yang ke 100

Eid-Adha

Selamat Berangkat

Pagi ni lepas subuh dapat panggilan dari dia yang saya panggil kakak.
Katanya dia kat KLCC dan nak berangkat.
Buat kakakku, selamat pergi dan kembali.

November II

Masih dalam mood November dan alhamdulilla satu lagi hadiah untuk bulan ini. JATUH CINTA LAGI kini sudahpun berada dipasaran. Dapatkan juga koleksi Mini Novella FP yang lain.
.
.
Pertemuan tanpa dirancang antara An Nuur dan Adzim membuatkan mereka berkongsi rasa yang sama. Masing-masing kecewa dengan cinta pertama. Dalam An Nuur cuba mengubah hidupnya bersama teman baru Razif kembali untuk menagih kesetiaannya.
.
Dalam kekalutan yang singkat, mainan perasaan menghantui empat hati ini. Izan cintakan Adzim sedangkan Azim sudah mula menyukai An Nuur. Razif yang dahulunya meninggalkan An Nuur semata-mata untuk Dilla kini mula faham yang Dilla tidak mampu menjadi seperti An Nuur.
.
Apakah An Nuur akan jatuh cinta lagi kepada Razif, bekas tunangnya atau memilih Adzim lalu mencalarkan persahabatan antaranya dengan Izan? Atau sebaliknya?
.
Kalau dia jodoh awak, dia akan cari awak.
.

AJL 24 - Akhir

.
.
Seperti yang sudah diketahui peminat industri muzik, 14 lagu yang layak ke pusingan akhir AJL telah pun diumumkan pada malam 20hb baru-baru ini. Banyak kejutan dan ketidak percayaan apabila yang layak dan tidak layak untuk bertanding. Begitu juga dengan penggantian penyanyi untuk lagu Bencinta, Shila yang menggantikan Faizal Tahir yang dimaklumkan sakit dada dan berada di hospital swasta. Tahniah buat Shila yang turut melangkah ke peringkat akhir walaupun di telinga aku nyanyiannya sangatlah lemah berbanding pakaian yang dipakainya. Tapi semua ini hanya di mata aku, mereka yang lebih berkuasa tetap arif.
.
Seperti yang diketahui juga Aizat satu-satunya penyanyi yang berjaya melangkah ke pentas AJL Akhir dengan mempertaruhkan dua buah lagu dan akan berentap pentas dengan barisan muka baru termasuk muzik indie. AJL AKhir akan berlangsung pada 10 Januari 2010 di Stadium Putra Bukit Jalil.
Di bawah ini senarai mereka yang akan memijak pentas Akhir AJL.
.

1. Kau Aku (Aizat)
2. Pergi (Aizat/Pete Teo/ Amran Omar)
3. Aurora (Estranged)
4. Bengang (Akim/ Amir/ Sheikh Qalam)
5. Aku Skandal (Hujan/ Noh)
6. Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/ Ajai/ Habsah Hassan)
7. Masih Jelas (Hafiz/Aidit Alfian/Ad Samad)
8. Pakai Buang (Stacy/Edry)
9. Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar/Azmeer/Loloq)
10. Bencinta (Shila/ Faizal Tahir/ Audi Mok)
11. Aku Rindu Sayang Kamu (Black/Yuzai)
12. Situasi (Bunkface/Sam)
13. Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta)
14. Dan Sebenarnya (Yuna/Yuna, Paan, Efry dan Aidil)
.
Dua buah lagu yang gagal ke pentas akhir walaupun pernah berada di dalam top 10, Seandainya Aku (Nubhan) dan Raja Gelek (One Nation Emcees) tahun depan masih ada. Apa pun kedua buah lagu ini tetap lagu kesukaan dan berhantu aku di waktu malam.

Ketawa Aku

Saat kali pertama terpandang gambar tu di blog seorang teman, saya dah ketawa sampai nak tergolek-golek. Otak pun cepat aje buat cerita ringkas untuk mengkelakarkan lagi imaginasi melampau saya. (Tapi bukan berunsur lucah ye!). Tapi tentang pasangan yang asyik berkepit ke sana ke sini. Saya gabungkan gambar ini dengan gambar yang lain. Kalau ada yang tak faham tu, nasiblah...
.

November

Secara peribadi dirasakan November kali ini penuh kelainan berbanding yang lepas atau mungkin aku baru sedar. Tapi taklah bermaksud tahun yang sebelum ini tahun yang malang untuk aku. Ya, kalau diikutkan dalam bulan November juga aku dilahirkan (Birthday aku sama dengan Aznil tau, wah kena amik aura kejayaan dia ni). Dan dalam bulan November juga abang dan ayah aku dilahirkan. Tak terkecuali kawan-kawanku seperti Tasya (yang saja buat-buat lupa birthday aku!), K.Siti (Aswara), Azaniza (kwn sek men) dan beberapa lagi.

November tahun ini aku katakan bulan adik-beradik. Kerana ada kedukaan dan ada keseronokkan. Sebabkan lama tak menconteng dan mood menulis dah hilang selama seminggu belum kunjung tiba sepenuhnya, jadi biarlah sebahagian gambar ini yang menceritakan segalanya.
.



.
Mood menulisku, cepatlah kembali, aku dah mula rindukan Tisya ni...

Hebah Umum : Bilik

Buat mereka yang mempunyai kelapangan pada 13 November ini
silalah menonton Teater Bilik, arahan pertama Roydy Rokidy
di Blackbox pada jam 3.00 petang
.
*Mamat ni kejap Roydy, kejap Roy K.R, kejap lagi Roydy Iskandar, ni jadi Roydy Rokidy pulak. Ah guna nama Buin aje kan senang (",). Good luck!

Besar & Awek Baru

Dua tiga hari ni mood makan dan tidur sangatlah besar. Makan tanpa henti dan tidur tanpa mempedulikan waktu yang terus bergerak. Ah bestnya! Tak perlu nak fikirkan apa-apa. Dua tiga malam ni bukan main lagi makan. Rajin sungguh aku masuk dapur goreng itu dan ini. Ini pun baru lepas makan nasi. Sambil menaip ni tangan ringan aje mencapai keropok ikan dan mulut pun ngap-ngap aje. Dalam kepala otak dah terbayang maggi kari. Ah sedapnya!!!
Yang bawah ni pulak awek baru aku.
Berani kacaulah!

AJL 24 - Separuh Akhir

Tiada sebarang kategori dan pertandingan secara terbuka dengan mempertaruhkan 30 buah lagu dan hanya 12 lagu akan dipilih memasuki peringkat akhir. Daripada sumber bacaan dan pendengaran, dikatakan "Muzik-Muzik edisi ke-24 ini menampilkan format baru di mana pencalonan lagu tidak fokus kepada tiga kategori utama iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock. Pendek kata, Muzik-Muzik kali ini tidak mempertandingkan sebarang kategori. Tujuannya untuk memberi peluang kepada pengiat-pengiat seni muzik untuk bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori ini saja."
.
Hurm... bukan aku sahaja yang terkejut, ada artis juga yang mengeluh kerana mereka sangkakan akan bertanding di dalam kategori tambahan lagu mereka itu sesuai untuk kategori yang semakin berkurangan.
.
Dari kaca mata aku pula, ya, aku agak kurang bersetuju dengan format baru ini kerana secara tidak langsung ianya cuba menguburkan salah satu kategori yang kurang penyertaan iaitu Etnik Kreatif. Bagi aku sebenarnya AJL boleh ditambah kategori mengikut aliran semasa iaitu Indie. Apa pun, mereka yang menerbitkannya dan mereka lebih arif tentang industri muzik. aku hanya sekadar semut kecil yang cuba bersuara.
.
Senarai lagu yang bakal bertanding;
.
6 Nov
1. Mirage (Pesawat)
2. Kau Aku (Aizat)
3. Dia, Aku dan Kamu (Nadia & Red Peanut)
4. Oh Anok Anok (Reshmonu)
5. Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)
6. Aku Scandal (Hujan)
7. Enjut (Noraniza Idris)
8. Gila (Mila)
9. Dan Sebenarnya (Yuna)
10. Raja Gelek (One Nation Emcees)
11. Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor)
.
13 Nov
1. Aurora (Estranged)
2. Seadanya Aku (Nubhan)
3. Tahu Tak Tau Joget (Jinbara)
4. Ku Pinjam Satu Bintang (Alyah & Riz)
5. Fikirlah (Aizat)
6. Khatimah Cinta (6ixth Sense)
7. Bengang (Akim)
8. Aku Rindu Sayang Kamu (Black)
9. Pari-Pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain)
10. Benar-Benar (Adam)
11. Masih Jelas (Hafiz)
.
20 Nov
1. Situasi (Bunkface)
2. Rindu Terhenti (Tomok)
3. Patri (Jinbara)
4. Pakai Buang (Stacy)
5. Pergi (Aizat)
6. Ketika Ini (Estranged)
7. Bencinta (Faizal Tahir)
8. Cinta Adam & Hawa (Misha Omar)
.
* Gagal mendapatkan mana penulis dan pencipta lagu.
* Tadi sempat tengok muzik vedio Masih Jelas (Hafiz) yang baru selepas kontervesi. Wah cepat betul pengurusannya bertindak. Syabas!

Tahajjud Cinta

Di saat aku sedang gilakan lagu berbentuk islamik dari seberang, tiba-tiba ia hadir. Aku belum membeli album ini lagi, tapi sekadar melayannya melalui youtube. Ya, apa yang boleh dikatakan satu permulaan yang baik. Dan aku rasakan SNP bijak mengatur langkah mengajak umat yang lain dalam kesedaran duniawi.
.
Siti Nurhaliza bukan satu nama yang kecil di Malaysia. Biarpun ada yang ringan mulut memperkatakan sesuatu yang kurang enak tentangnya, tetapi apabila lagu nyanyiannya berkumandang, seringan itu jugalah mulut mereka akan menyanyikannya. Aku cuba tutup mata dan pekakkan telinga tentang itu. Apa pun, aku suka dengan penampilan Siti Nurhaliza melalui album ini.
Tak guna untuk album pop islamik menutup keseluruhan kepala, tetapi untuk lagu lain membukanya semula. Itu lebih menghina namanya. Teruskan dengan keselesaan dan lakukan perubahan dari jiwa seperti mana kita manusia harus juga dari jiwa memuji Yang Maha Esa walaupun melalui lagu.

Tentang Sarah

.
.
Dengan pembawaan wataknya yang bersahaja, aku pasti ramai yang sakit hati melihat lenggok tubuh, pertuturan, pandangan dan tiap kali wajahnya muncul di skrin. Lakonannya memang menepati perjalanan sebuah cerita islamik. Tak perlu keganasan dan riak wajah yang dibantu dengan solekan.
.
Memang bukan mudah membawa watak antagonis terutamanya dalam cerita yang bertemakan sebegini, tapi aku rasakan Umi Nazeera sememangnya bakat baru yang bakal menjadi ratu antagonis seandainya dia bijak mengatur langkah dalam industri hiburan.
.
Di saat Nur Kasih semakin hampir melabuhkan tirai, namun jiwa aku lebih tertarik untuk mengetahui satu perkara ini. Bukan bagaimana kesudahan cinta Adam, Nur dan Cat mahupun Aidil dan Aliya, tapi pengakhiran Sarah.
.
Kebiasaannya kita sering melihat watak itu mati atau insaf dengan dialognya, "Aku dah bertaubat. Dah insaf." Bukan hendak memperkecilkan sesiapa, sememangnya sebagai penulis, seharusnya kita memaparkan kebaikan di pengakhiran cerita. Tetapi seandainya semuanya sama, bukankah ianya terlalu membosankan?
.
Apa pun, aku mengharapkan pengakhiran Sarah yang penuh kelainan juga bakal menyentuh hati insan yang banyak melakukan kesilapan seperti aku. Melalui Nur Kasih, aku banyak belajar segala perkara.

Tika Hati : Terus Melangkah

.
Tanggal baju lama, sarung baju baru
Terus melangkah...
Pijak segala yang gugur
Walau terasa payah
Terus melangkah...
Masa menerus hidup sendiri

Pagi Yang Gelap

.
Jam baru menunjuk pukul 10.00 pagi, tapi saya dah rasakan pagi ini penuh tekanan. Dahlah tidur tak cukup, bangun pagi-pagi dah kena ganggu. Masalahnya dia yang mesej saya dulu, jadi saya pun balaslah tanya siapa. Dia tak jawab, call saya berkali-kali. Dah pagi macam ni malaslah nak jawab panggilan daripada orang yang tak dikenali. Tak cukup dia call dengan hp, guna telefon opis pulak (mungkin). Aduh! Gangguan betullah. Rasa macam nak campak aje telefon ni jauh-jauh. Saya dah balas mesej kata maaf mungkin tersalah dan jangan ganggu lagi pun dia tak faham lagi. Aduh bangsa apa tah. Ops... 1 Malaysia.
.
Tak cukup dengan tu, masa pergi bayar bil, saya dah cakap dah. Bil air termasuk tunggakan bil celcom tak termasuk tunggakan. Maka akak yang tersenyum tu pun mengangguk. Tup-tup masa nak bayar... Aik! Apesal jumlah yang disebut lebih daripada duit di tangan. Fikir positif, mungkin ayah saya tersilap kira bil Astro dan air. Bila dah keluar, saya cepat-cepat kira. Aduh akak ni, tulah akak ni, tak guna nak senyum mesra kalau ingatan tak senyum jugak! Memanglah tak ada apa-apa sebab nanti bulan depan saya tak perlu bayar lagi. Tapi masalahnya kalau celcom salah kira macam mana? Huh! Bab nak gaduh-gaduh ni yang malas. Macam tadi pergi Maybank, tak boleh berurusan sebab internet down. Aduh masalah betullah, dah banyak kali jadi. Takkan la tak ada altenatif lain. Saya cuma nak tunaikan cek mak saya aje. Bukannya nak guna internet sampai nak bongkar semua akaun dalam dunia ni!
.
Ha! Sebut bab gaduh, tadi adalah mamat sorang ni datang kedai ayah saya. Time tu saya tengah jaga kaunter sebab ayah saya nak balik kejap. Maka berseorangan di kedai membuatkan saya tak boleh bergerak secara bebas. Kenalah paku bontot kat kaunter. Tiba-tiba datang mamat ni nak binding. Saya dah cakap, tunggu ayah saya datang kejap.
.
Dengan selamba dia tanya, "Kenapa kau tak reti buat ke?"
.
Saya jawab, "Bukan macam tu. Kalau saya ke sana sapa nak jaga kaunter. Lagipun kejap aje."
.
Entahkan dia dengar atau pura-pura tak dengar. Sambil berdiri berdekatan mesin bainding, dia pandang saya dan cakap,
"Cepatlah!"
.
Aduh, ni yang nak buat saya marah orang pagi-pagi ni.
.
"Tunggu ayah saya datang kejap boleh tak?"
.
Maka mamat ni pun dengan muka bengang nak kena lempang pun melangkah keluar sambil mulut berkata apatah. Lantahlah! Ayah saya pun dah pesan tadi, kalau ada yang nak benda lain cakap tunggu kejap. Jadi kebenaran dan kemenangan berpihak kepada saya. Bukannya tak nak layan pelanggan, tapi nanti disebabkan seringgit dua, tiba-tiba rugi lebih daripada itu. Kedai ayah saya dan banyak kali kena ..., jadi kami dah belajar daripada pengalaman. Lagipun hp kesayangan saya hilang pun masa saya jaga sorang jugak. Time tu saya tinggalkan dalam laci duit. Bayangkan...
.
Bangun lambat lagi best daripada bangun awal-awal macam ni. Tutup pintu rezeki betullah!

Menyentuh Aspek Luaran

.
Nur Kasih, saya pasti ramai juga yang bercerita tentangnya. Jadi saya juga tidak mahu ketinggalan bercerita tentangnya. Sebuah drama islamik yang cuba menyentuh segala aspek luaran yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Antara aspek luaran yang dimaksudkan ialah, keluarga, kasih sayang, kemelut rumah tangga, poligami juga beberapa lagi yang dipaparkan secara langsung dan tidak langsung.
.
Rasanya bukan Nur Amina sahaja yang berdepan dengan persoalan ini. Pastinya antara kita juga berdepan dengan perkara ini iaitu kasih sayang. Kenapa kita lebih kesiankan dan sayangkan orang lain berbanding diri sendiri? Persoalan yang sukar sama sekali dijawab kerana antara kita ada jawapannya dan antara kita ada perasaan kasih dan sayang yang berlainan juga pada orang yang berlainan.
.
Episod 20 Nur Kasih semakin menarik. Persoalan poligai pula mula dipersoalkan. Keluarga Adam secara tak langsung berdialog yang Adam patut pilih salah seorang daripada mereka. Poligami memang senang tapi menunaikan tanggungjawabnya sahaja yang susah. Tapi Nur Aminah, percaya dan mampu memberi kekuatan kepada Adam. Bukan saya maksudkan perempuan di luar sana yang enggan berpoligami tidak baik dan sebagainya. Tapi sendainya perkara itu sudah berlaku, tanggungjawab harus ditunaikan. Buat apa hendak melenting tak tentu pasal.
.
Nur Kasih juga mula mendekati negara jiran kita, Indonesia tanpa sebarang rasa bersalah sedangkan kebelakangan ini industri seni kita dan Indonesia agak tidak sebulu kerana kebanjiran hasil seni seberang. Tapi Nur Kasih, tidak memandang itu, ilmu harus dituntut di mana yang kita rasa tenang dan mampu mempelajarinya. Pastinya ramai yang perasan bendera Indonesia sentiasa menjadi latar belakang setiap sudut pemerhatian kamera. Eh! Ni dah berkaitan dengan persoalan kemasyarakatan dan persefahaman dah ni. Aduh, banyak betul sentuhannya. Bilalah saya nak buat cerita yang sarat dengan segala pengajaran ni?
.
P/S : Yang baik harus diangkat dan yang buruk sekadar teguran

Papadom

.
Ahad lepas akhirnya berkesempatan juga menonton filem yang memenangi
5 anugerah di FFM 22 ini
.
Cerita ni memang best sebab secara tak langsung daripada apa yang pernah saya belajar di ASWARA dulu, saya cuba teliti di dalam filem ini dan rasanya Afdlin semakin berubah. Mungkin juga kerana ada pengarah hebat yang turut membintangi filem ini, penangannya terasa.
Kemengangan filem ini pada saya bukan kelainan isunya, iaitu perhubungan ayah dan anak kerana saya sudah pernah membaca cerita bertemakan sebegini. Tetapi kelainannya terletak pada serpihan sub plot iaitu persoalan tentang industri filem. Saya tak rasa Afdlin cuba 'mencuci bontot' Finas dengan isu sebegitu supaya filemnya diangkat, tetapi dia membawa pemikiran dan meluahkannya di dalam filem yang juga ditonton oleh penggiat seni sendiri.
Tapi ada sedikit kekecewaan daripada kajian tahun. Terutama ketika Miasara menonton filem pada tahun 2009 dan filem yang ditontonnya Zombie Kampung Pisang. Eh filem tu bukan ditayangkan pada tahun 2009, kan? Mungkin jugak sebab tak boleh nak bawak kawan lain masuk, jadi ditayangkan muka AC Mizal dan Awie di situ. Entahlah...
Apa pun, filem ni Wajib Tayang, eh tu nama pena Que. Apa pun, filem ni wajib tonton. Tak perlu bawak tisu masuk panggung sebab tak rasa sedih pun, kelakar mengatasi emosi. Tapi kelakar tu sebenarnya sentapan tau!

Kembali...

.
Ya, watak yang saya tunggu akhirnya kembali juga. Katrina Anne Carlson. Di satu ketika dia melarikan diri sebaik mengetahui dia isteri kedua. Dia perampas! Mungkin juga pelariannya kerana tidak dapat menerima kenyataan atau mungkin juga untuk memperbaiki dirinya seperti Nur Amina. Itu tidak penting, yang penting dia kembali dan bukan wataknya dimatikan sebegitu sahaja. Alhamdulillah penulis skrip ini tidak melakukan seperti yang biasa kita tonton dan baca dalam cerita yang lain.
.
Apakah yang sanggup dikorbankan untuk cinta...
.
Memang sudah dijangkakan orang yang akan keluar dari kereta itu ialah Katrina walaupun ketika itu dia memakai purdah dan hanya nampak kedua biji matanya sahaja. Salam yang diberikannya lebih meyakinkan saya. Yeah, dia kembali. Tak sabar rasanya nak tengok episod yang seterusnya.
.
Tapi saya pasti kepulangan Katrina dapat diterima ibu Adam. Ini kerana ketika Katrina memberi salam, di jawab oleh ibu Adam walaupun penonton menganggap salam itu daripada Nabilah (betul ke nama dia?). Ini ajaran sifuku En. Hassan, semoga memang betul! (",)
.
Wargh!!! Rasanya Drama Nur Kasih ni sampai 26 episod aje, buatlah sambungan. Tak pun keluarkan lagi drama yang macam ni. Gerenti saya pengikut setia.

...


Hari ini, sekali lagi dia keluarkan kata-kata itu untuk saya.
Tambah dia lagi jangan sampai dia sumpah. Hurm...
Kenapa dia susah sangat nak faham dan sentiasa merasakan dirinya betul?
Sebab dia lebih tua daripada saya ke?
Pada saya tua atau muda bukan persoalan,
Yang penting mendengar luahan orang lain juga.
Huh! Katanya lagi, kerana tanggungjawablah dia masih di sini.
Saya diam, sebab saya tahu kalau saya membalas, pasti lebih parah.
Kerana saya tahu kebebasan saya bersuara sangatlah luas.
Tuhan, ampunkan hamba-Mu ini.

Di Pasaran

* Dah elok2 buat jadi macam ni pulak. Dah malas nak betulkan lagi, tempek ajelah.
* Hp di bilik bedah

Selepas Sepi...


Rasanya tak ada apa yang ingin dicatatkan perjalanan selama seminggu itu. Memang terindah dan alhamdulillah saya berjaya menemui serpihan ketenangan-Nya. Mungkin juga apabila lari dari kemelut dan jauh dari keluarga yang tersayang membuatkan saya mengenal siapa diri ini, tanggungjawab juga menginsafi diri. Terima kasih kepada Wandi yang sudi mendengar dan menasihati. Harap show ko esok berjalan dengan lancar.

Buat Romibaiduri Zahar, K.Meen dan Pn. Sujiah, maaf kerana saya gagal memenuhi jemputan kalian. Moga dimasa akan datang masih ada jemputan untuk saya.
Buat yang tak henti menelefon, menjenguk blog dan sebagainya, semoga ada kemaafan untuk saya. Saya hanyalah manusia biasa yang banyak kekurangan dan masih mencari-Nya.

TAG Basi, K.Sarnia

.
1. Anda rasa anda Hot?
Hot dengan pelbagai rasa. Tapi mungkin K.Sarnia lebih hot sebab saya baru jawab TAG dia. Ampun, kanda...

2. Upload gambar kesukaan/kesayangan anda
3. Kenapa anda suka/sayang dengan gambar ini?
Nak kata sayang tu taklah. Tapi suka tu mungkin walaupun ni bukan gambar saya. Tapi gambar ni memberi tahu saya warna hidup kita bukan sekadar HITAM dan PUTIH!

4. Bila kali terakhir anda tak puasa?
Alhamdulillah sempurna. Cuma yang sunat belum tunaikan.

5. Apa yang anda buat sambil selesaikan tag ini?
Sambil mendengar lagu Akim AF7 - Bengang

6. Selain daripada nama anda sendiri, anda suka dipanggil dengan nama apa?
Selalu dipanggil Airull @ Rehal

7. Tag lagi 7 orang tanpa rasa kekesalan...
Rasanya tak perlu, dah basi TAG ni... Ampun K.Sarnia. Jangan serik...

5 Syawal

Sekali lagi dalam bulan Syawal saya menerjah panggung. Kini G-Force yang diimpikan sudah ditonton. Bila pula Papadom menjadi santapan saya?
Secara keseluruhannya G-Force sangat menarik. Membawa kita memahami binatang kecil ini, mereka juga mempunyai perasaan.

2 Syawal

Orang lain sibuk balik kampung, tapi keluarga saya tidak. Kami beraya di kota metropolitan ini. Ya, rasanya dalam rumah ini sudah lengkap, ada mama (nenek saya), ba (ayah), mak, kakak, abang dan adik. Hurm... beginilah keluarga kecik kami beraya. Segala perancangan saat akhir tidak menjadi. Jadi 2 Syawal sangat memboringkan. Rancangan di TV amatlah tidak menarik. Terasa macam pasang Astro pun sama aje. Tak macam apa yang diperkatakan, mungkin lebih sesuai dikatakan, 'Macam-Macam Ulangan Ada!' Ufh!
.
Jadi akhirnya saya, abang dan adik ke MV. Cadang nak tengok G-Force, kemudian kalau sempat nak layan Jin Notti. Saya pun umpama makhluk yang diikat selama sebulan dan dibebaskan pada 1 Syawal. Dah sebulan tak masuk panggung! Tapi bila sampai MV aje, tempat parking pun dah penuh. Hurm... alamatnya mestilah ramai orang. Baru nak beratur, tayangan G-Force 4.45 dah habis... Hurm faham-faham ajelah waktu cuti macam ni, kan? Jadi layanlah Jin Notti.
.

.
Secara keseluruhannya filem keluaran KRU ini adalah terbaik antara keluarannya. Tapi bukanlah yang terbaik antara kesemua filem keluaran Malaysia. Jadi, faham-faham sendiri ajelah, nak komen lebih-lebih saya bukan pengkritik yang mahir dalam bidang ini. Dan lagi satu, saya bukan hendak menjatuhkan filem yang baru berada dipasaran, biarlah penonton yang menilai sendiri. Apa pun, duit tiket yang saya bayar rasanya tidaklah serugi Filem Anak yang pernah saya tonton dahulu. Adalah jugak ilmu disebalik kelonggarannya...
.
Bila yer nak balas dendam tengok G-Force dengan Papadom?

Salam Aidil Fitri

.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir & Batin Buat Semua Umat Islam
Andai Ada Silap Dan Salah, Mohon Di Ampunkan
Dunia Ini Hanya Sementara...
Selamat Tinggal Ramadan, Semoga Kita Berjumpa Lagi

Panas Enjin

14 Ogos adalah tarikh terakhir saya temui titik akhir bagi cerita itu. Perkembangannya masih belum diketahui secara rasmi. Segalanya masih dalam proses. Sangka saya itu adalah kemerdekaan seterusnya bagi seorang penulis. Tapi sebenarnya tarikh itu sedikit malang apabila saya gagal menemui jalan baru atau menyambung jalan mati.
.
Dalam detik menghampiri tarikh itu, saya sentiasa dan berulang kali mendengar lagu nyanyian Nubhan - Seandainya Aku. Walaupun saya tak faham sangat dengan bait kata lirik itu dan gagal mencari liriknya dan tentu sekali lagu itu tidak ada kena-mengena dengan cerita itu, tapi lagu itu sangat berhantu. Saya boleh menaip dengan lancar dan tidak percaya dengan kemampuan luar biasa itu. Mungkin juga ketika itu saya lupa itu pemberian-Nya lalu membuatkan dia menguji saya selepas itu.
.
Tapi alhamdulillah, semalam (7 Sept) saya mula memanaskan enjin. Ujian saya berkurangan sedikit. Saya mampu berfikir serba sedikit walaupun belum mengarang. Rasanya itu sudah cukup. Asalkan otak saya bergerak, tidaklah badan terasa penat tanpa sebab seolah perlu menjalankan semah angin.
.
Berlainan pula kali ini. Bukan lagi Seandainya Aku tapi Bila Aku Jatuh Cinta nyanyian Nidji. Siapa pula yang jatuh cinta dan apa cerita cintanya ni? Segalanya masih dalam peringkat memanaskan enjin. Terima kasih buat semua yang memberi sokongan kepada saya sebelum ini. Saya hormati nasihat senior yang terlebih dahulu merasai apa yang telah saya lalui.
.
Tuhan, aku reda dengan ujian-Mu dan terima kasih kerana kembali menyinariku...


Bila Aku Jatuh Cinta
by Nidji
.
Bila aku jatuh cinta
Aku mendengar nyanyian
1000 dewa dewi cinta
Menggema dunia
.
Bila aku jatuh cinta
Aku melihat matahari kan datang padaku
Dan memelukku dengan sayang
.
Bila aku jatuh cinta
Aku melihat sang bulan kan datang padaku
Dan menemani aku
.
Melewati dinginnya mimpi
Melewati dinginnya mimpi
.
Bila aku jatuh cinta jatuh cinta
Bersama dirimu
Peluk aku dan ciumlah aku
Sayang
.
*Abaikan YM lain dan ini mula diaktifkan; nuharisteam@yahoo.com

Terubat 2

Sepatutnya satu hari tetapi tiba-tiba sahaja bertukar menjadi dua hari. Apa maksudnya tu?

Pagi semalam, tanpa sebarang perancangan tiba-tiba dapat mesej daripada dua orang sahabat ajak berbuka puasa sama-sama. Tapi saya hanya baca mesej tu tengah hari, baru bangun tidur.

Seorangnya Wandi, rakan ASWARA dan seorang lagi Tasya, rakan masa praktikal dulu. Memang antara kami ada yang tanya bila nak berbuka bersama, tapi jawapannya tiada. Tiba-tiba 15 Ramadan menjadi pilihan yang tidak disengajakan.
Sayalah yang paling tersepit. Nak pilih kawan yang mana satu. Akhirnya saya ajak Wandi kelur bersama Tasya dan Ain. Nasib baik jugaklah Si Wandi ni tak kisah sangat dan nasib baik jugaklah kawan saya Si Tasya dan Ain ni jenis tak kisah. Jenis nak cepat mesra. Kalau tak tersekat jugak air liur kat kerongkong. Mungkin hikmah tak bersahur pagi tu.

Destinasi pilihan MV. Elok sampai jer, banyak tempat yang dah penuh kecuali tempat-tempat makanan mentah. Saya awal-awal lagi dah cakap, tekak saya tak pernah makan sushi tu. Jadi tepaksalah kami berbuka dekat Kedai Sandwich dulu, minum air buah sementara nak tunggu Pizza Hut lenggang sedikit. Tapi lepas tu pun tetap orang beratur panjang. Jadi kami pun ke Kenny Rog
es. Barisan tak adalah panjang sangat. Yang bestnya kami makan daripada orang masih beratur sampailah dah tak der orang beratur. Memang kes balas dendam.

Huh! Dah kenyang makan, masa untuk jalan-jalan. Tapi Wandi siap cakap bestnya kalau dapat tidur time kenyang macam ni. Buncit punya orang. Okey, time shooping. Wandi nak beli seluar, kasut dan beg. Tiga benda dalam perancangan tak ada tapi lain pula yang dibeli. Dalam sedar tak sedar dah hampir pukul 11 malam. Wow! Kedai pun dah banyak yang tutup.
.
Jadi Tasya pun buat pilihan nak hantar Wandi terus ke Stesen Putra Bangsar sebelum hantar saya balik. Dia punya risau mengalahkan orang laki. Elok dah hantar Wandi dan kami pun tersalah masuk lorong time nak hantar saya, tiba-tiba topik K.Awe (PM time praktikal dulu) terbuka. Saya dah 2 tahun tak jumpa dia, memang rindu gilalah. Nombor telefon dia pun dah hilang. Tasya pun terhilang nombor telefon dia. Ain pulak tak kenal K.Awe sangat sebab lepas K.Awe keluar, baru Ain masuk join produksi tu. Disebabkan kami bertiga ni nak jumpa pun susah, jadi terus saya cakap jom kita pergi rumah K.Awe. Tasya selaku pemandu setuju aje. Jadi kami kena pujuk Ain dulu, dia dah mengantuk sikit. Lagipun dia segan. Kononnya jumpa kejap aje.
.
Jadi daripada pertemuaan berbuka puasa dilanjutkan sehingga ke hari berikutnya. Bermulalah pengembaraan jejak kasih...

Dalam perjalanan menempuh jem malam minggu, kami cuba telefon kawan-kawan lain. Akhirnya A.Bob jugak yang masih simpan nombor K.Awe. Sempat lagi dia cakap K.Awe dah tak macam dulu. Ya, Tasya pun pernah cakap yang K.Awe dah berubah. Kalau dulu dia pakai baju nampak lemak sana sini, sekarang tak lagi. Dah bertudung. Alhamdulillah. Saya tak kisah macam mana pun penampilan atau perubahan dia, yang penting dia tak lupakan saya. Ya memang betul, elok dapat nombor telefon daripada A.Bob aje, kami terus call K.Awe. Saya yang bercakap dengan K.Awe. Tak perlu kenalkan diri lebih-lebih, cuma sebut nama aje, dia dah kenal. Ah, Tak sangka rupanya dia pun rindukan saya jugak. Memang betul apa yang saya rasa selama ni. Praktikal tu bukan memberikan saya pengalaman bekerja sangat, tapi sebuah ikatan persahabatan. Biar lama tak jumpa, tapi dalam hati masing-masing tak pernah lupa.

Jadi K.Awe pun setuju nak jumpa tapi dia kata kejap ajelah. Dia kena lari dari rumah ayah dia dulu. Ada kenduri sikit. Kami bertiga pun tak kisah. Lagipun jam dah 12 tengah malam. Elok sampai rumah K.Awe aje, memang betul dari segi penampilan K.Awe dah berubah. Tapi perangai gila-gila dia tetap sama. Betul jugak cakap dia, kang kalau dia keterlaluan sangat ada pulak yang cakap dia poyo. Biarlah dia layan semuanya macam biasa dan sesekali terselit nasihat.

Elok dah bersembang panjang lebar, boleh pulak kononnya pertemuan yang singkat tu nak dilanjutkan sampai bersahur. Siap ajak kami tidur kat rumah dia lagi. Katil jangan risau, dia ada tiga anak teruna, jadi sesuailah untuk kami bertiga. Cuma Tasya ajelah terpaksa pendekkan kaki sikit.

Alamak! Kesian kat Ain, dia dahlah mengantuk. Tasya pulak kena balik siapkan assigment. Jam pun dah mula menunjuk pukul 4 pagi. Tak boleh jadi ni, kami kena mintak diri dulu. Nasib baiklah Tasya bangun dulu, kalau tak gerenti kami terus lebur kat situ.

Walaupun hanya beberapa jam, tapi terubat jugak rindu saya kat K.Awe. Siap kena marah lagi ngan K.Awe sebab datang malam, lain kali datanglah time berbuka. Baiklah K.Awe, nanti kami datang time berbuka kalau tak sibuk.

Untuk Wandi : Nanti kita berbuka berdua dan cari apa yang ko nak cari sangat tu ya.

Untuk Ain : Sowi sebab ko terpaksa bersengkang mata untuk aku.

Untuk Tasya : Sowilah dah jumpa K.Awe ko jer yang kena bahan. Biasalah terkenang cerita 2 tahun lepas time kita muda remaja dulu.

Untuk K.Awe : Baiklah akak, nanti kita main masak-masak sama-sama.

Untuk Tuhan : Terima kasih kerana memberi aku keceriaan kala hati dan perasaan dalam serba kekurangan.

Terubat...

3 September 2009
Akhirnya... saya jumpa juga dengan anak buah yang sorang ni. Zahra Hamizaudin. Dah besar pun dia, 2 tahun 1 bulan. Dah pandai bercakap, gelak, menari, membaca dan emo! Maknya nak pakaikan baju kelawar, dia tak nak. mentang-mentaglah ada ramai yang datang, dia pun nak pakai baju cantik-cantik juga.
.
Saya perlukan masa selama 1 jam untuk mengorat dia. Pelbagai usaha yang saya lakukan, akhirnya berjaya juga. Mungkin sebab dia dah tak ingat sangat muka saya, jadi dia macam takut-takut sikit. Saya sentuh tubuh dia sikit, dia tempis siap lap lagi seolah jijik. Mungkin juga ahli syurga ni nak cakap, "Hei, haramlah!" Ha3 Pandai-pandai jer buat tafsiran sendiri.
.
.
Dah dapat pujuk, time berbuka pun nak duduk atas riba saya juga. Zahra... Zahra, nasib baiklah ringan lagi (",)
.
Zahra di samping onyangnya... Hafirda

Zahra di samping Makmenya... Bikash. Orang pertama yang berjaya menggula-gulakan Zahra. Siap bawak pergi taman lagi.
.
Yang hadir di rumah K.Afna, Bikash, Hafirda, Jiha. Yang tutup muka dengan majalah tu laa K.Afna.
.
Zahra versi korea
.
Yang duduk kat bawah tu Epul. Lima minit jer Zahra baik dengan dia sebelum emo kembali. Mugkin terpegun dengan rambut kerintin Epul.
.
Si comel, Zahra. tiba-tiba aje nak gelak sopan. Pelik k.Afna dengan abg tengok dia...
.
Antara juadah berbuka puasa.
.
Terima kasih K.Afna sebab jemput kami. Lain kali kita jumpa lagi. Zahra, jangan lupa macam mana rupa A.Ailul tau... Nanti jenuh nak kena mengorat lagi (",)

 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon