Ayah ada menawarkan kepadaku sesuatu. Dia cadangkan aku pergi bercuti buat seketika waktu ini untuk menenangkan fikiran. Kalau aku rasa mahu menangguhkan pengajian satu semester pun ayah tidak kisah. Tapi aku tolak dengan berhemah. Bagi aku biarlah aku menyibukkan diri dengan kelas dan masalah pembelajaran kerana ia lebih mencepatkan aku melupakan segala-galanya kerana aku tiada masa untuk berfikir tentang perkara lain selain belajar. Lagipun aku mahu tamat pengajian secepat yang boleh. Dan ayah sekadar mengangguk kerana itu keputusan aku.
Saat aku semakin hampir dengan meja makan, aku terdengar ibu dan ayah sedang berbual tentang along. Aku sedikit teruja kerana sudah lama aku tidak dengar khabar berita tentangnya.
“Ada along telefon abang?” soal ibu sambil menuang air teh panas untuk ayah.
Ayah yang sedang membaca surat khabar sekadar menjawab dengan gelengan sebelum menyoal. “Kenapa?”
“Dia gugur. Janin tak lekat katanya.”
“Masya-Allah.” Ternyata ayah sedikit terperanjat. Diletak terus surat khabar tadi ke atas meja sambil memandang wajah ibu sebelum menyoal, “Dia kat mana sekarang ni? Awak tak ajak dia balik ke?”
“Dia tu dah berlaki, bang. Bukan tanggungjawab kita lagi. Lagipun dia gugur masa dekat rumah mertua dia. Jadi dia kata dia duduk sana sementara waktu ni. Nanti dah baik sikit dia balik sinilah,” balas ibu selamba.
“Isy, awak ni… Ini bukan soal tanggungjawab lagi atau tidak. Dia tu anak kita. Ni ha, tangan ni yang pegang dia sambil azankan,” leter ayah sambil menggeleng kepala dengan sikap ambil mudah ibu itu.
“Lagipun dia tu anak kita. Dia lebih selesa kalau kita yang uruskan dia dalam waktu-waktu macam ni. Macam awak dulu pun lebih selesa dengan keluarga awak. Sampai Aina lahir pun awak tetap nak keluarga awak yang jaga. Samalah macam along tu, takkan awak nak susahkan keluarga besan kita pulak,” leter ayah lagi.
Aku cuba ringankan kaki melangkah ke ruang dapursambil bergumam dalam hati. Kesian along. Tak jadilah aku dapat anak buah kalau macam ni…
Saat itu juga anak mata ibu memanahku terus membunuh perbualan antara mereka tentang along. Walaupun menyedari pandangan itu, tapi aku lebih selesa untuk bertaut dengan ayah dan kami membalas senyuman kecil.
Kalau bertentang mata dengan ibu, riak apa yang perlu aku pamerkan aku sendiri tidak tahu. Tersenyum, cepat-cepat menunduk atau apa? Lagipun dengan ekor mata aku masih boleh melihat pandangan ibu berlum beralih lagi. Diihatnya aku dari atas ke bawah. Diteliti dan aku faham apa yang dicarinya itu.
Aku cuba mengembalikan semula penampilanku yang dulu. Enggan mengikut apa yang diajar ibu sebelum ini. Tanpa sebarang solekan dan dandanan. Rambut yang panjang paras bahu itu lebih selesa aku ikat satu sahaja dan masukkan di celah cap yang aku pakai. Mungkin selepas ini aku akan potong pendek semula.
“Bukan kelas kamu tengah hari ke hari ni?” soal ibu yang memang sudah menghafal segala jadual aku.
Aku mengangguk dan menjawab, “Ya. Tapi Tisya sengaja keluar awal. Nanti tak adalah terkejar-kejar sangat.”
“Lah… kalau macam tu biarlah ayah hantar,” cadang ayah.
“Eh, ayah tak kerja ke hari ni?”
“Tak, saja ayah ambil cuti hari ni sebab ibu ajak pergi pejabat pendidikan.”
“Tak apalah, ayah, Tisya boleh pergi naik bas. Ayah berehat ajelah kat rumah,” ujarku menolak dengan sopan. “Tisya pergi dulu ya, ayah,” tambahku sambil menghulur tangan hendak menyalami ayah. Cepat aku pergi cepat juga aku dapat melarikan diri. Aku kenal perangai ayah, dia akan pujuk aku dan memberi pelbagai alasan sehingga aku menyerah kalah dan ikutnya.
Aku tahu, ayah sentiasa mahukan yang terbaik untuk aku.
“Eh, tak sarapan dulu ke?” soal ibu.
“Tak apalah, ibu. Lagipun perut tak sihat sangat…” bohongku enggan duduk semeja dengan ibu. Takut nanti disoal lagi.
“Kalau dah macam tu baik ayah hantar saja. Dengan beg gitar ni lagi, kan berat,” sampuk ayah yang masih mahu menghantarku.
Aku cuba menolak lagi. Aku enggan membebankan sesiapa. Lagipun sekarang baru pukul 9.00 pagi. Kebetulan ayah dan ibu tidak bekerja, biarlah mereka melakukan aktiviti dan berehat bersama. Soal berat atau tidak, ah… macamlah ayah tak tahu, inikan cita-cita aku. Segala itu bukan persoalan.
“Itulah, dulu ada tunang tolong hantar dan ambilkan kita buat perangai. Sekarang terpaksalah naik bas,” sindir ibu yang memang jelas masih marahkan aku.
Aku sekadar mengunci mulut sambil melepaskan nafas perlahan-lahan.
“Awak tu yang sibuk sangat suruh dia balik sini. Kalau dia duduk kat rumah sewa dia tu, tak adalah jauh sangat nak pergi kampus,” balas ayah cuba mempertahankan aku.
Aku cuba diamkan diri lagi dan cepat-cepat menyalami ibu sebelum melangkah menuju ke destinasiku. Aku enggan lagi mendengar semua pertengkaran itu. Mungkin dengan kesibukkan di luar sana mampu membuatkan aku lupakannya seketika.
SEBAIK sampai di ASM, langkah terus kuaturkan ke perpustakaan, bangunan lima tingkat yang membentuk seperti rebana ubi itu. Jam baru menunjuk ke angka 11.00 pagi. Masih ada satu jam sebelum kuliah berlangsung.
Ketika hendak meletakkan beg di rak yang disediakan oleh pihak perpustakaan, tiba-tiba aku terpandang sebuah beg yang memang aku kenali.
Haiza!
Ringan sahaja mulutku mengandaikan beg itu kepunyaan Haiza walaupun beg seperti itu bukan direka untuk Haiza seorang sahaja.
Aku terus melangkah ke tingkat atas, menuju ke ruang studi. Ya, jangkaan aku memang tepat. Kelibat Haiza yang duduk di satu sudut studi kelihatan. Perlahan-lahan aku melangkah dalam mencari keberanian. Sejak dia tahu tentang hubungan aku dengan Badri, dia memang tidak bersetuju. Dan sejak itu juga hubungan kami menjadi sedikit renggang dan kami jarang bersama.
Tambahan pula sebelum ini Badri yang menghantar dan mengambil aku selepas kuliah. Jadi aku tiada masa untuk bersama Haiza, satu-satunya sahabat baik aku di ASM. Lebih menampakkan pemberontakannya adalah ketika majlis pertunanganku, dia langsung tidak hadir walaupun aku mengharapkan kehadirannya. Meminjam kekuatannya yang dulu aku anggap dia lemah sebaliknya kini aku lebih lemah daripadanya.
Ah! Apa kena dengan kau ni, Tisya. Lupakan tentang semua tu. Lupakan tentang jantan tak guna tu. Persetankan tentang pertunangan tu, marahku kepada diri sendiri dan terus menghampiri Haiza. Langkahku terus dilajukan selaju otak yang cuba membuang perkara jijik itu.
“Boleh aku duduk sini?” soalku sambil berdiri bertentangan dengan Hazia.
Haiza memanggungkan kepala. Ada riak gembira seketika terlukis di wajahnya sebelum bertukar endah tak endah. Mungkin dia teringatkan kemarahannya.
Aku menanti penuh sabar. Aku tekad, selagi dia tidak menjawab, aku akan terus memaku kaki di situ. Dan Haiza tahu akan kedegilannya aku dengan dia berbanding dengan keluargaku.
“Duduklah…” ujarnya sambil menulis sesuatu di buku notanya.
“Kau masih marahkan aku?” soalku sambil memandangnya dan melabuhkan punggung bertentangan dengannya.
“Pasai apa hang tak boleh nak ketegaq dengan keluarga hang macam mana hang ketegaq dengan aku?” soal Haiza yang masih enggan memandangku.
Aku menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Kalaulah Haiza tahu apa yang dah berlaku, pasti dia akan marah.
“Kau masih marahkan aku?”
“Tak guna nak marah… benda dah jadi dan hang pun dah bertunang dengan dia. Hang yang sepatutnya marah aku sebab aku tak pi majlis hang. Majlis kawan baik aku sendiri,” balas Haiza. Kali ini barulah dia memandang wajahku.
Pandangan kami bertemu dan perlahan-lahan senyuman terlukis di wajah kami berdua yang mana kemudiannya bertukar menjadi ketawa pula. Ketawa yang masih boleh dikawal kerana kami sedar di mana kami berada sekarang ini. Tangan diunjukkan ke tengah meja dan bersambut lalu menggenggam dengan erat umpama sudah bertahun terpisah. Mungkin bagi Haiza ia sesuatu yang menggembirakan, tetapi bagi aku ketawa yang menyedihkan. Hatiku meronta-ronta untuk berkongsi segalanya dengan dia. Tapi…
“Aku tengok sekarang ni hang dah lain dah. Tengoklah rambut pun dah panjang, dah makin cantik. Mesti dia suka, kan? Mungkin betul dia yang terbaik untuk hang. Aku saja yang buruk sangka,” ujar Haiza lagi dalam sisa tawa.
Aku sekadar tersenyum, masih menyembunyikan perasaan yang satu itu sambil memperbetulkan kedudukan topi di atas kepalaku.
“Macam mana hang dengan dia? Bila nak kahwin?” soal Haiza lagi.
Aku masih tersenyum cuba menyembunyikan perasaan sebenar.
“Mana gambaq hang bertunang, tak nak tunjuk kat aku ka?” Ditujah lagi dengan persoalan.
Kali ini aku terpaksa bersuara. “Haiza, boleh tak kalau kita jangan cakap tentang hal tu?” pintaku.
Serta-merta kerutan mula terukir di dahi gadis bertudung itu. Aku cuba melarikan pandangan enggan dibacanya. Tapi dari ekor mata, aku lihat pandangan cerun Haiza, gadis lurus yang semakin matang itu.
“Ada apa-apa yang tak kena, ka?”
Aku sekadar menggeleng dan cuba menukar topik. “Tak adalah. Bukan apa, kitakan dah lama tak jumpa, jadi baik kita cakap fasal diri masing-masing. Eh, aku ada sesuatu nak tunjuk kat kau. Mesti kau tak percaya.”
“Tisya, aku kenai hang dah lama. Aku tau… kalau macam ni perangai hang, memang ada benda yang tak kena. Lagipun memang kita tengah cerita pasal diri masing-masing, kan? Cepat habaq kat aku, apa yang aku tak tau sebenarnya?”
“Mana ada apa-apalah. Eh, aku pergi ambil kejap tau. Aku tertinggal dalam beg,” ujarku seraya hendak bangun.
Sepantas itu juga Haiza menggenggam tanganku seolah menghalang langkahku.
“Baik hang habaq kat aku cepat, Tisya.”
“Kan aku dah cakap tak ada apa-apa. Kau tengok muka aku ni muka orang bermasalah ke?” dalihku lagi sambil ketawa di hujungnya.
“Memang muka hang tak, tapi perbuatan hang ya! Mana cincin tunang hang?” tekan Haiza yang masih menggenggam tanganku.
“TISYA, aku nak bercakap dengan kau sekejap.”
Muncul satu suara mengejutkan aku dan Haiza. Kami saling berpandangan dengan Fezrul. Aku sedikit terperanjat, apa pulak yang hendak dilakukannya di sini. Kalau boleh aku tak mahu libatkan dia lagi. Aku tak mahu nanti ibu berkata-kata lagi tentang dia. Aku tak mahu lagi dia menjadi topik utama ibu. Dia menjadi sasaran ibu untuk dipersalahkan sedangkan dia tak pernah melakukan kesalahan.
Tanpa menunggu sebarang jawapan, Fezrul terus hendak menceritakan segalanya. “Sebenarnya malam tu bukan macam yang kau sangka. Aku dengan Linda…”
Aku segera memintas. “Tak perlu nak terangkan apa-apa, Fezrul. Aku tak apa-apa pun.”
“Tapi kau kena…”
Sekali lagi aku memintas dan kali ini sedikit tegas. “Tak penting!”
“Apa ni? Habaq mai kat aku sat,” sampuk Haiza kebingungan yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“Kejap. Bagi aku bercakap dengan Tisya dulu boleh tak, Haiza?” pinta Fezrul perlahan. Cuba mengawal nada suaranya sambil memandang Haiza sebelum anak matanya beralih melihatku.
“Kan aku dah cakap, tak perlu. Aku tak nak dengar apa-apa pun. Kau boleh faham tak?” tegasku.
Mungkin buat masa ini aku tak perlu berjumpa dengan Fezrul atau mana-mana lelaki. Ah! Semakin terbelit dengan segala permasalahan ini.
“Sekarang hang dah dengaq, kan? Jom, Tisya,” sampuk Haiza belum sempat Fezrul memintas. Sepantas itu juga Haiza menarik tanganku dan membawaku ke tingkat bawah sebelum keluar dari perut bangunan berinspirasikan alat muzik tradisional itu.
Fezul hanya memandang kami dan tidak mampu hendak berkata apa lagi.
Perkara yang tidak diketahui Tisya
KERETA yang dipandu Fezrul berhenti di bahu jalan. Beratur bersama kereta-kereta lain berdekatan Downtown. Tiba-tiba dia terasa ingin ke situ. Seolah ada kenangan. Sebaik brek tangan ditarik, dia terus membuang diri keluar dari kereta. Langkahnya diatur mengelilingi deretan gerai-gerai kecil itu. Dia sengaja ke situ kerana di situ ada kenangan dia bersama Tisya yang mempu mengubat hatinya yang tidak keruan.
Tidak semena-mena langkahnya terhenti apabila merasakan ada seseorang sedang merangkul pinggangnya dari belakang. Segera dia menepis dan memandang tuan punya tangan itu. Linda Hangat! Dia terkejut.
“Awak buat apa kat sini sorang-sorang?” soal Linda Hangat sambil tersenyum.
“Saja jalan-jalan,” balas Fezrul kembali menapak.
Linda Hangat membuntutinya dan mereka berjalan seiring tanpa ajakan Fezrul.
“Kenapa tak datang kelas hari ni?” soal Linda Hangat sambil memaut lengan Fezrul.
Fezrul cuba melepaskan pautan itu, tapi Linda Hangat enggan. Semakin dikejapkannya lagi dengan wajah selamba.
“Tak sihat sikit…” balas Fezrul mahu tak mahu sambil memandang ke sebuah gerai baju.
Kesemua baju-T yang tergantung menarik perhatiannya. Hanya warna hitam dan putih kemudian ada tulisan ‘Saya Sayang Mak Saya’, ‘Bebas Ilusi Jiwa Artistik’ dan… tiba-tiba anak matanya terhenti pada baju yang tertulis, ‘Kau Aku Punya’.
Terdengar bunyi jeritan telefon sedikit mengejutkannya. Baru dia teringat sebentar tadi begitu sahaja termatinya SMS antara dia dan Tisya. Dia yang sedang memerhati baju-T itu segera menjawab panggilan walaupun dia tidak mengenali tuannya. Sebaik panggilan dijawab, kedengaran suara tangisan seorang gadis di corong sebelah sana sambil memanggil namanya.
“Fezrul…”
“Tisya. Tisya ke tu?” soal Fezrul cemas membuatkan Linda Hangat terkejut.
“Tolong… tolong aku, Fezrul.”
“Tisya, kenapa ni? Kau kat mana ni?”
Diam, tiada balasan daripada Tisya membuatkan Fezrul bengang. Dia terus menapak keluar dari kedai itu. Langkahnya terus dihayun menuju ke keretanya. Linda Hangat tercengang.
“Kau kat mana ni?” tengking Fezrul tanpa sedar.
Sebaik mendapat jawapan, Fezrul terus mematikan talian.
Linda Hangat mengejar dari belakang. “Kau nak pergi mana tu?”
“Kalau nak ikut, ikut ajelah!”
Linda Hangat segera masuk ke dalam kereta bersama Fezrul menuju ke destinasi yang tidak diketahuinya.
FEZRUL tersedar daripada lamunannya apabila terdengar sedikit bunyi keriuhan.
“Tak boleh jadi ni, aku mesti terangkan segalanya. Semua ni hanya salah faham!” tegasnya kemudian mengatur langkah mencari Tisya di sekeliling ASM.
Dia tidak mahu Tisya sangkakan dia ada hubungan dengan Linda Hangat sedangkan dia langsung tidak punya perasaan pun. Walaupun Linda Hangat teman sekelasnya itu selalu cuba menggodanya, tapi Fezrul tetap tidak cair kerana dia tidak sukakan perempuan sebegitu.
SEPERTI biasa, tandas yang jauh sedikit dari bilik kuliah menjadi tempat perbualan dan sesi luahan perasaan aku dengan Haiza. Tandas ini jarang digunakan oleh pelajar, kononnya dikatakan tandas kakitangan ASM.
Aku baru sahaja selesai menceritakan segalanya. Ternyata Haiza marah dengan apa yang aku katakan. Dan dia menyesal memuji Badri sebentar tadi. Kalau ikutkan marahnya, mahu sahaja dia bersemuka dengan ibuku cuba menegakkan segalanya. Tapi bagi aku, tiada penawar lagi untuk sembuhkan racun ibu melainkan masa. Apa pun, aku masih ada ayah yang mempercayai segalanya.
Lagipun semangat Haiza itu masih boleh dipertikaikan. Dia tu mula-mula aje over, bila dah berdepan mesti cair tunduk bumi.
“Hitam macam tu jangan nak berangan jadi orang putihlah. Nak bawak budaya sana konon,” bebel Haiza walaupun dia tahu Badri tidaklah sehitam yang dimaksudkannya. Lagipun Badri anak kacukan, Melayu dan Inggeris.
Aku sekadar tersenyum kecil.
“Habis tu macam mana pulak antara hang dengan Fezrul? Betul ke dia ada apa-apa dengan si Linda Hangit yang perasan hangat tu?” soal Haiza sedikit pedas mahu mengetahui pengakhirannya. Memang aku dan dia menggelarkan Linda Hangat sebagai Linda Hangit. Entah di mana hangatnya dia kami sendiri tidak tahu. Mungkin hangat pada tubuh badan, sebab itulah sentiasa pakai baju tak cukup kain.
Belum sempat aku menjawab, tiba-tiba jawapanku dipintas oleh seseorang. Dan yang peliknya suara itu suara lelaki. Kerutan di dahi hanya singgah untuk beberapa saat kerana aku sudah mula kenal akan suara itu. Siapa lagi kalau bukan si sengal!
Aku dan Haiza segera memandang ke pintu masuk. Kelibat Fezrul kelihatan.
Apakah sedari tadi dia berdiri di situ dan mendengar segalanya? Ah! Terasa seperti hendak pitam sahaja memikirkan perkara itu. Dalam masa yang sama hendak marah pun ada juga.
“Tak, aku dengan Linda tak pernah ada apa-apa. Kebetulan malam tu aku terserempak dengan dia dekat Downtown. Lagipun masa tu aku nak cepat dan panik. Tak sengaja dia pun ikut aku sama.”
Aku dan Haiza langsung tidak menghiraukan jawapannya itu. Kami sebenarnya terkejut kerana dia kini berada di dalam tandas perempuan. Apa-apa sahaja boleh terjadi kalau pegawai masuk.
“Hoi, hang buat apa kat sini? Pi keluaq, ni tandas perempuanlah. Kang nanti kita kena panggil dengan HEP pulak,” ujar Haiza menggelabah.
“Lantaklah. Ada aku kisah? Dah tadi aku nak terangkan dekat luar korang tak nak bagi, sekarang terimalah,” balas Fezrul tidak mahu kalah. Mungkin juga kerana dia tidak mahu mensia-siakan saat itu.
“Hoi, sengal! Keluarlah cepat,” marahku pula.
Baru aku hendak menolak tubuh Fezrul yang lebih tinggi daripada aku itu keluar, tiba-tiba muncul seorang pegawai wanita yang sememangnya kerek di hadapan pintu. Masa itu apa lagi yang boleh dibuat melainkan tepuk dahi.
“Awak buat apa dekat sini?” soal pegawai wanita itu dengan dagu sedikit mendongak. Kelopak matanya yang berat dengan eyeliner tebal suba dibuka seboleh mungkin.
Aku dan Haiza mula menggelabah, tetapi lain pula pada Fezrul. Dengan selamba dia menjawab, “Tak ada, puan, tadi saya dengar orang menjerit. Itu yang saya masuk tengok. Rupanya kawan saya si Tisya ni terjatuh. Itu yang saya masuk untuk tolong. Betulkan, Tisya?”
Aku mengetap gigi menahan marah. Dasar pelakon! Dengan tidak semena aku juga terpaksa berlakon. Dengan pantas aku memaut bahu Haiza dan berpura-pura memegang kaki. Haiza juga terus memegang aku.
Pegawai wanita itu memandang aku atas dan bawah sebelum kelopak matanya yang berat itu kembali ke wajahku.
Aku pun terpaksa mendramatikan lagi dengan memegang kaki sambil mengaduh dan membuat mimik muka menahan sakit. Ah! Bakat terpendam. Sambil itu aku melihat Fezrul yang tersenyum-senyum.
Siaplah kau, sengal. Aku tendang kaki kau nanti!
“Dah, kalau sakit pergi bilik rawatan. Dah tahu ini tandas kakitangan, yang sibuk nak guna kenapa? Lain kali kalau saya dapat tangkap lagi, siaplah. Ha, yang awak ni buat apa lagi kat sini? Tak reti-reti nak keluar?” ujar pegawai wanita itu sebelum menyembur Fezrul untuk menutup malunya.
Sambil melangkah keluar dari tandas, aku terpaksa berlakon dengan berjalan terjengket-jengket. Kalau tak mengenangkan lakonan aku ni, dah lama aku balas balik cakap pegawai kerek tu.
Saya tak nampak pun kat depan pintu tulis hanya untuk kakitangan sahaja! Ufh! Aku pun pelik dengan manusia ni. Suka sangat jadikan barang awam sebagai hak sendiri sampaikan tandas pun boleh jadi itu.
Nafasku berombak melihat Fezrul yang sudah melangkah laju beredar dari situ. Ni sorang lagi… Nak aje aku lari sambil tendang dia dari belakang. Wachaaa!!! Tapi mengenangkan aku sudah hampir terlampat untuk ke kelas, aku pendam dulu hasrat itu. aku anggap dia berhutang denganku.
Tunggulah sampai masanya nanti, akan terbalas juga.
“Yang hang jalan macam ni pasai apa lagi?” soal Haiza sedikit mengejutkan aku.
Aku pandang cara aku berjalan sebelum tersenyum malu. Buat apa aku berjalan sebegitu kononnya betul-betul aku jatuh dalam tandas tadi sedangkan tidak. Ah ni semua kau punya pasallah, sengal! Marahku tetap tidak mahu reda.
0 ulasan:
Post a Comment