Showing posts with label Bila Hati Berbisik. Show all posts
Showing posts with label Bila Hati Berbisik. Show all posts

Menyingkap Kenangan Katanya...

Menyingkap kenangan katanya...

Novel Bila Hati Berbisik merupakan novel pertama yang saya tulis masa tahun akhir diploma (2007). Apa yang boleh saya katakan yang membuatkan novel ini berjaya sampai ke titik akhir adalah kerana pertandingan antara saya dengan Hafirda Afiela. Siapa siap dulu. Tambahan bila tengok dua orang senior, Hanny Esandra dan Eizda Amani dah berjaya siapkan manuskrip dia orang. Sangat merangsang, kan? 

Syukur alhamdulillah pada April 2008 novel ini diterbitkan oleh Editorial Fajar Pakeer dan mula dijual buat pertama kalinya di Pesta Buku Antarabangsa. Saya sendiri tak sangka sejauh ini BHB diterima pembaca. Rupanya dah lima tahun novel ni di pasaran dan tujuh kali diulang cetak.

Huh cukuplah buat ucapan. Mula kumpul semangat untuk siapkan manuskrip seterusnya

Hasil Pembulian


Gambar di atas adalah pembulian ke atas Widelia Hanny. Tq sebab sudi buatkan.
Ini merupakan novel pertama tulisan saya terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bdh. Baca di bawah untuk tahu sinopsis ceritanya.

BILA HATI BERBISIK

ISBN 978-983-3880-12-6
Sem. Malaysia RM20.90
Sabah/Sarawak23.90

Cinta tanpa berterus terang mampu memisahkan dua hati yang setia terjalin. Cinta yang tidak dilafaz membuatkan Nia dan Adam sama dingin walaupun sudah bergelar suami isteri. Perkahwinan antara mereka terjadi hanya kerana amanat. Adam menganggap Nia masih belum mampu lupakan Ariq. Nia menganggap Adam masih cintakan Melissa. Sejauh manakah perhubungan andai hati berbisik namun mulut tidak pernah berbicara?


“Lafazkanlah jika benar kata hatiku ini sama dengan kata hatimu. Jangan terus bermain dengan bahasa jiwa.” - Nia

“Memang benar cinta itu aneh. Samalah dengan cinta kita. Aneh... kerana sukar diluahkan, sukar dibaca bahasa jiwanya.” - Adam


Di bawah ni pula cover bagi tujuh lagi novel tulisan saya.


BHB - 4

ADAM duduk di ruang tamu rumah. Sedari tadi bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Malu, lucu, semuanya bercampur aduk. Dia malu dengan tindakannya sendiri yang terlalu gelojoh sehinggakan tidak sempat hendak mengetuk pintu bilik Nia terlebih dahulu. Inilah kali kedua dia masuk ke dalam bilik Nia atau dengan lebih tepat menceroboh. Sebelum ini memang dia tidak pernah masuk ke dalam bilik itu. Kali pertama selepas mereka pulang daripada berbulan madu, Adam mengemas barang-barangnya untuk dibawa ke bilik sebelah.
Adam mula mengingati apa yang terjadi sebentar tadi. Sebaik sahaja pintu bilik Nia dibuka, matanya membuntang. Dia menelan air liur beberapa kali. Laju sahaja air liurnya itu melalui ruang kerongkong.
Nia yang baru selesai mandi terkejut apabila pintu biliknya tiba-tiba sahaja dibuka. Hampir terjerit Nia yang hanya memakai sehelai tuala yang menutupi tubuhnya dari paras dada hingga ke paha.
“Maafkan abang.” Sekali lagi Adam memohon maaf dan pintu bilik ditutup rapat.
Adam menekup mulutnya dengan tangan agar ketawanya itu tidak didengari oleh Nia. Luculah pula mengenangkan tindakan bodoh dirinya sendiri. Perasaan risau yang keterlaluan itu membuatkan dia melakukan sesuatu tanpa berfikir.
“Nak menyesal pun dah tak guna lagi. Kalau dia marah terpaksalah aku pasang telinga aje,” keluh Adam. Bantal sofa dicapainya. Dia tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Apa haruskah dia mencari alasan untuk menutup malunya sebentar tadi? Alasannya dia tersalah masuk bilik. Logikkah?
Kenapa aku bertindak sebegini? Adakah benar yang aku cintakan Nia? tanya Adam dalam hati. Ya! Memang benar aku cintakan, Nia. Cinta aku terlalu dalam buatnya, tapi biarlah ia hanya menjadi rahsia hati aku. Seperti mana sebelum ini ia sudah pun menjadi rahsia hati kecilku ini. Aku tidak mampu berterus terang. Nia dan aku hanya diketemukan kerana amanat. Sekiranya bukan kerana itu, kami hanya sekadar sahabat dan tidak lebih daripada itu.
Adam yang baru berkira-kira hendak baring di sofa, membantutkan terus hasratnya apabila terpandangkan Nia sedang menuruni anak tangga. Adam gelabah. Kenapa?
“Apa aku nak buat ni? Ah! Buat-buat tengok TV ajelah.” Anak mata Adam terus terarah ke kaca televisyen.
Gelap. Tiada apa di situ.
“Alamak! Lupa pasang TV lah pulak. Mana remote control ni?” Anak matanya meliar mencari. Dia semakin gelabah.
“Ha, tu pun dia. Hai, jauhlah pulak. Apa aku nak buat ni? Nia dah makin dekat. Nanti tak pasal-pasal dia kata aku tengah terbayangkan tubuhnya yang terdedah itu,” ngomel Adam sendirian, berbaur gelisah.
Akhirnya Adam terpandang majalah yang berada di bawah meja. “Hai, buku! Nasib baiklah kau ada. Alamak! Majalah Wanitalah pulak. Ah! Buat-buat belek ajelah.”
"Abang kata tak balik makan tengah hari, kan?” sapa Nia. Nada suaranya kedengaran sedikit keras.
Dia marahkan aku ke? Apa aku nak buat ni?
“Ya… Ya, betul.” Adam cuba untuk menjawab pertanyaan Nia itu namun sedikit gagap.
“Tapi dah kebetulan abang ada kerja dekat-dekat sini, jadi singgahlah kejap,” tambah Adam kali ini dengan lebih tenang. Kenapa, Nia tak masak ke?” Gilirannya menyoal. Semakin selesa kedudukannya sekarang.
Nia menundukan kepala sebelum menjawab pertanyaan Adam. “Tak, Nia cadang
nak makan nasi goreng pagi tadi saja. Kalau abang nak makan biar Nia masak. Sementara
tu abang berehatlah dulu,” cadang Nia.
“Tak apalah, abang makan apa yang ada. Nia hidang dulu, abang naik solat sekejap,” kata Adam terus meniggalkan ruang tamu itu. Lagi cepat dia beredar dari situ, maka persoalan tadi tidak akan diajukan. Bukankah itu lebih bagus? Akhirnya Adam berjaya juga menenggelamkan rasa marah Nia dengan jawapan serta soalan yang direkannya secara spontan.
Nia hanya mengangguk. Malu pula rasanya. Nasib baik Adam tidak mengecopnya pemalas. Nia tidak lagi mengingati apa yang berlaku sebentar tadi. Lagipun tadi Adam tidaklah menjamah tubuhnya bulat-bulat. Sempat juga dia menutup tubuhnya dengan kain batik yang ada di tangannya daripada terus dijamah Adam. Waktu itu dia langsung tidak memikirkan tiada dosanya walaupun Adam menjamah tubuhnya itu semahunya. Mungkinkah dia terlupa kerana dalam masa sebulan ini sekali pun Adam tidak pernah menyentuhnya?

ANAK mata Nia tepat memandang Adam yang duduk di hadapannya. Sedari tadi lagi Adam kelihatan gelisah, namun Nia tidak cuba bertanya. Dia lebih rela memerhati, takut nanti Adam menganggapnya penyibuk.
Suapan Adam terhenti. Dia memanggungkan kepala. Anak matanya bertaut dengan pandangan Nia. Cepat-cepat Nia melarikan pandangannya.
Macam mana aku nak mulakan? Beratlah pulak mulut ni. Baru sebentar tadi Adam mampu ketawa mengenangkan tindakan bodohnya itu, tapi kini dia tertekan dengan jemputan Irwan. Bagaimana dia hendak mengajak Nia? Mahukah gadis itu menemaninya?
“Nia free malam ni?” soal Adam antara dengar dengan tidak.
“Apa?”
“Nia free malam ni?” ulang Adam. Kali ini lebih kuat.
Nia memandang tepat wajah Adam.
“Maksud abang, kalau Nia free bolehlah ikut abang ke majlis Irwan.”
“Majlis apa?” soal Nia mengangkat kening. Dia masih tidak percaya yang Adam mengajaknya keluar. Tapi ajakan itu dirasakan seperti ajak-ajak ayam sahaja.
“Mmm… Ulang tahun perkahwinan Irwan dengan Ilya,” balas Adam perlahan.
Nia hanya mampu tersenyum. Suapannya diteruskan.
Selesai makan Adam mengangkat pinggan ke singki. Dikemasnya meja makan itu manakala Nia pula mencuci pinggan.
“Nia, abang pergi kerja dulu,” sapa Adam ketika Nia sedang membasuh pinggan. Hampir lucut pinggan yang berada di tangan Nia dengan sapaan Adam itu kerana dia sibuk memikirkan ajakan Adam.
Adam hanya tersenyum memerhati Nia.
“Maaf,” pohon Adam. “Abang dah lewat ni, abang pergi dulu,” beritahu Adam.
Nia hanya tersenyum melihat Adam yang sudah keluar dari ruang dapur. Dia menghempas nafas yang dirasakan melekat di kerongkongnya itu perlahan-lahan.
“Apa kena dengan dia hari ni? Tak pasal-pasal rajin pulak. Demam gamaknya?” Ketawa Nia sendirian.
Selesai sahaja membasuh pinggan Nia terus naik ke tingkat atas. Langkah diatur menuju ke biliknya. Dia melabuhkan punggung di atas katil. Sambil menghela nafas dia berbaring di atas katil. Dia merenung lama siling dengan pandangan kosong. Perlahan-lahan wajah Adam mula terlukis di atas siling itu. Nia tersenyum apabila wajah itu semakin jelas kelihatan.
Sesudah sebulan menjadi isteri Adam, inilah kali pertama Adam mengajaknya keluar. Nia mula memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana akhirnya doanya termakbul jua. Sedikit demi sedikit dia dapat melihat yang Adam sedang cuba mendekatinya.
Nia mula memikirkan bagaimana sewaktu dia berjalan dengan Adam malam nanti.
“Sudah pasti pekerja-pekerja Adam juga datang ke majlis itu. Apa yang perlu aku lakukan? Adakah dia akan menggenggam tanganku dan kami akan berjalan beriringan ke majlis itu? Sambil itu dia akan memeluk pinggangku lalu dikenalkan kepada pekerjanya? Kemudian apabila berdua-duaan pula dia akan merangkul pinggangku dengan erat sekali?” Nia cuba membayangkan apa yang dikatakan olehnya itu. Semuanya memang nampak begitu romantik sekali.
“Ah, mengarutlah! Entah-entah aku yang terpaksa berlakon di hadapan orang ramai.” Nia cuba membunuh segala angan-angannya itu. Dia tidak mahu terus hanyut dengan angan-angan sedangkan hubungannya dengan Adam entah ke mana.
“Sebenarnya Adam anggap aku sebagai apa? Isteri atau sahabat?” soal Nia sendirian.






Berminat mendapatkan novel ini? Pesan terus melalui penerbit order@fajarnovels.com.my

BHB - 3

NIA tersenyum sebaik sahaja terpandang Adam yang sedang menuruni anak tangga. Walaupun senyumannya itu nampak teragak-agak, namun dicubanya juga untuk mengukirkan yang paling baik.
Sudah genap sebulan usia perkahwinannya dengan Adam, namun keadaan masih lagi seperti hari pertama mereka diijab kabulkan. Mereka masih tidur berasingan. Tidak pula ada sesiapa yang membuka mulut bertanya mengapa harus bersikap begitu sedangkan mereka bergelar suami isteri. Adakah mereka selesa sebegitu?
“Jemput makan, bang,” ajak Nia yang masih cuba mencari senyuman terbaik.
“Tak mengapalah, abang dah lewat ni,” balas Adam tanpa memandang wajah Nia. Langkah diatur ke ruang tamu.
“Nia, abang nak pergi kerja ni,” laung Adam.
Nia pantas mendapatkan Adam yang sudah siap memakai kasut kulit berwarna hitam. Sempat juga Nia menjamah tubuh suaminya itu. Adam nampak segak dengan kemeja berwarna kuning cair, berseluar slack hitam juga bertali leher hitam. Wajahnya pula tampak bersih. Yang ada hanyalah janggut sejemput dari bawah bibir ke dagu. Tambah menarik lagi wajahnya yang bersegi itu dihiasi dengan aksesori kaca mata tanpa bingkai menutupi mata kuyunya itu. Memang nampak sesuai, puji Nia.
Mengapa baru sekarang hendak dipujinya sedangkan usia persahabatan mereka sebelum ini sudah menjangkau enam tahun? Adakah kerana Nia sedang mendidik hatinya untuk menerima Adam yang sememangnya sudah pun berada di sisinya?
Nia menyalami Adam dan diciumnya tangan Adam.
“Abang balik tengah hari ni?” soal Nia inginkan kepastian.
“Tak,” balas Adam sepatah.
Nia mendengus sebaik kereta Vios berwarna hitam yang dipandu Adam hilang daripada pandangannya.

NIA duduk menongkat dagu dengan belakang telapak tangannya di meja makan. Anak matanya sedari tadi tidak lepas dari memandang nasi goreng kampung, ayam goreng dan teh panas yang sudah pun sejuk terhidang di atas meja bersama dengan roti bakar. Sedikit pun tidak disentuh oleh Adam.
“Paling tidak pun rasalah sikit, ini tidak, pandang pun tak mahu,” gerutu Nia. Penat lelahnya sedikit pun tidak dihargai oleh Adam.
“Apa aku masak tak sedap ke?” ngomel Nia lagi tapi kali ini suaranya tenggelam timbul kerana ada sesuatu membebani hatinya.
Nia menundukkan kepalanya. Rambutnya yang panjang melepasi bahu mula menutupi ruang wajahnya. Air matanya mengalir keluar perlahan-lahan.
“Adam! Kenapa kau buat aku begini? Kenapa sikap kau sudah semakin berubah? Kau tidak lagi seperti Adam yang aku kenal selama enam tahun lalu. Kenapa kau buat
aku begini?” Esakan Nia makin jelas kedengaran.
“Adam, kenapa kau semakin dingin dengan aku? Kalau kau tak sayangkan aku kenapa kau lakukan semua ni? Kenapa kau kahwin dengan aku kalau kau tak cintakan aku?” luah Nia lagi.
Semenjak sebulan bergelar isteri kepada Adam, setiap hari dia ditemani air mata. Bukan kerana dia didera atau diperlakukan seperti binatang oleh Adam, tapi apa yang diimpikan seolah-olah tidak kesampaian.
Sehari demi sehari Nia cuba mengikis memori indah bersama arwah Ariq dan belajar menerima Adam. Walaupun susah namun dia cuba menyingkirkannya juga sedikit demi sedikit. Kalau boleh dia mahu pernikahan ini diteruskan. Dia ingin hidup sepanjang hayat bersama Adam. Seperti apa yang pernah dikatakan oleh Najla; “Pernikahan ini bukan untuk sehari dua mahupun setahun dua, tapi untuk selamanya.”
Tapi mengapa setiap kali Nia mencuba, Adam seolah-olah dingin? Segala apa yang cuba dilakukan olehnya seolah-olah tidak berhasil. Adakah Nia hanya bertepuk sebelah tangan? Kadangkala Nia rasa pelik dengan sikap Adam yang seolah-olah acuh tak acuh. Ada kalanya Adam mengambil berat terhadap dirinya dan ada kalanya tidak. Berselisih di dalam rumah sendiri pun tidak pernah senyum.
“Apa sebenarnya yang difikirkan oleh Adam? Adakah dia masih menganggap aku sebagai seorang sahabat? Tidak cintakah Adam kepadaku?” soal Nia sendirian. “Apa yang aku merepek ni? Kenapa aku bermimpi di siang hari?”
Pantas Nia menyeka air matanya yang membasahi pipi dengan menggunakan hujung jari apabila terdengar bunyi telefon bimbitnya. Segera dia mengayun langkah menuju ke ruang tamu, mencapai telefonnya yang terletak di situ. Bunyi telefon itu sedikit mengejutkannya.
Sebelum menjawab panggilan itu, sempat Nia melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin telefonnya.

"NASIB baik kau call aku, Naj. Adalah jugak teman nak berbual,” luah Nia.
“Kau memang, selagi aku tak call, jangan harap kau nak call aku. Kau duduk rumah saja ke?” rungut Najla berserta soalan.
“Alah kau ni, janganlah merajuk. Aku bukan tak nak call kau tapi aku takut ganggu kau kerja pulak,” pujuk Nia.
Nia tidak menjawab soalan Najla itu. Apa lagi jawapan yang patut diberikan selain ‘Ya’. Nia sudah semakin bosan terperap di dalam rumah itu dalam tempoh masa sebulan ini. Sudahlah tidak berteman, badan pula terasa sakit sana sakit sini kerana tidak banyak bergerak. Sampai bila dia hendak terus berkeadaan begini? Nia bukanlah seorang yang suka memerap di rumah sebegitu. Dia lebih suka melihat dunia luar. Tiba-tiba terdetik sesuatu di fikiran Nia.
“Aku dah bosan duduk dekat rumah ni, aku ingat aku nak kerja semula. Apa pendapat kau?” soal Nia.
“Bagus jugak tu. Ha! Apa kata kau kerja sekali dengan Adam? Sedikit sebanyak kau boleh bantu dia,” saran Najla.
Nia bagaikan tersentak dengan cadangan rakannya itu. Jantungnya bagaikan terhenti daripada berdegup seketika. Segera Nia mencari jawapan yang terbaik.
“Memanglah boleh bantu, tapi susahlah. Times Holding tu bukannya syarikat dia
seorang, syarikat perkongsian. Kalau boleh aku tak mahu nanti disebabkan aku, dia yang kena marah.” Nia cuba mencari alasan yang nampak sedikit kukuh.
Najla diam sebentar sebelum terus menyoal. “Habis tu, kau nak kerja dekat mana? Tempat lama kau kerja tu?” soal Najla.
“Tak, aku dah boring kerja kat tempat tu.” Nia diam seketika sebelum suaranya bertukar manja “Naj, tempat kerja kau tu ada jawatan kosong tak?”
Najla tersenyum kerana sudah dapat membaca keiginan Nia. “Nantilah aku cuba tanya bos aku.”
“Tolong tau. Sayang kau, Naj.”
“Yalah kau punya sayang. Eh! Dah sebut pasal sayang ni, nak jugak aku tahu sesuatu daripada kau. Henoymoon kau macam mana?” soal Najla mula mengorek. Sudah hampir sebulan dia tidak mendengar perkembangan Nia. Selalunya memang begitulah. Sekejap-sekejap sahaja mereka dapat berbual dan bercerita tentang perkembangan masing-masing. Kemudian diam buat sebulan dua pula.
“Biasa saja. Tak pergi mana-mana pun. Macam apa yang dirancang oleh keluarga akulah. Dekat kampung aku, dekat Kedah tu aje.”
“Maksud kau, tengah-tengah bendang? Wow! Bestnya. Macam mana, boleh ke Adam berjalan atas batas sawah padi tu?”
“Nak kata boleh tu, taklah sangat. Biasalah orang Bandar. Manalah tahu sangat berjalan dekat sawah padi tu. Tapi kira okeylah sebab sebelum ni pun dia dah biasa datang rumah aku dengan arwah Ariq. Nasib baik dia tak takut dengan pacat, kalau tidak buat malu aje,” terang Nia sambil ketawa perlahan. Menyembunyikan kesedihannya apabila teringatkan arwah Ariq.
“Nia, aku tanya kau satu soalan boleh tak?” soal Najla.
“Apa dia? Tanya ajelah.”
“Kau dengan Adam macam mana?”
Diam.
“Aku pun tak tahu, Naj. Perkahwinan kami seolah-olah hanya sekadar melaksanakan amanat arwah Ariq aje. Ada jugak aku cuba, tapi biasalah... mungkin aku terpaksa bersabar dulu. Biasalah, bukan senang nak menyemai perasaan cinta di antara kami,” terang Nia setelah lama membisu.
“Bersabarlah, Nia. Kalau kau orang benar-benar saling menyintai di antara satu sama lain, pasti suatu hari nanti kau orang akan bahagia juga. Bersabar ya, Nia.”
“Terima kasih, Naj.”
“Lagipun kata orang tua-tua, bercinta selepas kahwin lagi best,” seloroh Najla.
“Iyalah tu.”
Ada jugak aku dengar, tapi betul ke? Hatinya mula berbunga girang. Jika benar, dia benar-benar bersyukur.

ADAM melangkah pantas masuk ke dalam bangunan Times Holding. Sejak akhir-akhir ini banyak kerja yang menunggunya. Walaupun dia juga salah seorang pengurus di dalam Times Holding, namun dia tetap turun padang. Jawatan yang disandangnya sebagai Pengurus Besar Times Holding tidak sedikit pun menghalangnya untuk mengetahui bahagian pembangunan yang diuruskan oleh Basri. Bukannya dia tidak percaya dengan pekerja-pekerjanya itu, tapi dia harus memerhati dan memantau apa yang dilakukan oleh pekerjanya. Dia tidak mahu sebarang kesulitan berulang lagi. Cukuplah sekali ianya berlaku sehinggakan Times Holding bagaikan terjerut.
“Selamat pagi, Encik Adam,” kata Jac yang menjawat jawatan sebagai setiausaha Adam.
“Selamat pagi. Ada apa-apa pesanan untuk saya?” soal Adam sedikit tegas.
“Tak ada, Encik Adam.”
Adam terus melangkah, memboloskan diri ke dalam biliknya.

"ISY... menyampah betullah aku dengan dia tu. Sejak akhir-akhir ni sombong semacam aje. Tak mesra macam dulu lagi,” luah Jac pada teman-temannya yang sudah mengeremuni mejanya.
Irwan yang berdiri tidak jauh dari situ hanya memerhatikan mereka. Sambil itu, telinga lintahnya mula mengembang. Tahu sangat dia dengan gosip mereka itu. Tak tentang dunia hiburan pasti perihal pejabat.
“Yalah, sejak dia kahwin ni, dah makin menyombong,” sokong Seri.
“Selalunya bila sampai pejabat saja mesti dia yang tegur kita dulu sebelum kita tegur dia. Sekarang ni dah lain. Aku nak tegur dia pun takut. Muka dia tu serius aje,” sampuk Jiha.
“Jangan-jangan isteri dia dah beri amaran pada dia jangan tengok perempuan lain tak?” kata Seri sambil berseloroh.
“Lewat pulak dia masuk kerja hari ini, kan?” Fikir Jac memuncungkan bibir. Dia langsung tidak menghiraukan ketawa yang terhambur dari mulut Seri dan disambut pula oleh Jiha.
“Jangan-jangan dia ada masalah dengan isteri dia tak?” kata Seri sekali lagi, cuba membuat andaian sendiri.
“Eh! Tak mungkin. Dia orang tu pasangan bahagia,” sampuk Irwan menangkis andaian mereka bertiga itu.
Anak mata Jac, Seri dan Jiha membuntang. Masing-masing memandang satu sama lain sebelum anak mata mereka terarah pada Irwan.
“Aaa… aaa… Encik Irwan!” kata mereka bertiga hampir serentak sambil tersenyum menyeringai.
“Ya, saya. Ada apa?” balas Irwan sambil melentokkan tubuhnya menggoda. Ala-ala gedik pun ada. Sengaja dia mengutuk mereka bertiga. “Apa tercegat lagi tu, pergi buat kerja cepat,” arah Irwan kali ini dengan nada suara sedikit keras.
“Encik Adam ada?” soal Irwan kepada Jac setelah Jiha dan Seri kembali ke tempat mereka.
“Ada. Dia baru masuk,” balas Jac dengan muka masam.
“Senyum sikit,” kata Irwan sebelum meninggalkan meja Jac.
Jac hanya mencebik. Dia memandang wajah Jiha dan Seri yang tersenyum ke arahnya.
“Masuk,” laung Adam dari dalam biliknya setelah mendengar bunyi ketukan pintu biliknya.
“Hai, sibuk nampak? Tahulah dah ada tukang urut dekat rumah, tapi janganlah sampai tak ada masa nak berehat.”
Adam memanggung kepalanya melihat Irwan yang masih lagi tercegat di hadapan pintu. “Eh! Wan, masuklah. Macam tak biasa pulak,” pelawa Adam.
“Wah! Berseri-seri lagi muka kau ni ya, Adam,” puji Irwan lalu duduk bertentangan dengan Adam.
“Mengarutlah kau ni, Wan. Ada apa kau datang jumpa aku ni?” soal Adam. Malas pula mendengar pujian Irwan yang langsung tidak benar padanya.
“Betullah apa yang budak-budak tu cakap, kau sekarang ni dah makin menyombong. Bukan saja dengan dia orang, tapi dengan aku sekali,” balas Irwan sambil membetulkan duduknya.
“Apa?” Adam terkejut. Nampaknya kali ini gilirannya pula jadi bahan gosip. Dia tidaklah berapa kisah sangat dengan cerita-cerita sebegitu, tapi biarlah hanya di dalam bahagian pengurusan kewangan sahaja.
Adam ketawa kecil sebelum meneruskan kata untuk membela dirinya. “Aku cuma tak ada mood hari ni, bukannya menyombong.”
“Kenapa? Kau gaduh dengan Nia ke?” soal Irwan.
“Ishy… kau ni. Doakan aku bergaduh pulak. Ada hal sikit dekat tapak projek tu.
Alah, hal kecik aje.”
“Kalau dah tahu hal kecik buat apa nak sakit kepala?” sindir Irwan. “Macam mana dengan Nia, sihat?” soal Irwan ingin tahu.
Adam terdiam sebentar. Nampaknya Irwan sudah menyentuh tentang topik rumah tangganya pula. Dia sendiri tidak pasti sama ada Nia sihat ataupun tidak. Daripada apa yang dilihatnya pagi tadi, Nia memang nampak sihat sahaja. Bukannya dia sengaja tidak menjamah sarapan yang telah disediakan oleh Nia tapi dia terpaksa bergegas keluar lebih cepat kerana hendak ke tapak projek terlebih dahulu dan mahu segera sampai ke pejabat. Tahu sajalah jalan di Kuala Lumpur. Tambah di waktu-waktu genting.
Adam tersedar daripada lamunannya, segera menjawab pertanyaan Irwan.
“Sihat. Sihat sangat,” balas Adam tersenyum. Lakaran tubuh Nia dahulu dan sekarang terukir di depan kaca matanya. Tubuh Nia kini semakin berisi. Sehingga sekarang belum ada sesiapa lagi yang tahu dia dan Nia berkahwin kerana amanat, melainkan keluarganya dan keluarga Nia.
“Dah ada tanda-tanda?” soal Irwan memancing.
“Tanda-tanda apa?” Adam mengerutkan dahi.
“Alah kau ni, buat tak faham pulak,” balas Irwan tersenyum menyeringai menayang giginya yang tidaklah seberapa putih itu.
“Ha sudah! Kalau aku sembang dengan kau ni rasanya sampai esok pagi pun gerenti takkan habis. Apa hal kau jumpa aku ni?” soal Adam. Dia sudah dapat tangkap apa yang disoal oleh Irwan itu. Dengan cara menyoal semula sebegitu, dia pasti dapat menutup atau mengubah topik perbualan yang sedang dibangkitkan oleh Irwan.
Macam manalah Nia nak berbadan dua kalau kami tidur berasingan. Adam faham benar dengan sikap Irwan itu. Bab mendengar cerita orang memang laju. Walau bagaimanapun, Irwan memang seorang pendengar yang baik.
“Sebenarnya malam ni aku nak jemput kau datang rumah. Aku ada buat party sempena ulang tahun perkahwinan aku dengan Ilya.”
“Oh, ya! Congratulations,” ucap Adam. Mereka berjabat tangan. Memang Adam terkejut kerana dia sendiri tidak menyangka sebegitu cepat masa berlalu.
“Macam mana dengan Ilya. Lagi berapa bulan nak due?” soal Adam teringatkan Ilya yang kini berbadan dua.
“Okey, mungkin lagi dua tiga bulan aku bergelar papa,” balas Irwan sambil tersenyum. Dia memang tidak sabar untuk menimang anak sulungnya itu.
“Kau jangan lupa datang malam ni. Bawa Nia sekali,” pesan Irwan sekali lagi.
“Aaa… aaa... insya-ALLAH,” balas Adam sedikit gagap. Ligat dia memikirkan cara untuk mengajak Nia. Bagaimana?
“Okeylah, aku keluar dulu. Aku kerja separuh hari hari ni ya? Jangan potong gaji aku tau. Kesian dekat anak aku yang bakal lahir tu,” gurau Irwan.
“Kalau ikut hati aku, memang aku nak potong gaji kau pun. Tapi sebab kau pun bos, apa aku boleh buat,” balas Adam sambil mengangkat bahu.
“Malam nanti jumpa dekat rumah aku tau. Jangan lambat, kau tetamu istimewa aku malam ni.” Sekali lagi Irwan mengulangi perkara yang sama.
Anak mata Adam mengekori Irwan sehinggalah Irwan keluar dari biliknya. Pintu biliknya ditutup dari luar. Adam menghembus nafas lega. Tiba-tiba pintu itu dibuka semula dari luar, mengejutkan Adam. Muka Irwan tersembul.
“Kau lewat masuk pejabat hari ni, kenapa?” soal Irwan “Nia tak bagi kau keluar rumah ya?”
“Taklah,” balas Adam segera menidakkan kata-kata Irwan itu. “Kan aku dah kata, aku pergi tapak projek,” terang Adam sekali lagi.
Irwan tersenyum mengejek melihat Adam yang sedikit gelabah.

"APA aku nak buat ni?” rungut Adam sendirian.
Moodnya hendak menyemak dan menandatangai dokumen yang ada di atas mejanya tiada. Nampaknya kerjanya semakin tertangguh. Adam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Macam mana aku nak cakap dekat Nia?”
Kedudukan cermin matanya dibetulkan agar benar-benar terletak di atas batang hidungnya. Adam bangun daripada duduknya. Sekali lagi dia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Kot yang tersarung pada tubuhnya itu dilucutkan dan diletakkan di atas kerusi. Tali lehar yang mencengkam batang lehernya dilonggarkan. Terasa panas walaupun berada di dalam bilik yang berhawa dingin.
“Apa yang harus aku lakukan sekarang? Takkan nak cakap terus terang dengan dia? Apa pulak yang dia kata nanti? Hai, peningnya,” keluh Adam runsing.
“Wan ni pun satu, lambat sangat bagi tahu aku,” rungut Adam menyalahkan Irwan pula.
“Kenapalah susah sangat?” Adam berjalan ke kanan dan ke kiri, mencari buah fikiran. Kaca matanya ditanggalkan. Setelah beberapa minit, akhirnya dia berhenti dan duduk di atas mejanya.
“Bukan susah sangat pun. Kan dah ada kemudahan canggih ni, guna sajalah,” kata Adam lalu menyambar telefon bimbitnya.
“Tak payahlah aku tengok reaksi wajah dia nanti,” cadang Adam dengan penuh harapan.
Kaca matanya disarungkan semula. Lancar sahaja jarinya mendail nombor telefon Nia yang sememangnya sudah ada di dalam kotak ingatannya. Gagal. Nia tidak menjawab panggilannya. Dicuba sekali lagi. Namun tetap tiada jawapan.
“Kenapa Nia tak jawab panggilan aku?” soal Adam sendirian sambil melihat telefon bimbitnya. Sekali lagi Adam mendail. Namun masih tiada jawapan.
“Ada apa-apa yang berlaku ke?” soal Adam sendirian lagi. Otaknya ligat berfikir.
“Takkan dia saja tak nak jawab panggilan aku kut? Tapi Nia tak macam tu. Atau dia sedang buat sesuatu? Cuba untuk membunuh diri kerana teringatkan arwah Ariq? Ishy… apa aku melalut ni?” Di ruangan mata Adam mula terbayangkan cara-cara Nia cuba membunuh diri dengan menelan pil secara berlebihan.
“Ah! Tak mungkin!” jerit Adam.
Tangannya terus menyambar kunci kereta yang ada di atas meja dan terus keluar dari biliknya.
“Jac, tolong batalkan semua meeting saya petang ni.” Tergesa-gesa Adam berlari keluar dari bangunan Times Holding.
Kakinya yang menekan dalam pedal minyak itu membuatkan kereta yang dipandunya terus bermaharajalela di atas jalan raya. Langsung dia tidak mempedulikan bunyi hon dari kenderaan lain. Baginya dia harus segera sampai ke rumah.
Jalan yang sedikit sesak membuatkannya terpaksa memperlahankan kenderaan. Akhirnya dia terpaksa berhenti apabila lampu isyarat itu bertukar merah. Sempat Adam mengerling jam yang terdapat di dalam keratanya.
“Patutlah ramai orang, waktu makan tengah hari rupanya.”
Sebaik sahaja lampu bertukar warna hijau, terus Adam memecut laju. Adam tidak lagi mempedulikan peraturan jalan raya. Yang penting baginya sekarang ini ialah dia hendak bertemu dengan Nia. Tiba-tiba sahaja dia bimbangkan Nia. Bukan bermaksud selama ini dia tidak mempedulikan gadis itu. Tapi kebimbangannya tersembunyi di sebalik satu lapisan yangmenjadi penghalang di antara mereka berdua.
Tiba sahaja di rumah, Adam terus berlari memasuki rumah berkembar dua tingkat itu. Pintu rumah dibuka dengan begitu rakus sekali. Kalau boleh mahu saja dipecahkan pintu itu. Seluruh rumah dia mencari Nia. Dari dapur sehinggalah ke bilik tidur Nia. Sewaktu membuka pintu bilik Nia, tiba-tiba anak matanya membuntang. Adam menggigit hujung bibirnya sendiri.
“Maafkan abang,” kata Adam perlahan namun anak matanya tidak lepas daripada menjamah tubuh Nia.

BHB - Bab 2

SAYUP-SAYUP kedengaran panggilan seruan buat umat Islam bangun dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba di muka bumi-Nya ini. Kedengaran bunyi air jatuh terus ke lantai. Sesekali ianya sampai terlebih dahulu ke anggota tubuh Adam.
Azan Subuh sudah 15 minit selesai berkumandang. Niat Adam semalam untuk menunaikannya bersama-sama dengan jemaah lain di surau tidak kesampaian kerana terlewat bangun. Sangkanya dengan cara itu bolehlah dia mengeratkan silaturahim dengan jiran-jiran yang belum dikenali itu. Rumah berkembar dua tingkat itu sudah lama dibelinya tapi baru kini dihuni bersama Nia.
Sejadah dihamparkan ke arah kiblat. Terus Adam menunaikan Solat Subuh tanpa berlengah lagi. Solat Subuh yang hanya dua rakaat itu tidaklah mengambil masa yang lama. Sebaik sahaja selesai memberi salam, terus dia menadah tangan memohon kepada Yang Maha Berkuasa itu.

“YA ALLAH, Ya Tuhanku, Kau tempatkanlah Ariq bersama-sama dengan mereka yang soleh. Aku tahu Kau mengambilnya kerana Kau juga menyanyanginya. Kasihanilah dia, Ya Allah, Ya Tuhanku.”
Sudah berulang kali Nia mengulangi perkataan yang sama. Tidak jemu-jemu dia menadah tangan dan memohon kepada Yang Maha Mendengar itu. Air matanya sudah menitis keluar dari kelopak matanya. Tidak lagi mampu ditahan. Empangan itu memang terlalu mudah untuk roboh sejak akhir-akhir ini.
Nia masih lagi duduk di atas tikar sembahyang. Tangannya masih lagi ditadah, terus memohon. Kali ini apa yang dipohon adalah untuk hari ini, esok dan insya-Allah untuk selamanya.

“YA ALLAH, Ya Tuhanku, hanya pada-Mu tempat untuk kumengadu dan memohon simpati. Kau kuatkanlah hati hamba-Mu ini untuk terus menempuhi ujian-Mu ini. Berikanlah hamba-Mu ini petunjuk untuk menempuhi alam rumah tangga ini. Pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang benar. Tegahlah hamba-Mu ini dengan sebarang halangan sekiranya ianya adalah perbuatan yang dilaknat oleh-Mu.”
Setelah memohon doa, akhirnya Adam mengaminkannya. Songkok di atas kepala ditanggalkan dan diletakkan di atas sejadah. Adam masih lagi duduk di atas sejadah, cuba merenung masa depannya. Masa mendatang memang tak siapa yang tahu apa yang bakal berlaku, tapi tak salah sekiranya merancang.
Adam melepaskan keluhan entah buat kali yang ke berapa. Otaknya bagaikan tidak mahu berputar. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang ini. Fikirannya masih berkecamuk. Segalanya bercampur aduk dan beku. Al-Quran yang sedari tadi sudahpun berada di sisinya diambil. Mungkin dengan cara ini dia dapat menenangkan fikirannya.

PAGI ini sekali lagi Nia membaca Surah Yassin. Setelah selesai, dia bangun, menuju ke arah jendela yang terdapat di dalam biliknya. Langsir yang menutupi jendela diselak. Terus terpancar cahaya mentari pagi, masuk ke dalam biliknya. Matanya mengecil sedikit akibat silauan itu.
Nia mengerling ke arah jam yang tergantung pada dinding. Terkejut besar dia melihat waktu ketika itu. Jarum jam menunjuk tepat ke angka 9.00 pagi. Sepatutnya dia sudah menyediakan sarapan pagi pada waktu ini. Sebentar lagi dia dan Adam akan bertolak ke tempat berbulan madu.
Berbulan madu? Memang mereka berdua langsung tidak merancang untuk pergi berbulan madu, tapi ianya adalah atas kehendak keluarga mereka. Tidak mampu ditentang oleh Nia dan Adam kerana mereka tidak seharusnya terlalu mementingkan diri secara keterlaluan.
Nia segera menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur. Sempat juga dia berfikiran nakal.
“Ada ke barang dapur dalam rumah ni? Setahu aku Adam bukannya seorang yang suka masuk dapur, melainkan kalau terdesak.”
Nia membuka pintu peti ais. Kosong. Tiada isi di dalam peti ais itu. Nia tersenyum. Memang betul apa yang baru dikatakannya itu. Adam tak akan masuk ke bahagian dapur, jadi sudah tentulah barang dapur juga tiada. Senyuman Nia makin lebar. Dia menggeleng kepala beberapa kali. Apa yang aku nak buat sekarang? soal Nia sendirian
Nia mengambil keputusan untuk duduk menunggu Adam di meja makan. Dia sedikit terpegun dengan segala perabot dan hiasan yang ada di dalam rumah itu. Ringkas tetapi menarik.

BHB - Bab 1

NIA duduk di atas katil yang bercadar putih bersih itu dengan memakai pakaian pengantin berwarna ungu lembut. Tambah ayu lagi apabila dia memakai tudung menutupi kepalanya. Terdapat sehelai selendang di bahagian atas kepalanya, ala-ala Waheeda. Walaupun dia kelihatan cantik dan ayu berpakaian sebegitu, namun wajahnya tidak sebegitu. Keserian pengantin yang terpancar hanyalah dibuat-buat sahaja. Para tetamu yang hadir tidak mengetahui apa yang bermain di dalam hatinya. Cecair jernih mula keluar dari kelopak matanya dan mengalir perlahan ke bahagian pipi.
“Riq, maafkan Nia,” ucapnya sayu lalu menundukkan kepala.
Cepat-cepat Nia menyeka air matanya dengan hujung jari apabila pintu bilik dibuka.
“Kau menangis, Nia?” soal Najla yang baru memasuki bilik pengantin. Terus duduk bersebelahan dengan Nia.
“Taklah,” balas Nia dengan senyuman yang dibuat-buat.
“Jangan tipu, Nia. Aku tahu kau menangis. Kenapa kau menangis?”
“Aku tak menangis.” Nia masih tidak mengaku.
“Habis tu kenapa mata kau berair?” soal Najla sedikit mendesak.
“Aku… aku sedih sebab terpaksa berpisah dengan mak dan abah aku,” bohong Nia. Tapi memang benar tercalit juga sedikit kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan orang tuanya.
Najla menggeleng-geleng kepalanya. Bukannya dia tidak tahu apa yang sedang bermain di jiwa Nia, tapi dia masih sengaja menyoal. Dia juga perempuan, dia dapat rasa apa yang Nia rasa sekarang ini. Bercinta dengan orang lain tapi terpaksa berkahwin dengan orang lain.
“Sudah, mari sini aku betulkan semula mekap kau tu,” ajak Najla tidak mahu terus menekan Nia.
Nia hanya menurut.
“Nia, kau fikir apa yang kau buat ini betul ke?” soal Najla.
“Kenapa, Naj?”
“Baru dua minggu dia pergi meninggalkan kita. Tup tup, kau nak kahwin dengan Adam. Kau tak kesiankan arwah ke?” Lancar sahaja mulut Najla menyoal. Solekan yang dikenakan pada wajah Nia terhenti.
“Naj, kau tak faham apa yang aku rasa sekarang ni. Ini amanat arwah. Aku bukan suka-suka kahwin dengan Adam. Aku tahu ini bukan main pondok-pondok.” Nia cuba menerangkan apa yang terbuku di hatinya.
“Aku faham, Nia. Tapi aku cuma risaukan kau. Kau yakin kau boleh bahagia dengan Adam sekiranya perkahwinan ini kau anggap sekadar untuk melaksanakan amanat arwah?” soal Najla memandang tepat wajah bujur sirih Nia.
Nia diam membisu, menundukkan kepala. Soalan Najla itu tidak mampu dijawab melainkan…
“Naj, tolong faham situasi aku,” balas Nia lirih.
“Aku faham, Nia. Aku faham dan aku dapat rasa apa yang kau rasa sekarang ni. Aku tahu kau tertekan. Bukan niat aku nak tambahkan lagi tekanan kau. Tapi kau harus fikirkan masa depan kau juga,” pujuk Najla sambil menggenggam tangan sahabatnya itu.
“Apa yang patut aku buat sekarang, Naj?”soal Nia semakin buntu. Pernikahannya
akan dilaksanakan sebentar lagi, takkan hendak dibatalkan? Air hangat mula bertakung di kelopak matanya.
“Kau yakin Adam cintakan kau?” soal Najla.
Nia diam memikir. Dia hanya mengangguk sebagai jawapan.
“Kau yakin Adam dapat membahagiakan kau?
Anggukan lagi sebagai jawapan kepada Najla. Entahlah anggukan pasti ataupun tidak.
“Kau yakin kau boleh bahagia bersama Adam?”
“Aku boleh cuba lakukannya,” balas Nia kali ini tanpa anggukan.
“Kalau itu yang kau fikirkan, terserahlah pada kau. Aku harap kau sudah fikir semasak yang boleh. Kau dengan Adam bukan hidup bersama untuk sehari dua mahupun setahun dua, tapi untuk selamanya. Aku sentiasa mendoakan kebahagaiaan kau orang berdua,” terang Najla mengingatkan Nia. Walaupun Najla belum berkahwin atau berpengalaman dalam hal rumah tangga, namun benar apa yang dikatakannya itu.
“Terima kasih, Naj,” balas Nia sambil memeluk Najla.
“Aku harap kau tak menyesal dengan apa yang kau lakukan ini,” bisik Najla halus ke telinga Nia.
“Sudah, tak baik pengantin menangis. Nanti hilang serinya,” tambah Najla lagi lalu meleraikan pelukan.
“Sebenarnya kau bukan risau hilang seri tapi kau takut solekan kau comot, kan?” soal Nia kali ini. Barulah dia senyum dengan betul.

MAJLIS pernikahan Adam dan Nia dilangsungkan secara sederhana. Majlis akad nikah diadakan di rumah berkembar dua tingkat Adam sekali gus dengan majlis bersanding. Majlis mereka tidak seperti pasangan pengantin yang lain. Duduk di atas pelamin yang begitu gah, cantik dan bersesuaian dengan majlis pernikahan yang dianggap hari yang paling berbahagia dan ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang bercinta.
Ini adalah kehendak Adam dan Nia sendiri. Mereka bukanlah seperti pasangan lain; merpati dua sejoli. Hubungan yang pernah terjalin dahulu hanyalah sekadar sahabat baik.
Keluarga mereka tidak mampu untuk membantah. Masing-masing tahu yang anak mereka itu sudah besar. Mampu untuk berfikir yang mana baik dan buruk. Bukannya kerana mereka langsung tidak mengendahkannya atau tidak mengambil tahu, tapi mereka terpaksa menjaga hati anak-anak mereka itu sendiri. Mereka harus faham situasi Adam dan Nia. Mereka juga pernah remaja. Perasaan orang remaja sememangnya lain. Lagipun, tiada apa yang hendak dihalang kerana kedua-dua belah pihak keluarga memang mengenali bakal menantu mereka itu walaupun tidak berapa rapat.
Jam sudah menunjuk ke angka 11.00 malam, namun Adam masih lagi berada di ruang tamu rumah yang dibiarkan gelap. Dia selesa begitu. Langkahnya yang sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri itu akhirnya terhenti. Punggungnya dihenyak ke atas sofa, berserta dengan keluhan berat.
Malam ini adalah malam pertamanya dengan Nia. Bagi pasangan lain malam ini adalah malam yang terlalu bermakna sehinggakan tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Tapi tidak bagi Adam.
Fikirannya berkecamuk. Setiap kali dia bersuara pasti ada saja yang dibidas oleh kata hatinya. Semakin bercelaru dia dibuatnya. Hendak mengikut kata hati atau haknya?
Hendak tidur sebilik dengan Nia atau tidak? Itulah persoalannya. Walaupun persoalan itu nampak terlalu remeh dan biasa, namun ianya berbisa kerana jika tersalah langkah mungkin sesuatu yang tidak diingini boleh berlaku. Itulah yang bermain di fikirannya sejak tadi.
Kalau ikutkan hukum, Nia sudah menjadi haknya. Dia sudah boleh menyentuh Nia kerana mereka sudah pun menjadi suami isteri. Apatah lagi tidur sekatil dengan Nia. Dia juga boleh minta apa yang sudah menjadi haknya daripada Nia.
Namun tetap difikirkan kata hatinya: Bagaimana dengan penerimaan Nia? Tidakkah dia akan terkejut melihat aku terpacak di hadapan pintu bilik? Adakah dia akan menjemput aku masuk atau menghalau aku keluar dari bilik itu?
Kalau dia panggil aku sekalipun, apa yang boleh aku buat? Pasti aku hanya kaku di situ. Lebih baik aku tidur di luar. Aku pasti dia masih teringatkan arwah Ariq. Bukankah perkahwinan kami hanya untuk menunaikan amanat arwah? Tak mungkin dia akan menjemput aku masuk.
Kalau dia halau aku, padan dengan muka aku. Kahwin dengan orang yang tidak mencintai aku. Tapi kalau betul dia tidak mencintai aku, kenapa dia sanggup menerima lamaran aku? Kenapa dia sanggup menghabiskan masanya untuk hidup bersama aku? Kenapa?
Adam menanggalkan kaca matanya yang bertenggek di atas batang hidung terlebih dahulu sebelum meraup wajahnya dengan kedua belah tangan. Peluh yang memercik keluar dari dahi dikesat dengan tangan.
Sebab ini adalah amanat arwah Ariqlah, ngok! Bukankah dia terlalu mengasihi Ariq. Sudah tentu dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat merealisasikan kehendak orang yang tersayang. Tambahan pula apa yang diminta oleh arwah Ariq adalah amanat terakhirnya.
Tanpa sedar Adam sudah pun memburuk-burukkan Nia dan arwah rakan baiknya sendiri. Ah! Apa yang aku cakap ni? Adam beristighfar panjang. Apa yang patut aku buat sekarang?
Adam semakin tidak tahu apa yang sebenarnya hendak dicari sekarang ini. Memang betul apa yang diperkatakan: Apabila berada berdua-duaan lelaki dan perempuan, pasti akan ada makhluk yang ketiga.
Ariq, kenapa kau buat aku begini? Memang aku cintakan Nia, tapi itu semua dulu. Dia hanya cintakan kau, Riq. Bukan niat aku untuk menyalahkan kau, tapi aku tak mampu mencurahkan kasih sayang pada orang yang tak sudi. Aku hanya mampu menjaga dia bagi pihak kau, Riq. Tapi aku tak mampu membahagiakan dia seperti mana dia bahagia di samping kau, keluh Adam sayu apabila teringatkan arwah Ariq.
Adam bangun daripada duduk. Berjalan ke kanan dan ke kiri seperti tadi. Jawapan masih belum ditemui. Apa yang patut dilakukannya? Jarum jam semakin hampir menunjuk ke angka 12.00 tengah malam.
“Adakah Nia sedang menantikan aku?” soal Adam perlahan.
Buat apa pulak! Pasti dia sedang asyik dibuai mimpi indah mengingatkan memori bahagia yang pernah dikecapi bersama Ariq? bidas hati kecilnya.
“Apa yang patut aku lakukan ni?”
Apa kata kau masuk saja bilik tu dan terus tidur di sisi Nia? cadang hatinya.
“Bukankah itu bermakna aku seorang penceroboh?”
Ah lantaklah! Penceroboh apanya? Itukan hak aku! tegas Adam.
Dalam kegelapan Adam berjalan perlahan-lahan menghampiri anak tangga. Tangannya meraba ke kiri dan kanan untuk ke tingkat atas. Kelihatan cahaya lampu masih terang-benderang dari dalam bilik pengantin sebaik Adam sampai ke kemuncak tangga itu.
“Nia belum tidur lagi?” soal Adam sendirian sambil mengerut dahi.
Langkah diatur menghampiri bilik itu. Sayup-sayup kedengaran suara Nia membaca ayat suci al-Quran. Semakin dekat Adam dengan bilik itu, semakin jelas sampai ke telinganya surah yang sedang dibaca oleh Nia.
Langkah Adam terhenti di hadapan bilik itu. Pintu dibukanya sedikit agar dapat melihat wajah Nia.
Tekun benar Nia membaca surah Yassin pada malam-malam sebegini, bisik hati kecil Adam sebaik terpandang Nia yang memakai telekung sembahyang. Duduk di atas sejadah. Perlahan-lahan daun pintu itu ditutup semula. Adam melepaskan keluhan lalu menyandarkan tubuhnya pada dinding. Orang lain menganggap malam ini malam yang paling bahagia buat pasangan pengantin baru, tetapi tidak oleh Adam. Bahagia itu tidak dikecapinya.
“Ah! Apa dah jadi dengan aku ni? Bukan nafsu yang aku cari, tapi aku sedang mencari seorang isteri yang baru aku nikahi. Isteri?”
Andaian Adam mengatakan Surah Yassin yang dibaca oleh Nia dengan penuh kelembutan di sebalik kesayuan mengingatkan orang yang tersayang adalah dihadiahkan khas buat arwah Ariq.
Bukannya dia cemburukan arwah Ariq kerana lebih dipentingkan oleh Nia, tapi hati kecilnya sedikit terguris. Dia amat mengetahui apa yang dirasakan oleh Nia. Masakan tidak, selama enam tahun mereka berkawan sudah pasti Adam dapat mentafsirkan sesuatu dari apa yang dilihat sepanjang hubungan Nia dan Ariq.
Ariq adalah cinta pertama Nia. Kata orang cinta pertama memang sukar untuk
dilupakan. Ya, memang benar. Penangan cinta pertama terlalu dahsyat.
Langkah diatur perlahan meninggalkan bilik itu. Adam mengambil keputusan untuk tidur di bilik sebelah. Haruskah dia memaksa Nia sekiranya gadis itu sendiri masih tidak dapat menerimanya? Masih tidak dapat melupakan insan yang pernah dicintainya?
Tidak! Aku tidak harus memaksanya. Aku sendiri tidak percaya sekarang ini aku sudah pun mengahwini kekasih sahabat kusendiri. Bukan dia seorang sahaja yang masih belum bersedia untuk menempuhi alam rumah tangga ini, aku juga begitu. Aku masih mentah. Aku masih belum mengetahui apa itu sebenarnya maksud perkahwinan, luah Adam.
Lagipun masih baru lagi arwah pergi meninggalkan mereka. Adam sendiri masih belum dapat menutup buku kenangannya selama enam tahun bersama sahabat yang sudah dianggap seperti saudara sendiri. Suka dan duka ditempuhi bersama, melainkan rahsia penyakit yang membawa maut itu.
Sebelum masuk ke dalam bilik sempat Adam menoleh sekali lagi. Melihat bilik Nia. Daun pintu itu masih tertutup rapat seperti yang ditinggalkannya sebentar tadi.

BHB - Prolog

SUASANA di dalam wad itu masih lagi diselebungi kesunyian. Ariq terbaring lemah di atas katil di dalam wadnya. Kelihatan beberapa wayar mencucuk tubuhnya. Bibirnya yang kering itu membuatkan kulit di bahagian bibirnya mula merekah dan mengelupas. Anak matanya pula tenggelam di balik wajahnya yang semakin cengkung. Seorang doktor yang berada di sisinya sejak lima minit yang lalu masih memeriksa keadaannya walaupun Ariq dapat merasakan ajalnya sudah semakin dekat.
“Doktor?” panggil Ariq lemah.
“Ya! Kenapa, Riq?” soal Doktor Adzlan yang sudah lebih dua bulan merawatnya.
“Terima kasih... Terima kasih di atas segala jasa dan budi baik doktor,” ucap Ariq tersekat-sekat. Tekaknya terasa perit setiap kali hendak bersuara.
Dokor Adzlan tersentak seketika. “Itu sudah menjadi tanggungjawab saya. Sudahlah, awak berehat ajelah. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Kuatkan semangat. Awak hanya boleh menerima rawatan selanjutnya apabila keadaan awak kembali stabil. Kuatkan semangat, Riq,” nasihat Doktor Adzlan sambil menggenggam tangan pesakitnya.
Doktor Adzlan juga berasa sedih melihat keadadaan Ariq sebegitu. Tapi kerana memikirkan dirinya sebagai seorang doktor, perasaan sedih yang terbuku di dalam hatinya diketepikan seketika.
Aku seorang doktor, aku tak boleh bersedih di hadapan pesakit aku. Aku harus sentiasa tersenyum, memberi harapan. Ini bukan kali pertama aku berdepan dengan keadaan sebegini. Doktor Adzlan cuba menguatkan kembali semangatnya.

KERETA yang dipandu Adam berhenti di kawasan parking Hospital Kuala Lumpur. Adam dan Nia segera keluar dari perut kereta dan mengatur langkah masuk ke dalam bangunan hospital itu. Langkah pantas terus diatur menuju ke wad Ariq. Fikiran mereka bercelaru dengan pelbagai persoalan.
Jam menunjuk ke angka 3.00 pagi. Mereka membesarkan lagi ayunan langkah kaki agar cepat sampai. Pada wajah kedua-duanya jelas terukir kerisauan. Baru sebentar tadi seorang jururawat menelefon mereka memberitahu keadaan Ariq kurang stabil.
Hari pertama Ariq dimasukkan ke hospital, mereka difahamkan bahawa Ariq hanya mengalami penyakit yang biasa sahaja. Tapi dari sehari ke sehari kelihatan Ariq semakin tidak bermaya dan bukannya semakin sembuh.
Belum sempat Adam memulas tombol pintu wad bilik Ariq, pintu itu sudah pun dibuka dari dalam. Doktor Adzlan menghadiahkan senyuman pada Adam dan Nia sebelum anak matanya menghala ke arah Ariq. Walaupun berat untuk Doktor Adzlan melakukan sebegitu, namun dia tetap mencuba. Dia rasa bersalah pada Adam dan Nia.
Kelihatan senyuman halus mula terukir pada bibir pucat Ariq sebaik terpandangkan Nia dan Adam. Dia benar-benar terharu dengan kesudian mereka yang tidak jemu-jemu datang menjenguknya.
“Jangan terlalu banyak berbual dengannya, badannya masih lemah. Tolong beri dorongan kepadanya agar dia cepat pulih dan dapat melakukan pembedahan secepat yang mungkin,” ucap Doktor Adzlan kepada Adam dan Nia sebelum meninggalkan wad Ariq.
Nia dan Adam sama-sama terkejut.
“Dibedah?” kata mereka hampir serentak.
Doktor Adzlan baru tersedar, rupanya dia terlepas cakap. Segera dia beredar dari situ, membiarkan Ariq menceritakan segalanya. Mungkin sudah sampai masanya untuk berterus terang. Kalau diikutkan hati, sudah lama Doktor Adzlan menceritakan perkara sebenarnya pada Adam dan Nia, namun dia terpaksa berpegang kepada prinsip kedoktorannya.
Nia menghampiri katil Ariq. Semenjak dua bulan Ariq terlantar di hospital, dia dan Adamlah yang menjaga Ariq secara bergilir-gilir.
Wajah Adam kelihatan begitu serius. Tiada langsung secalit senyuman bermain pada bibirnya. Anak matanya merenung tepat wajah Ariq. Tiada sedikit pun reaksi daripada Ariq, melainkan senyuman. Wajah Ariq memang sentiasa tenang. Itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
“Berterus terang ajelah dengan kami, Riq. Kau sebenarnya sakit apa?” soal Adam dengan nada serius.
Ariq ketawa perlahan dalam paksaan. “Aku cuma sakit biasa aje.”
“Riq! Tolong, Riq, jelaskan semuanya. Riq sakit apa sebenarnya?” sampuk Nia pula.
“Aku rasa kau orang berdua ni sepadan,” balas Ariq sambil memandang Nia dan Adam berulang kali. “Macam pinang dibelah dua. Sama cantik, sama padan. Kan?” tambah Ariq. Dia tetap tidak menjawab pertanyaan mereka berdua.
“Riq, ini bukan masanya nak bergurau! Kami serius!” sampuk Adam dengan nada suara sedikit keras.
Adam amat bimbangkan keadaan rakannya itu. Sudah dua bulan terlantar sebegitu. Ada kalanya Ariq mampu tersenyum dan ketawa, tapi kini keadaannya makin lemah sehinggakan Adam semakin bimbang dan tertekan. Bermula dengan satu wayar di tubuh Ariq ketika mula dimasukkan ke hospital akhirnya kini semakin berselirat pada tubuhnya.
Ariq adalah rakan seperjuangnnya. Mereka sama-sama menempuhi suka dan duka suatu ketika dahulu di universiti. Kebahagiaan Ariq adalah kebahagiaannya juga, begitu juga kegembiraan Adam, kegembiraan Ariq juga. Segala rahsia senantiasa dikongsi bersama.
“Aku tak apa-apa, Adam. Aku sakit biasa aje.”
“Sudah, Riq! Jangan perbodohkan kami lagi. Kami risaukan Riq,” kata Nia sedikit kuat dan kemudian nada suaranya semakin tenggelam. Air matanya sudah pun menitis membasahi pipi. Dia terlalu risaukan Ariq. Lelaki itu banyak membantunya selama ini. Setiap kali berada di sisi Ariq, dirasakan begitu bahagia.
“Jawab, Riq! Kau nak bila nyawa sudah berada di hujung jari baru berterus terang dengan kami? Jangan, Riq. Kalau kau nak aku melutut baru kau nak terangkan seglanya, aku sanggup. Aku melutut sekarang,” sampuk Adam lalu melutut di hadapan Ariq.
“Bangun, Adam. Jangan buat macam ni. Tolong, Adam, jangan buat aku begini,” pinta Ariq dengan harapan Adam akan terus memahaminya. Hatinya mula berbelah bahagi.
Adam tidak mempedulikan kata-kata Ariq. Dia masih melutut di hadapan Ariq.
“Baiklah, aku terangkan segalanya. Tapi, kau bangun dahulu,” pinta Ariq. Akhirnya dia terpaksa beralah juga. Tekaknya terasa semakin perit.
Adam bangun daripada melutut. Air mata jantan Ariq mula mengalir keluar buat pertama kalinya di hadapan Adam dan Nia. Pandangannya terus tertumpu pada wajah Adam dan Nia yang berdiri di kiri dan kanan katilnya. Masing-masing dengan wajah penuh pengharapan.
Nia menuang air masak yang terdapat di dalam botol bersebelahan katil Ariq ke dalam gelas. Diberikan pada Ariq sambil Adam membantu membangkitkan sedikit tubuh Ariq agar dia dapat meneguk air itu. Sebaik Ariq kembali berbaring, barulah dia menceritakan segalanya.
“Sebenarnya penyakit ini dah lama aku hidap. Tapi sejak akhir-akhir ini ianya semakin serius. Sebenarnya… sebenarnya…” Ariq masih tidak mampu untuk berterus terang. Dia takut Adam dan Nia tidak dapat menerima segalanya. Terutama sekali Nia, kekasihnya.
Menunggu jawapan daripada Ariq yang tersekat-sekat itu membuatkan jantung Adam dan Nia sama-sama berdegup pantas.
“Sebenarnya aku... aku menghidap barah otak,” beritahu Ariq akhirnya.
“Apa?” jerit Nia. Kata-kata Ariq itu bagaikan satu tamparan buatnya. Hatinya bagaikan ditusuk sembilu. Cecair jernih kembali bertakung di kelopak matanya dan terus merembes keluar tanpa dapat dibendung. Nia menyembamkan wajahnya ke dada Ariq. Nafasnya bagaikan tidak terkawal.
“Tak mungkin!” jerit Adam bagaikan orang hilang pertimbangan.
“Kenapa kau rahsiakan daripada kami, Riq?” soal Adam tersekat-sekat sebelum menyambung lagi. “Bukankah selama ini kita sama-sama kongsi masalah? Aku tahu…” Adam terhenti seketika, mengawal kesedihannya.
“Aku tahu kau seorang yang kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup. Aku tahu sejarah hidup kau. Kau memang boleh berdikari tapi... tapi kenapa perkara yang sebegini kau rahsiakan daripada kami?” keluh Adam penuh kesal dengan sikap Ariq.
“Riq, kenapa Riq rahsiakan semua ini? Kenapa, Riq?” soal Nia tersedu-sedu sambil menggenggam tangan Ariq walaupun dia tahu Ariq tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Tidak lagi seperti dahulu apabila berhadapan dengan masalah dia akan berjumpa dengan Ariq dan meminta pendapat dan nasihat. Kini tidak lagi. Ariq tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Air mata Nia menitis jatuh tanpa henti.
“Nia... Jangan menangis, Nia. Sebenarnya Riq tak berniat nak rahsiakan semua ini daripada Nia. Tapi Riq tak mahu Nia risau. Riq sayangkan Nia. Riq tak suka lihat orang yang Riq cintai, Riq sayangi bersedih kerana Riq,” balas Ariq perlahan, cuba untuk menyapu air mata Nia namun tidak terdaya lagi kerana tubuhnya bagaikan terus melekat pada tilam. Tubuh Ariq semakin lemah.
Adam hanya melihat mereka berdua sambil menahan air matanya yang sedang bermain di kelopak mata.
“Sudahlah tu, Nia. Kan doktor dah nasihatkan kita supaya biarkan Riq berehat. Dia perlu banyak berehat supaya dia dapat menjalankan pembedahan secepat yang mungkin,” nasihat Adam sambil memegang bahu Nia yang terhenjut-henjut.
Adam tahu Nia amat sayangkan Riq. Sama seperti mana dia juga menyayangi insan yang bernama Ariq Anwar. Lahirnya ke dunia ini sebagai yatim piatu. Sejak kecil lagi Ariq sudah pandai hidup berdikari. Air mata Adam yang ditahan sedari tadi mula gugur apabila teringatkan kisah hidup Ariq.
Kenapa insan sebaik itu perlu menempuhi dugaan hidup yang seperti ini? soal Adam dalam hati.
Suasana di dalam wad itu kembali sunyi. Masing-masing mula melayani perasaan sendiri.

“NIA, Adam,” panggil Ariq perlahan, memecah kebisuan.
“Ya,” jawab Nia dan Adam hampir serentak.
“Dekat sikit,” arah Ariq supaya mereka berdua menghampiri lagi katilnya. “Sebelum aku pergi buat selamanya, aku nak cakap sesuatu. Aku harap kau orang dapat tunaikannya.”
Tangan Ariq merayap mencari tangan Nia dan Adam. Dalam genggaman kirinya terdapat jari-jari halus Nia manakala genggaman erat kanan pula bersama tangan kasar Adam.
“Apa kau cakap ni, Riq?” marah Adam dengan kata-kata Ariq sebentar tadi. Adam cuba untuk melepaskan tangannya dari genggaman Ariq tapi tidak berjaya. Entah dari mana Ariq mendapat kekuatan untuk tidak melepaskannya.
“Sebelum mata aku terpejam rapat, aku mahu lihat kau orang bersatu,” tambah Ariq tanpa mempedulikan teguran Adam. Menyatukan tangan Nia dan Adam.
Adam melopong. Dia memandang wajah Ariq dengan penuh tanda tanya.
“Adam, aku tahu kau terlalu sayangkan Nia. Bila kau tahu aku cintakan Nia, kau tarik diri demi persahabatan kita. Kau memang sahabat yang baik. Sehingga sekarang kau tetap anggap aku sebagai sahabat dan tidak pernah bermusuhan dengan aku. Kalau orang lain entah apa agaknya yang dah mereka lakukan pada aku.” Ariq terhenti seketika.
“Adam, tolong jaga Nia untuk aku. Aku tahu kau dapat bahagiakan dia. Tolong ya, Adam,” pinta Ariq sambil merenung Adam yang hanya lebih sanggup menatap lantai daripada melihat wajahnya. Suara yang keluar dari bibir Ariq kedengaran tenggelam timbul.
Seboleh mungkin Adam cuba membantah apa yang diucapkan oleh Ariq itu. Tapi apakan daya, apabila mainan perasaan silam mula menghantuinya dan membuatkan bibirnya bagaikan terkunci dengan rantai yang besar.
Ariq, kenapa kau cakap begini? bisik hati kecil Adam. Hanya hatinya sahaja yang mampu berbisik.
Anak mata Ariq beralih pula menatap wajah Nia yang terkejut.
“Nia, Riq minta maaf sekiranya Riq bersalah. Riq tak tahu apa yang patut Riq ucapkan lagi. Tapi sesungguhnya Riq amat mencintai Nia. Anggap sajalah kita tak ada jodoh. Takdir telah menentukan segalanya. Riq doakan Nia berbahagia bersama Adam. Dia amat mencintai Nia, lebih daripada cinta Riq pada Nia.” Ariq berhenti seketika sebelum menyambung kembali kata-katanya yang begitu berat sekali untuk diungkapkan.
“Nia, izinkan Riq pergi buat selama-lamanya dan lupakan Riq,” pinta Ariq pada Nia pula.
Air mata Nia mengalir bersama hatinya yang semakin sebak. Bagaimana dia harus menghadapi hari yang seterusnya tanpa Ariq di sisinya? Dia pasti akan rindukan suara Ariq. Rindukan gurauan Ariq.
Riq, maafkan Nia. Nia tak mampu melupakan Riq. Riq akan sentiasa berada di dalam hati Nia walaupun hanya sebesar zarah. Nama dan diri Riq tak mungkin dapat Nia lupakan. Nia bermonolog dalaman. Untuk mengucapkannya secara terus terang, tidak mampu lagi dilakukan oleh Nia. Hatinya makin dicengkam kesedihan apabila mendengar suara Ariq yang tenggelam timbul menahan kesakitan.
Anak mata Ariq mula beralih ke arah genggaman tangan Adam dan Nia yang disatukannya tadi. Masih tersimpul kejap.
“Adam Hazlam, Hanania, ingat pesanan aku,” ujar Ariq perlahan.
Tiba-tiba wajah Ariq berubah. Kerutan di dahinya sedikit demi sedikit mula terukir dengan jelas. Pantas Ariq memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan dan dipicit-picit. Sesekali dia terjerit kecil menahan kesakitan.
Adam dan Nia sama-sama terkejut.
“Riq, kenapa ni, Riq?” soal Adam panik.
“Riq! Riq!” panggil Nia cemas.
“Doktor! Doktor!” jerit Adam lantang.

Bila Hati Berbisik : Wajah Baru



ISBN 978-983-3880-12-6
Sem. Malaysia RM20.90
Sabah/Sarawak RM23.90



Cinta tanpa berterus terang mampu memisahkan dua hati yang setia terjalin. Cinta yang tidak dilafaz membuatkan Nia dan Adam sama dingin walaupun sudah bergelar suami isteri. Perkahwinan antara mereka terjadi hanya kerana amanat. Adam menganggap Nia masih belum mampu lupakan Ariq. Nia menganggap Adam masih cintakan Melissa. Sejauh manakah perhubungan andai hati berbisik namun mulut tidak pernah berbicara?

“Lafazkanlah jika benar kata hatiku ini sama dengan kata hatimu. Jangan terus bermain dengan bahasa jiwa.” - Nia

“Memang benar cinta itu aneh. Samalah dengan cinta kita. Aneh... kerana sukar diluahkan, sukar dibaca bahasa jiwanya.” - Adam

Selamat Hari Lahir, BHB


Sedar tak sedar novel sulung saya, Bila Hati Berbisik sudah setahun usianya. Sejujurnya novel ini mengambil masa lebih daripada satu tahun. Semoga kembar tiga (kulit dalam tiga versi) ini terus kekal di pasaran. Terima kasih kepada yang sudi membeli, mengkritik. Teruslah menemani saya dalam bidang ini.
 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon