“APA sebenarnya yang kau nak ha, Tisya?” sergah ibu tiba-tiba sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.
Aku yang ketika itu sedang duduk di ruang tamu menghadap komputer riba menyudahkan tugasan yang perlu dihantar esok sambil menonton televisyen terus tersentak. Tanpa sebarang salam, sebaliknya aku terus dihambur tanpa tahu hujung pangkalnya. Tidak seperti selalu.
Anak mataku terus memandang ibu yang dalam sekelip mata sahaja sudah terpacak di hadapanku. Wajah pengetua ini terus menyinga. Bukan sahaja tiada salam, malah ibu juga sudah menggunakan panggilan aku kau sahaja. Aku tahu, saat itu tahap kesabaran ibu sudah lebih daripada sukatannya. Tapi yang aku tak tahu, kenapa?
Aku cuba beranikan diri bertentang mata dengan ibu mencari persoalan sebenar.
“Sampai hati kau tuduh Badri macam tu. Apa salah dia kat kau?” marah ibu lagi.
Kini aku separuh faham dan mungkin juga sesaat dua lagi akan sepenuhnya faham. Tapi apa yang aku tak faham, kenapa ibu sukar benar memahami aku?
“Kau tuduh dia macam tu semata-mata nak putuskan pertunangan kau dengan dia, kan?” sergah ibu lagi sebelum menyambung kata-katanya membuatkan aku ternganga.
“Kau memang sengaja nak malukan aku, kan? Macam inilah bila berkawan dengan budak macam Fezrul tu. Sebab itulah aku tak suka dengan apa yang kau pilih ni. Bila dah bergaul dengan budak tak ada masa depan, macam inilah jadinya!”
Aku masih diam membisu. Kenapa ibu begitu sukar mempercayai kata-kata aku? Apa tak cukup lagi ke penerangan aku awal pagi itu? Apa tak cukup lagi ke penerangan Fezrul awal pagi itu. Apa tak cukup lagi ke dengan keadaan aku awal pagi itu. Dan… ah, apa sekalipun yang dipersoalkan, racun yang telah meracuni ibu itu sangatlah sukar ditawarkan. Kepercayaan ibu bukan milikku.
“Kalau ikutkan marah aku ni, hai, dah lama aku lenyek kau sampai lumat,” ujar ibu sambil mengangkat tangannya seperti hendak menampar aku tapi terhenti. Mungkin juga tidak sampai hati. Kemudian dipegangnya wajah aku mengajak aku bertentang mata dengannya.
“Kau ingat aku akan percaya ke lakonan kau dengan budak tu, ha? Aku bukan orang yang jenis tuduh melulu. Aku dengar dua belah pihak,” tambah ibu. Kali ini hasratnya yang terbantut tadi terlaksana juga. Ditampar kuat bahuku dengan rasa marah yang mendalam.
Sakit memang sakit. Tapi, pukul ajelah ibu kalau itu yang boleh memuaskan hati ibu. Tisya rela daripada dikatakan penipu. Dan aku kemam bibir demi menahan sakit yang teramat itu. Siap berbunyi lagi tepukan itu.
“Sampai hati kau buat aku macam ni. Apa salah aku? Apa salah aku, cuba kau cakap? Aku buat semua ni untuk kau. Untuk masa depan dan kebaikkan kau jugak! Kenapa kau susah sangat nak faham? Aku yang lebih dulu makan garam, jadi aku tahu. Kau tu sebagai anak sepatutnya dengar cakap aku. Cuba kau tengok along kau tu, bahagia saja dengan pilihan aku. Kau tu saja yang degil sangat. Suka buat kepala sendiri. Ikut hati kau yang keras tu,” bebel ibu lagi, tetapi kali ini sudah terduduk di atas sofa bertentangan denganku.
Jelas dapat kulihat ada cecair jernih yang bertakung di tubir mata ibu. Aku tahu dosa membuat tertitisnya mutiara itu. Tapi… bukan aku yang bersalah. Aku tak mereka cerita langsung. Memang itu kebenarannya. Sedikit pun aku tak menambah malah aku lebih banyak menutup aib Badri. Aku bukan si pencerita yang pandai mengolah sana sini memunculkan dramatik. Aku hanya seorang pemuzik. Lagipun untuk apa aku berbohong tentang perkara yang memalukan aku? Yang jijik?!
Kalau ibu baru bergenang air mata, tapi aku, hatiku sudah lemas dalam tangisan hati merangkumi segala rasa. Aku tahu, kali ini walau bagaimana sekalipun aku terangkan, ibu tetap tidak akan percaya. Tapi yang membuatkan aku pelik kenapa tiba-tiba ibu melenting sebegini?
Malah malam itu juga ibu langsung tidak menunjukkan sebarang respons. Ibu lebih banyak mendiamkan diri dan menjadi pemerhati sedangkan ayah yang lebih banyak menenangkan aku. Membari aku keberanian. Memberi aku kekuatan. Menemani aku agar aku tidak mimpi yang bukan-bukan malam itu.
“Ibu baru balik dari rumah Aunty Tiara. Dia dah terangkan segalanya pada ibu. Ibu jadi malu. Kalau ikutkan dia, memang dia nak putuskan saja pertunangan ni. Tapi sebab Badri, dia yang tak nak… Apa kau tak nampak lagi ke macam mana punya baik si Badri tu?” terang ibu sambil memandangku sebelum mengeluh di hujungnya.
Kemudian ibu unjukkan sebuah beg tangan yang ada di tangannya sejak tadi. Baru aku perasan di sisi ibu ada dua buah beg tangan. Dan yang dihulurkan itu adalah beg tangan aku. Beg tangan yang tertinggal malam itu.
“Kau kena faham jugak, dia tu duduk kat oversea sebelum ni. Mungkin dia terikut budaya sana. Tapi dia tak ada niat apa-apa pun. Dia cuma nak bermesra dengan tunangnya sama macam pasangan lain. Apa salahnya kalau dia nak pegang tangan kau? Tak perlulah kau sampai nak bohong yang dia tu nak rogol kau dan kau suruh Fezrul pukul dia sampai lebam sana sini. Kalau apa-apa jadi kat dia, ibu takkan maafkan kau,” ujar ibu lagi sambil memandangku. Nada suaranya sekejap meninggi dan sekejap menurun berbaur perasaan.
Aku pejam mata demi menahan perasaan marah dan kesal. Ibu lebih risaukan Badri berbanding aku. Maruah aku! Ibu suruh aku faham budaya yang Badri bawak balik dari sana? Apa kena dengan ibu sebenarnya ni? Apa yang dah meracuni ibu?
Mungkin salah aku juga kerana tidak menceritakan segala-galanya dengan lebih terperinci.
Kali ini aku tidak mampu menadah telinga lagi. Telinga aku terasa muak dengan hidangan itu. Pantas aku bangun dan mengatur langkah naik terus ke bilik. Komputer riba dan buku nota kubiarkan begitu sahaja. Biarlah ibu nak cakap aku anak derhaka atau kurang ajar sekalipun. Yang pasti, kali ini hati aku benar-benar tergores.
Aku terus melangkah dan mendaki anak tangga menuju ke bilik menahan air mata yang hampir gugur. Sekeras mana sekalipun aku, hati aku tetap lembut. Hati tetap hati dan tak mungkin bertukar karang yang tetap keras walau dibedal ombak saban masa. Tapi karang juga tiap kali dipukul ombak bakal bertukar bentuknya, apalagi dengan hati. Mampukah ianya terus bergayut dalam keadaan sebegini?
Aku tidak berdaya melakukan apa-apa lagi. Hendak menjawab salah dan terus berdiam lebih bersalah. Ibarat diluah mati ibu ditelan mati ayah.
Aku terdengar juga jeritan ibu memanggil namaku sekaligus cuba mematikan langkahku. Tapi aku cuba pekakkan telinga dan terus melangkah sehinggalah terbitnya kata-kata itu sebelum aku masuk dan mengunci diri di dalam bilik. Memang tidak mampu aku tempis walau sebesar dan setebal mana pun kapas yang aku sumbat ke dalam telinga, kata-kata itu tetap akan aku dengari juga dan terus menusuk ke dalam hati. Tetap!
“Kau masih tunang dia, Tisya. Jangan buat benda yang bukan-bukan dan boleh memalukan aku lagi. Kalau tidak, jangan panggil aku ibu!”
Aku terus menutup pintu bilik dan bersandar di belakangnya sebelum melorot terduduk di atas lantai bersama gugurnya air mataku. Aku mahu menangis sepuas-puasnya, tapi tidak mampu. Air mataku seolah mengering. Umpama hujan yang sudah kering gerimisnya. Mungkin juga kerana seminggu lalu telah kukeluarkan sepenuhnya. Tapi aku masih mahu memaksanya keluar membunuh segala kesakitan kalau itu sahaja ubatnya.
Kenapa begitu sekali penilaian ibu? Tisya ni anak ibu. Sepatutnya ibu lebih percayakan Tisya. Bukan lelaki tak guna tu! marahku dalam hati.
Sakit, pedih dan segala rasa lagi mula berpintal dan mencucuk-cucuk rasa yang sudah bermukim di hatiku sebelum ini. Aku segera keluarkan cincin tunang yang masih tersarung di jari manisku. Sebaik berada di dalam genggaman, segera aku campak tanpa sasaran seolah mencampak perasaan yang terbuku dalam hati. Biar ia pergi meninggalkan aku. Pergi jauh-jauh seperti Badri juga.
Anak mataku melengas memandang cincin yang bergolek itu tanpa perasaan sebelum ianya terhenti akibat terbelaga dengan bakul berisi pakaian kotor. Perasaan kukembali bertamu. Aku bangun dan menghampiri bakul yang mana di dalamnya terisi pakaian itu. Aku terasa seperti tersepak cincin tunangku itu, tetapi ke mana ia menggelongsor tidak aku pedulikan. Yang lebih penting adalah baju yang baru kutarik keluar dan menggenggamnya itu. Nafasku berombak menahan marah. Wajah itu mula terlukis sambil tanganku menggengam lebih kejap baju kebaya itu sehingga timbul urat di tanganku.
Seminggu lalu…
AKU ratakan lipstik yang kusapu tadi dengan mengemam bibirku. Aku pandang wajahku di cermin. Rambutku yang dibiarkan lepas kubetulkan ala kadar sahaja. Aku pun bukanlah seorang yang pandai bergaya. Malah baju yang tersarung kini pun baju yang ibu beli untuk aku walaupun kebenarannya aku tidak suka memakainya.
Sebenarnya hari ini aku tiada mood hendak keluar. Tapi disebabkan sudah berjanji dengan Badri hendak ke majlis kawan baiknya, aku terpaksa merajinkan diri juga. Tugasan yang semakin mencabar terus menimbun cuba kukaburkan seketika apalagi memikirkan Penilaian Tahun Awal (PeTA Awal).
Beg tangan yang terisi telefon bimbit dan beg dompet kuambil. Malas hendak diisi alatan solek atau minyak wangi atau yang sama waktu dengannya. Lagipun ini sekadar untuk memuaskan hati ibu sahaja. Baru aku hendak melangkah menuju ke tingkat bawah mendapatkan Badri yang menunggu di ruang tamu, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej baru masuk.
Sambil melangkah, aku membacanya. Tiba-tiba langkahku terhenti.
Kau apa khabar?
Aku tercengang melihat mesej itu. Kenapa baru sekarang kau nak mesej aku, Fezrul?
“Tisya, dah siap belum. Cepatlah. Dah lama Badri tunggu ni,” laung ibu dari tingkat bawah mengejutkan aku.
Dalam kekeliruan, aku terus melangkah turun. Tapi aku sempat berfikir, patutkah aku membalas SMSnya? Jariku memang gatal hendak membalas, jadi tak perlu aku menunggu jawapan daripada diriku sendiri.
Baik. Kau?
Badri yang duduk di sofa ruang tamu menyedari kehadiranku. Segera dia memaling dan tersenyum sebelum menyoal, “Dah siap?” Dipandangnya aku dari atas ke bawah.
Aku sekadar mengangguk dan saat itu juga ibu datang menyertai kami dengan senyuman yang meleret. Aku tahu dia suka kerana aku pakai apa yang disuruhnya.
“Dah, cepat pergi. Kang lambat pulak,” ujar ibu melebarkan lagi senyumannya.
“Tisya pergi dulu, ibu,” beritahuku sambil keluar dari rumah bersama Badri dan terus melangkah masuk ke dalam keretanya.
Sepanjang perjalanan aku tidak banyak cakap. Aku setia menunggu balasan SMS Fezrul dan membalasnya.
“Dari tadi saya tengok awak asyik main dengan telefon tu aje, SMS dengan siapa?” soal Badri menjeling ke arahku.
Aku tersentak. “Dengan kawan kampus,” balasku sambil tersenyum dengan harapan dia tidak akan cemburu.
Getaran, tanda mesej masuk. Memang aku sengaja biarkan dalam mood silent. Aku melihat Badri mengangguk kepala. Kemudian barulah aku membaca mesej Fezrul.
Kau kat mana tu?
Lambat-lambat aku menjawab. Asalnya aku ingin berbohong. Tapi untuk apa? Persoalan tidak terjawab. Dia yang merelakan aku ditunangkan bersama Badri. Argh!!! Apa ni, Tisya!
Dengan Badri. Pergi majlis kawan baik dia.
Aku memandang ke arah Badri. Aku teliti wajahnya. Sehingga kini aku masih gagal menjawab persoalan hati bersamanya walaupun sudah beberapa kali aku cuba bertanya sama hati.
Ok.
Balas Fezrul sepatah dan aku tidak tahu hendak membalas apa lagi. Telefon kumasukkan ke dalam beg tangan kerana kami hampir tiba di hotel yang bakal menjadi saksi persandingan itu dan jaraknya juga tidaklah begitu jauh dengan rumahku.
MAJLIS perkahwinan yang diadakan itu serba mewah. Di dalam hotel bertaraf empat bintang. Makanan yang disediakan juga memang enak dan mewah.
Aku duduk bersebelahan dengan Badri seperti mana yang disediakan. Sambil itu, aku memandang sekeliling. Melihat hadirin lain yang aku tidak kenal. Kata Badri kedua-dua pengantin adalah sahabat baiknya di Australia. Mereka bercinta sejak di sana lagi.
Aku hanya mengangguk.
Badri nampak teruja dengan majlis yang bertemakan dalam taman itu. Mungkin kerana itu dia agak pendiam hari ini. Tidak seperti selalu, ada saja persoalan dan sesekali membuatkan aku rimas. Dalam perjalanan pun diam saja.
Selesai makan, aku meminta diri hendak ke toilet. Beg tanganku tinggalkan di atas meja bersama Badri. Malas hendak membawanya. Selama ini aku tidak pernah ada walau sebuah pun beg tangan. Tapi kerana ibu, aku terpaksa menggunakannya. Bersungguh-sungguh ibu membeli untukku dan memaksa aku memakainya.
Lagipun aku ke tandas sekejap sahaja. Setelah meneliti rupaku di cermin, akhirnya aku kembali semula ke tempatku. Tapi yang peliknya Badri tiada di situ. Beg tanganku juga tiada membuatkan aku gagal untuk menghubunginya.
Aku memandang sekeliling mencari kelibatnya. Tak sampai sepuluh minit aku pergi tandas, takkan dia dah balik kut, bisikku dalam hati.
Tiba-tiba aku dirapati seorang lelaki yang tadi sempat dikenalkan Badri. Hafsham, rakannya ketika di Australia juga.
“Excuse me. You fiancee Badri, kan?” soal Hafsham.
Aku pantas mengangguk sambil anak mata melengas memandang sekeliling.
“Badri tiba-tiba pitam tadi…”
“Apa?” soalku sambil mengerut dahi. Adakah sebab itu dia lebih banyak mendiamkan diri hari ini? Kalau betul, ternyata tanggapan aku salah. Aku memang belum mengenalinya sepenuhnya.
“Dia kat mana?” soalku.
“Relaks, relaks. I dah suruh dia pergi rehat kat bilik. You naik tingkat tiga, bilik nombor 327,” beritahu Hafsham.
Dalam kebingungan, aku terus naik ke tingkat tiga dan menuju ke bilik 327. Pintu bilik tidak terkunci. Perlahan-lahan aku menolak dedaun pintu, bilik gelap.
“Badri, awak kat dalam ke?” soalku sambil melangkah masuk teragak-agak.
Tanganku meraba-raba ke dinding mencari suiz lampu. Kala itu, jantungku berdebar-debar. Sebaik aku berjaya menekannya, tiba-tiba pintu tertutup. Aku segera memaling dan melihat Badri berdiri di situ sambil memegang kepalanya.
“Badri,” panggilku sambil menghampirinya.
Melihatkan dia yang seolah sedang menahan sakit, sedikit pun aku tidak memikirkan pintu yang tertutup itu.
“Awak okey tak?” soalku memegang kepalanya. Inilah pertama kalinya aku menyentuhnya dengan rela hati.
Tiba-tiba dia tersenyum dan terus merangkul pinggangku. Kejap, tetapi aku cuba meronta.
“Apa ni, Badri? Apa awak nak buat ni?” Lantas aku menjerit kuat sambil cuba menolak tubuhnya meleraikan pelukan.
“Shh… jangan jerit. Bertenanglah, sayang,” bisiknya ke telingaku.
Keji! Itu yang aku rasakan. Dia tipu aku. Aku tetap meronta dan kaki juga tanganku turut bergerak sama sehinggakan dia gagal mengawal dan menolak aku tertiarap di atas katil. Kakiku terasa kebas terlanggar kayu katil yang keras.
Badri tersenyum sambil menanggalkan butang bajunya satu per satu.
“Kau sakit ke ha?” tengkingku sambil menutup kakiku yang terdedah.
“Memang I sakit, sayang. You aje ubatnya” balasnya selamba kemudian mengeluarkan telefon bimbitku dari dalam poket seluarnya.
“Apa ni?” soalnya sambil mencampakkan telefonku di atas katil.
Aku terkejut.
“Perempuan semua sama saja. Dulu Elina pun buat aku macam ni jugak. Tapi dia bukan kisah pun dara atau tak. Tapi kau, aku pasti, kau kisahkan tentang maruah kau, kan? Sini, biar aku selesaikan kau dan aku pasti lepas tu kau takkan mainkan aku lagi,” tegas Badri mengimbau cinta lamanya.
Dan kata-katanya itu bukan satu gertakan sebaliknya kenyataan. Dia terus duduk di atas katil dan menarikku. Aku cuba meronta sehinggakan lengan bajuku terkoyak.
“Kau nak pergi mana, ha?” soalnya semakin merapatiku yang sudah tidak dapat bergerak ke mana.
Aku tersepit di penjuru bilik. Lantas dia terus menindanku. Tapi aku tetap cuba meronta. Berusaha mencari semangat Tisya yang dulu. Gagal. Air mataku terus gugur.
Habislah aku malam ni…
“I love you so much, sayang. From the first time I saw you, I already want you. Tapi you yang paksa I buat semua ni,” bisiknya.
Geli! Jelak! Itu yang aku rasakan kini.
“Badri, jangan!!! Jangan buat macam ni… tolong.” Aku merayu dalam tangisan. Ketika itu kesemua wajah yang kusayangi bermain di depan mata. Mulutku tak henti-henti menyebut nama Allah.
Dengan sekali tarik sahaja, separuh butang baju kebaya yang kupakai berbuka. Nasib baik juga aku pakai tiub, masih belum terdedah sepenuhnya. Kala itu aku terpandang lampu tidur yang terletak di tepi katil. Dalam meronta, aku cuba mengengsotkan tubuh menghampiri meja itu. Semakin lama semakin hampir aku dengan lampu itu. Aku amat berharap lampu itu berjaya membantu aku. Aku tidak kisah digelar pembunuh.
Badri terus menarik-narik pakaianku melayan nafsunya itu dan sesekali terdegar desakan nafas kasar.
Marahku semakin menebal. Sebaik sahaja aku berjaya mencapai lampu itu, terus aku mengayunnya, menghentak belakang kepala Badri.
“Argh!!!” Badri menjerit kesakitan dan terus menghempap tubuhku.
Aku berusaha menolak tubuhnya ke tepi. Ternyata aku tidak membunuhnya kerana dia sempat menarik lenganku saat aku bangun. Cuba menghalang aku melarikan diri. Amarah yang berapi termasuk tercalarnya maruah membuatkan aku akhirnya mengepal tumbukan dan menumbuk matanya sekuat yang boleh. Biar lebam itu memberi pengajaran buatnya.
Sebaik lenganku dilepaskannya, aku segera menuju ke arah pintu dan terus berlari keluar. Dalam keadaan panik ini, aku terlupa di mana terletaknya lif. Aku terus berlari di celah lorong bilik-bilik itu. Mungkin di hujung sana ada tangga. Yang penting aku dapat melarikan diri, itu sahaja yang aku fikirkan kini.
AKU ingatkan tumbukkan aku malam tu mampu sedarkan kau, rupanya tak! Sambil membawa baju yang masih dalam genggaman itu, aku terus melangkah turun menuju ke dapur. Aku tahu ibu sudah masuk ke dalam bilik, mungkin juga untuk berehat. Aku menggunakan kesempatan itu untuk mengotakan janjiku. Aku mahu bakar baju itu.
Segera aku capai pemetik api yang terletak di dalam laci kabinet dapur dan melangkah ke luar. Sambil melihat pakaianku yang sedang rakus dijilat api, sekali lagi aku terkenangkan kerakusan Badri, lelaki yang kononnya baik di mata ibuku.
SAMBIL aku berlari, sambil itu juga aku membetulkan kembali butang bajuku. Menutup tubuhku dan tanpa disedari aku terlanggar seorang wanita yang bekerja sebagai cleaner di hotel itu.
Kami berdua terduduk di atas karpet sepanjang jalan itu. Tanpa meminta maaf, aku terus meminta dia menyembunyikan aku.
“Tolong saya. Tolong sembunyikan saya.”
Wanita itu memandangku tercengang. Melihat wajahku yang basah dengan air mata, rambutku yang serabai juga lengan bajuku yang terkoyak, akhirnya dia faham. Segera dia mengangguk.
“Ya, ya. Mari ikut saya,” ajaknya. Daripada gaya pertuturannya, dia berasal dari Indonesia.
Tanganku terus ditariknya menuju ke satu bilik dan kami bersembunyi di dalam bilik itu. Aku melihat sekitar bilik itu, kelihatan cadar, blanket dan perkakas tersusun di dalam bilik itu. Pasti itu bilik room service.
Melihat badanku yang masih menggeletar, wanita itu mengajak aku duduk di atas lantai bilik yang sederhana luas itu menenangkan aku.
“Emangnya adik ini dingapain?”
Aku kesat air mataku. Sesungguhnya aku tidak pernah terfikir akan menghadapi dugaan yang sebegini. Baju yang kupakai kugenggam dan meramasnya. Sumpah! Lepas ni aku akan bakar baju ni!
“Ada orang cuba… cuba rogol saya.”
Wanita itu sedikit terkejut. Daripada rupanya dia seperti sudah berkahwin dan punya anak. Pasti dia faham akan perasaan aku ketika ini.
“Ya ampun! Adik enggak apa-apa?”
Aku menggeleng perlahan.
“Syukur alhamdulillah. Waduh, ngapain sih manusia nih jahat bangat! Mari, kita pergi jumpa pegawai hotel ini,” ajaknya yang sedikit beremosi.
Aku segera menggeleng. Aku takut terserempak dengan Badri.
“Tak mahu. Boleh saya pinjam telefon akak?”
Lantas wanita itu mengeluarkan telefonnnya tanpa rasa ragu-ragu menghulurkan bantuan.
“Nanti saya akan bayar balik,” beritahuku.
Wanita itu sekadar tersenyum.
Sekonyong-konyong aku teringatkan Fezrul. Pantas aku menekan nombor telefonnya dan menghubunginya. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku harus mendail nombornya.
AKU dan wanita tadi menunggu di luar hotel. Di kawasan yang sedikit gelap sambil terhendap-hendap. Bunyi tayar berdecit membuatkan aku mengintai. Fezrul!
Tekaan aku tepat dan aku lihat dia melangkah keluar dari kereta memandang sekeliling. Aku melambai ke arahnya. Fezrul menyedari dan melangkah ke arah kami.
“Tisya, kau okey ke?” Soalan pertama yang kedengaran dari mulut Fezrul. Wajahnya cemas.
“Encik, kawannya ini hampir dirogol tadi. Ketika saya ketemu tadi, dia menangis minta pertolongan…”
Fezrul ternganga dan aku tertunduk. Peristiwa hitam itu menerjah semula. Air mataku bergenang.
“Kalau enggak ada apa-apa lagi, akak minta pergi dulu ya. Akak ada kerja lagi yang perlu dibereskan,” pinta wanita itu.
Aku segera memegang lengannya kemudian memeluknya. “Terima kasih, kak.”
“Sudahlah. Jaga diri baik-baik. Orang cantik gini, bahaya sih sendirian gini.”
Sebaik wanita tadi beredar, Fezrul memandangku mencerun dan menyoal, “Kerja Badri, kan?” Kedua-dua giginya diketap, rahangnya bergerak-gerak.
Aku tertunduk. Mataku terasa bergerak-gerak menanti luruhnya mutiara jernih untuk ke sekian kalinya. Aku malu dengan Fezrul. Terdengar juga keluhan berat melepasi kerongkongnya sebelum diajak aku menuju ke keretanya. Tapi tika itu aku terpandang Linda Hangat melangkah keluar dari keretanya. Aku terkejut dan dalam masa yang sama langkahku terhenti. Malu. Sebak dan segala rasa kembali menumbuk dadaku.
Aku pandang Fezrul dan Linda Hangat berulang kali. “Maaf kalau aku ganggu kau. Aku boleh balik sendiri…” beritahuku terus berlalu. Aku terus berlari ke belakang hotel. Dapat kurasakan Fezrul mengejar tapi aku tetap harus melarikan diri.
Pantas Fezrul menarik lenganku membuatkan langkahku terhenti.
“Kenapa ni?”
Aku memandang ke arah lain dan menjawab, “Cukuplah aku permainkan kau, Fezrul. Aku doakan kau bahagia dengan dia…”
Aku terus merentap tanganku saat Fezrul seperti sedang berfikir atau mungkin juga kebingungan dengan kata-kataku itu. Aku terus berlari dan bersembunyi di belakang bangunan hotel, sekali lagi ditemani tengisan. Apa gunanya tangisan itu aku sendiri keliru.
KERETA Fezrul baru sahaja meluncur keluar dari kawasan itu. Tapi aku masih bersembunyi di belakang bangunan itu membuang air mata. Aku sendiri tidak pasti mengapa. Adakah kerana peristiwa yang menjijikkan bersama Badri atau hatiku tergores melihat Linda Hangit bersama Fezrul?
Saat itu, aku keliru. Keliru dengan perasaan sendiri dan aku terlalu tenant untuk memikirkannya. Sebaik Kereta Kelisa berwarna putih itu hilang dari pandangan, perlahan-lahan aku keluar mengatur langkah. Air mata kusapu dengan hujung jari. Baju yang terkoyak di bahagian bahu aku pegang menyembunyikan tubuhku.
Bertemankan malam, aku mula mengatur langkah pulang ke rumah. Dalam keadaan seperti ini, apa lagi yang sepatutnya aku lakukan? Telefon dan beg tanganku tertinggal bersama Badri. Tak mungkin aku akan kembali mencarinya demi barang itu!
Tak mungkin juga aku akan menaiki teksi dengan tiada sesen pun di tangan. Ingin mencipta alasan yang setelah aku tiba di rumah aku akan membayarnya? Ah, aku malu. Dalam keadaan sebegini, tak harus ada lagi yang tahu apa yang terjadi. Aku malu.
Perlahan-lahan aku menapak mencari jalan pulang. Saat itu, jauh atau dekat langsung tidak aku fikirkan lagi. Aku rasakan seolah selamat walaupun berjalan seorang diri. Mungkin juga kalau ada apa-apa yang berlaku atau Badri tiba-tiba muncul, aku mampu terus berlari dengan bebas tanpa tersepit di mana-mana lagi.
Tepat jam 1.00 pagi, aku sudah terpacak di hadapan rumah. Lenguh kaki sememangnya tidak terasa walaupun berjalan berpuluh meter. Tapi bagaimana hendak menerangkan segalanya kini?
Tiba-tiba aku terpandang sebuah kereta yang terpakir tidak jauh dari rumahku. Aku sememangnya kenal kereta itu dan terlebih kenal akan pemiliknya. Apa yang dilakukannya di sini?
Jantungku mula berdegup kencang, tapi langkahku tidak selaju itu. Perlahan-lahan aku melangkah menghampiri pintu rumah yang terbuka dan rumahku terang benderang. Semakin dekat aku dengan pintu rumah, semakin jelas aku mendengar suara lelaki itu. Semakin jelas juga aku mendengar perbualannya dengan ayahku.
Sambil menarik nafas sedalam yang boleh, aku cuba bersuara, “Assalamualaikum…”
Aku tahu ketika itu ibu, ayah dan Fezrul yang sedang duduk di ruang tamu memandangku, tapi anak mataku lebih senang untuk tumpah melihat ayah. Ke mana hilangnya Linda Hangat tidak aku pedulikan.
Ayah terburu-buru bangun dan mendekatiku yang berwajah pucat.
“TISYA…”
Anak mataku segera memandang ayah yang berdiri tidak jauh dari keretanya. Hilang seketika imaginasi hitam itu. Entah masa bila ayah sampai, aku sendiri tidak perasan. Enjin keretanya juga langsung tidak aku dengari. Tapi, aku bersyukur kerana ayah selalu ada bila aku bersedih.
Sambil menggigit hujung bibir menahan air mata yang ingin gugur, aku cuba tersenyum kepada ayah walaupun kenyataannya nampak buruk. Apa aku kisah tentang itu. Yang lebih buruknya adalah Badri kerana memutarbelitkan cerita.
Ayah terus mengatur langkah dan mendekatiku. Pelukannya amat menenangkanku.
“Kenapa ni, sayang?” soal ayah sambil memandang baju yang sudah hangus terbakar itu sambil terleleng-geleng.
Aku tidak mampu menjawab apa-apa. Kata-kata seolah tidak bermakna lagi. Aku membalas pelukan ayah, ketenangan ini yang lebih penting buatku. Tapi hanya untuk sementara. Apabila terfikirkan ibu, ketenangan ini seolah tumbuh sayapnya dan cuba terbang, jatuh lalu mencuba terbang lagi bak anak burung yang baru belajar terbang sebelum jatuh semula. Samalah juga dengan perasaanku yang ketenangan dan keresahan bertamu silih-berganti.
“Sudah, jangan fikirkan lagi semua tu. Ayah akan jaga Tisya. Takkan ada lagi sesiapa yang boleh mengapa-apakan Tisya lepas ni.”
“Tapi ibu tak percaya…”
Segera ayah meleraikan pelukan. Sambil anak matanya memandangku, sambil itu dia bersuara. “Tapi ayah percayakan Tisya. Tisya anak ayah, ayah percayakan Tisya lebih daripada orang lain.”
Kali ini aku tidak mampu lagi menahan perasaan. Aku terus memeluk ayah dan menangis semahunya. Kenapa ibu tidak seperti ayah?
Jom Intai Bab Seterusnya
“Tak, aku dengan Linda tak pernah ada apa-apa. Kebetulan malam tu aku terserempak dengan dia dekat Downtown. Lagipun masa tu aku nak cepat dan panik. Tak sengaja dia pun ikut aku sama.”
Aku dan Haiza langsung tidak menghiraukan jawapannya itu. Kami sebenarnya terkejut kerana dia kini berada di dalam tandas perempuan. Apa-apa sahaja boleh terjadi kalau pegawai masuk.
“Hoi, hang buat apa kat sini? Pi keluaq, ni tandas perempuanlah. Kang nanti kita kena panggil dengan HEP pulak,” ujar Haiza menggelabah.
“Lantaklah. Ada aku kisah? Dah tadi aku nak terangkan dekat luar korang tak nak bagi, sekarang terimalah,” balas Fezrul tidak mahu kalah. Mungkin juga kerana dia tidak mahu mensia-siakan saat itu.
“Hoi, sengal! Keluarlah cepat,” marahku pula.
Baru aku hendak menolak tubuh Fezrul yang lebih tinggi daripada aku itu keluar, tiba-tiba muncul seorang pegawai wanita yang sememangnya kerek di hadapan pintu. Masa itu apa lagi yang boleh dibuat melainkan tepuk dahi.
“Awak buat apa dekat sini?” soal pegawai wanita itu dengan dagu sedikit mendongak. Kelopak matanya yang berat dengan eyeliner tebal suba dibuka seboleh mungkin.

0 ulasan:
Post a Comment