Akan Datang - Detektif Cun

Selepas berbulan-bulan dipandang dingin, dan inilah hasilnya.
Terima kasih buat yang menyokong dan membakar semangat 'Hatta' kembali...
.
DETEKTIF CUN - PEMBONGKARAN KES PENCULIKAN AKHIL
(HATTA NUHARIS)
TERBITAN : FP (FP JUNIOR)
RM 10.90
.
.
Sikap dingin Akhil membuatkan Nurin rasakan sesuatu. Tambahan pula sejak kali pertama memijakkan kaki di Akademi Khas lagi lelaki itu sudah memandangnya semacam. Tapi Nurin tidak mudah menggelabah, dia tetap cuba mendekati Akhil walaupun Mulhim sudah memberitahunya akan perangai lelaki itu.
.
Akibat daripada rasa malu, kehilangan Akhil mula menjadi tanda tanya. Ke mana dia pergi sebenarnya? Dalam cuba membongkar kes yang kekurangan bahan bukti ini, mampukah Nurin mencari ke mana hilangnya Akhil? Mampukah Nurin dan rakannya menyelesaikan kes ini? Dan yang paling penting, mampukah Nurin menjernihkan persahabatan antara dia dan Akhil?
.
Ingin tahu jawapannya? Jom sama-sama kita menyiasat kes ini.

Disember Bulan Mereka

Selamat ulang Tahun Buat Mak, Fauzi dan Abg Dus


Permulaan Yang Baru

Masuk Panggung Lagi...

.
.
.

Detaktif Cun - Pembongkaran Kes Penculikan Akhil

BAB SATU
(TERPEGUN)
.
5 Disember
.
NURIN melangkah masuk ke dalam bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat subuh berjemaah bersama mama dan papanya. Pagi ini dia akan dibawa ke makmal untuk pemeriksaan. Kalau segalanya seperti apa yang diperkatakan Inspektor Zahrul, mulai tahun hadapan dia akan bersekolah di Akademi Khas. Tidak pernah terlintas di fikirannya dia akan mempelajari dua bidang yang amat diminatinya dalam satu akademi, sains dan penyiasatan.
.....Tiba-tiba Nurin teringatkan Nek Yam. Langsir biliknya diselak. Rumah itu gelap sahaja. Memang dia sudah diberitahu yang kini Nek Yam tinggal bersama anak sulungnya. Anak-anaknya tidak mahu lagi peristiwa itu berulang. Nurin memanjatkan seribu kesyukuran kerana berjaya menyelamatkan Nek Yam.
.....Dia kembali menuju ke mejanya. Beg sandang yang berada di atas kerusi diambil. Dikeluarkan segala isi di dalam beg itu sebelum disusun semula. Dia hanya membawa apa yang patut.
.....Tak sabar nampaknya,” usik Mulhim tiba-tiba, membuatkan Nurin sedikit terperanjat.
Tetapi kemudian dia tersenyum sebelum menutup kelopak matanya dan berbual dengan Mulhim menggunakan telepati.
.....“Tak adalah, sebenarnya takut juga…” ujar Nurin berkongsi rasa dengan sahabat telepatinya.
Kes Nek Yamlah yang menemukan mereka secara bersemuka, jika tidak mereka hanya berhubung seperti ini.
.....“Tak ada apa yang nak dirisaukan, Nurin. Awak kan Detektif Cun. Belum awak masuk akademi lagi dah digelar detektif. Cemburu saya tau tak.”
.....“Alah, mengadalah awak ni. Bajet saya nak panggil awak Detektif Kacaklah tu. Jangan mimpilah…” balas Nurin berseloroh.
.....“Awak tak cakap pun saya rasa saya dah memang kacak.”
......“Perasannya,” ujar Nurin, kemudiannya mereka ketawa bersama.
......"Awak, nak tanya sikit ni. Nanti agak-agak awak soalan apa yang dia tanya ya? Awak kan dah berpengalaman,” soal Nurin ingin tahu. Risaunya seolah hendak mengambil PMR buat kali kedua.
......“Tak nak cakap. Awak tunggulah nanti,” ujar Mulhim sengaja mengusik Nurin.
......“Ooo… kedekut ilmu ya? Tak apa, ada lori ada bas, ada hari saya balas.”
......Mulhim ketawa kecil sebelum menjawab, “Berdendam nampak. Tak ada soalan pun yang ditanya. Awak janganlah risau sangat. Okeylah, saya terpaksa pergi dulu. Selamat berjaya. Saya tunggu awak.”
.....“Terima kasih,” balas Nurin sebelum membuka kembali kelopak matanya. Nafas ditarik sedalam yang boleh sebelum dihembuskan.
Kini dia bersedia.
.
KERETA yang dipandu Encik Mahmud terus melalui lorong yang sedikit sempit itu menuju ke makmal. Sambil itu Nurin memandang sekeliling. Nalurinya kuat mengatakan yang dia pernah sampai ke tempat ini. Dia cuba mengagak keluasan kawasan itu tetapi gagal.
......Yang memelikkan, kenapa makmal itu terletak begitu jauh. Rasanya sudah jauh mereka tinggalkan pintu masuk yang mana dikawal rapi itu. Namun begitu, Nurin tetap bersikap tenang. Tetapi tidak wajah Puan Riana.
......“Kenapa macam pelik sangat tempat ni, abang? Betul ke?”
......“Saya pun tak tahu. Lagipun dari tadi jalan lurus saja, mana ada simpang ke mana-mana. Betullah tu,” balas Encik Mahmud.
......"Betul jalan ni, papa, mama,” sampuk Nurin, membuatkan dahi Puan Riana dan Encik Mahmud sedikit berkerut. Mereka cepat-cepat bertanya.
......“Nurin pernah datang tempat ni ke?” soal Puan Riana dan Encik Mahmud hampir serentak.
,,,,,,Nurin menggeleng dan tersenyum.
Encik Mahmud sekadar melihat perilaku anaknya itu menggunakan cermin pandang belakang. “Habis tu macam mana Nurin tahu?”
......“Inspektor Zahrul yang cakap.”
......Jawapan Nurin itu membuatkan sekali lagi terlukis kerutan di dahi mama dan papanya. Tetapi hanya seketika kerana kini mereka sudah memahami walaupun sedikit. Dan… mereka harus mempercayainya juga.
.....Akhirnya mereka sampai juga ke destinasi yang dituju. Kelihatan satu pintu gerbang yang tak kurang besarnya menyambut kehadiran mereka. Dan tidak jauh dari situ berdiri Inspektor Zahrul.
.
MELIHAT bangunan itu sedikit pun tidak membuatkan Nurin teruja. Malah dia berasa pelik. Kenapa bangunan ini tidak seperti di dalam cerita aksi yang dilihatnya? Penuh dengan teknologi. Bangunan yang lain daripada yang lain dari rekaannya.
.....Tapi sangkaan Nurin meleset sama sekali. Sebaik melangkah masuk, mulutnya sedikit ternganga. Tertawan hatinya seketika. Reaksi Encik Mahmud dan Puan Riana usah ditanya, lebih daripada Nurin keterujaan mereka.
.....Rupanya bangunan itu di luar sahaja nampak klasik, tetapi di dalamnya tidak mampu diucap dengan kata-kata. Seperti ada pepatah yang mengatakan, jangan menilai buku dari kulitnya.
.....“Jom, kita ke sana. Doktor Wahida dah tunggu kita kat sana,” ajak Inspektor Zahrul kemudian menuju masuk ke satu lorong.
.....Melalui lorong itu mereka akan bertemu dengan beberapa buah pintu di kiri dan kanan mereka. Tapi kelebihan Nurin membuatkan dia tahu yang sebenarnya itu bukan pintu tetapi hanya lukisan yang menyerupai pintu untuk mengaburi mata penceroboh.
.....Tiba-tiba langkah Inspektor Zahrul terhenti. Kini dia berdiri di hadapan sebuah pintu antara puluhan yang lain. Terdapat sebuah kotak kecil merah di sisi pintu itu. Inspektor Zahrul merapatkan batu cincin yang dipakainya ke arah kotak berwarna merah itu dan kemudian pintu itu terbuka.
.....Keterujaan Nurin semakin meninggi. Dia seolah tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Tapi ada sesuatu yang mengganggunya sejak tadi. Kini dia terus meluahkannya.
......“Saya rasa saya pernah datang kawasan ni, Inspektor Zahrul. Dekat dalam kawasan ni ada makmal forensik, kan?” ujar Nurin tanpa menunggu balasan daripada Inspektor Zahrul.
......Sambil melangkah beriringan dengan Nurin, Inspektor Zahrul membalas, “Tajam deria ingatan awak. Betul, kawasan ni luas dan di dalam kawasan ni juga ada makmal forensik yang pernah Nurin dan Mulhim datang.”
......Kini senyuman meniti bibir Nurin. Namun begitu otaknya ligat memikir sesuatu.
......“Kalau balai polis, makmal forensik, maktab polis, Akademi Khas semua kat dalam satu kawasan, tak ke ianya dah dikira bonus bagi orang yang dengki atau yang nak musnahkan negara kita? Sekali bom, patah satu sayap pertahanan. Tak ke kita yang bagi jalan mudah kepada pihak lawan?” soal Nurin membuatkan Inspektor Zahrul pula yang tersenyum. Dia tahu pemikiran Nurin sebenarnya lebih daripada itu.
......Inspektor Zahrul memandang Encik Mahmud dan Puan Riana yang berjalan di belakangnya.
“Lihat, ada ke budak yang sebaya dengan Nurin memikirkan hal yang macam ni?” soalnya membuatkan mama dan papa Nurin tidak tahu hendak berkata apa melainkan, “Ya”.
......Bebola mata Inspektor Zahrul disapu ke wajah Nurin kembali. “Sebenarnya perkara itu memang sudah lama difikirkan dan memang sengaja kesemua ini dibina dalam satu kawasan yang luas, yang mana Akademi Khas merupakan pusat bagi kawasan ini.
......“Kawasan ni luas, jadi tak mungkin akan ada tentera dari negara mana pun boleh mengepung kawasan ni dengan bilangan askar yang seramai mana pun. Kalau ada yang nak bom pula, sebenarnya ada beberapa tempat yang dah dizonkan sebagai ruangan magnetik. Sebarang alatan lain yang muncul di dalam kawasan ini yang bersifat letupan, serta-merta kuasa alatan tersebut akan ditarik oleh magnetik ini.
......“Tapi ada yang bahaya juga. Kalau salah satu daripada magnetik tu gagal berfungsi, letupan yang berlaku di zon tertentu akan dibawa ke zon lain juga. Biasalah, ciptaan manusia tak semuanya sempurna. Yang penting doa,” terang Inspektor Zahrul panjang lebar.
Sebenarnya perkara itu tidak boleh diketahui oleh semua pihak walaupun mereka orang penting di dalam akademi itu. Tetapi Inspektor Zahrul percayakan Nurin. Anak gadis itu bukan seorang yang mudah menggelabah walaupun pistol diacu ke kepala.
Nurin mengangguk. Dalam diam dia mengagumi kerja keras mereka yang mencipta ruang keselamatan itu.
......“Kat dalam ni tempat pemeriksaan,” ujar Inspektor Zahrul memberitahu Encik Mahmud dan Puan Riana sebelum menyambung lagi. “Saya mintak Encik Mahmud dan Puan Riana rahsiakan apa yang encik dan puan lihat di sini. Semua ini sebahagian daripada rahsia keselamatan negara kita.”
......Melihat anggukan kedua ibu bapa itu, Inspektor Zahrul tersenyum. Dia tahu yang Encik Mahmud dan Puan Riana orang yang baik.
......Sebaik melangkah masuk ke dalam pintu yang seterusnya, Nurin berasakan dia seolah berada di dalam dunia yang lain. Sebenarnya dia masih berada di bumi yang nyata. Mungkin juga kerana sejak tadi mereka tidak berselisih dengan sesiapa membuatkan dia berfikiran sebegitu.
.....Kini mereka berdiri di kawasan yang sedikit lapang dan kelihatan juga beberapa orang sedang membuat kerja dan ada yang sedang menunggu di kawasan sofa yang disediakan. Dari situ, kelihatan juga seorang wanita dalam lingkungan 50-an melambai ke arah mereka.
.....“Itulah Doktor Wahida,” beritahu Inspektor Zahrul sebelum melangkah.
.....Melihat wajah Doktor Wahida, resah hati Nurin bertukar tenang.
.....“Jemput duduk, encik, puan,” ujar Doktor Wahida setelah bersalaman dengan Puan Riana dan Nurin. Wajah wanita yang bersifat keibuan itu tidak lekang dengan senyuman.
.....“Jadi, anaklah yang datang untuk pemeriksaan tu?” soal doktor berjubah putih itu.
.....Nurin mengangguk sambil menjawab, “Ya, saya, doktor.”
.....“Jangan panggil doktor, panggil bonda. Kat sini semua panggil doktor bonda. Terutama yang sebaya macam Nurin,” terang Doktor Wahida kemudian memandang wajah Encik Mahmud dan Puan Riana yang duduk di hadapannya.
.....Sebelum memulakan bicara, dia sempat memandang Inspektor Zahrul yang duduk bersebelahan dengannya. Melihat anggukan inspektor muda itu, Doktor Wahida tahu yang Inspektor Zahrul memberitahu kini adalah masanya.
.....“Boleh saya bawa Nurin ke dalam? Encik Mahmud dan Puan Riana duduklah di sini. Sambil itu, ini, serba sedikit secara ringkasan tentang anak indigo. Pihak kami tahu kalau ditulis dalam perenggan yang panjang dan penerangan yang meluas, susah untuk orang biasa memahaminya. Jadi saya harap encik dan puan dapat memahaminya. Saya minta diri dulu. Mari, Nurin, Zahrul,” terang Doktor Wahida sebelum mengajak Nurin dan Inspektor Zahrul ke dalam makmal.

Selambak

Selambak? Apa yang selambak ni? Kalau nak tahu, itulah n3 saya untuk kali ini. Saya rangkumkan perjalanan minggu lepas menjadi 1 n3.
.
.:JUMAAT:.
.
Dengan ahli seramai 8 orang, termasuk Hanny Esandra,
ahli baru yang menjadi bahan, kami menonton New Moon.
Tengok opening pun dah teruja inikan pula kandungannya.
Ah tak sebar betul nak tunggu tahun depan.
Kurang asam jawa betul ending dia!
.
.
.:AHAD:.
.
Dah lama rasanya tak pergi Jom Heboh.
Rasanya last pergi pun ngan famili dan masa tu masih lagi Sure Heboh.
Ahad lepas keluar dengan Fieda yang tak habis-habis menyesal
kononnya menyusahkan saya. Jadi kami pun apa lagi,buatlah tawaf.
Kaki ni dah lama sangat rasanya tak berjalan jauh, cam nak pancit la jugak.
Petang tu dahbalik rumah boleh pulak ajak
Wandi pergi BB jalan-jalan lagi. Huh! Memang kerja gila.
Malam tu jalan lagi pergi Downtown. Lagipun nak jumpa
Aween dan BF dia kat sana. Jadi lepas Wandi dah balik dengan Aween dan BF dia, saya pun balik rumah dan tidur sepuasnya tanpa gangguan. Usah ditanya pukul berapa bangun (",)
.
.
.:Buku Lagi:.
.
Jangan terkejut tengok buku yang saya beli ni dan jangan pulak tafsir saya sedang mengubah. Tapi akan datang tak tahulah sebab itu kerja Allah. Tapi memang dah lama sangat nak beli empat buku ni. Tapi bila dah dapat...
Huh! Nak mulakan dengan yang mana satu ni?
.

Detektif Cun

Anda mungkin pernah membaca cerita ini dan mungkin mahu mengetahui penyiasatan yang seterusnya. Khas buat Hanny, Izati dan pembaca lain yang ternanti siri Detektif Cun yang seterusnya, aku akan cuba memuaskan hati semua. Terimalah...
.
* * * * *
.
DETEKTIF CUN : PEMBONGKARAN KES PENCULIKAN AKHIL
-HATTA NUHARIS-
.
Prolog
(Detektif Cun)
22 Disember
.
NURIN berdiri sambil bersandar di balik dinding. Telinganya cuba dibesarkan seboleh mungkin dan cuba mendengar perbualan itu. Mungkin benar apa yang diperkatakan Mulhim. Sebenarnya dia bukan mempunyai telinga lintah, tapi kelebihan yang ada pada dirinya membuatkan dia mampu mendengar dengan jelas.
......Kepalanya cuba dikeluarkan sedikit sambil mengintai dari tangga. Kelihatan mama dan papanya, Puan Riana dan Encik Mahmud sedang berbual dengan Inspektor Zahrul. Memang sudah adat yang dipelajari keluarganya, andai orang tua berbual, anak kecil sepertinya harus beredar. Jangan menyampuk kerana itu kurang sopan namanya. Itu yang selalu diingatkan mamanya.
......Tapi masalahnya sekarang ini, dia harus mendengar juga. Dia mahu mengetahui kerana tiga batang tubuh di ruang tamu rumahnya itu sedang berbual tentangnya. Tentang anak muda yang bakal menginjak usia 16 tahun.
......Dia baru sahaja pulang ke rumah ditemani Inspektor Zahrul. Memang seperti apa yang dijanjikan. Walaupun sibuk dengan tugas, namun Inspektor Zahrul harus bertemu dengan Puan Riana dan Encik Mahmud untuk menerangkan duduk perkara sebenar.
......“Seperti apa yang saya perkatakan sebelum ini, sebenarnya Nurin anak istimewa. Dia mempunyai kelebihan yang tidak apa pada orang biasa seperti kita,” ujar Inspektor Zahrul.
......“Eh, tapi masa saya lahirkan dia, doktor cakap semuanya sempurna. Tak ada apa-apa masalah pun. Dia membesar pun macam kanak-kanak yang normal. Macam mana inspektor boleh cakap macam tu pula?” soal Puan Riana yang masih kebingungan. Dia dan suaminya berpandangan seketika dan kelihatan juga kerutan halus terlukis di dahi mereka.
......Inspektor Zahrul sekadar tersenyum sebelum menjawab. Perkara seperti ini sudah biasa baginya. Lagipun perkara pelik seperti ini tidak ramai yang tahu. Tapi anugerah Tuhan ini seharusnya dijaga, takut disalahgunakan.
......“Begini, Puan Riana, Encik Mahmud. Sebenarnya kanak-kanak istimewa yang saya maksudkan itu bukanlah bermaksud Nurin mengalami kecacatan mental atau fizikal. Tapi dianugerahkan kelebihan deria yang dipanggil deria keenam atau dalam istilah lain anak indigo.”
......“Anak indigo? Maksud inspektor?” soal Encik Mahmud pula yang masih kebingungan. Kerutan di dahi semakin jelas kelihatan.
......Nurin melepaskan keluhan berat. Mungkin benar juga adat orang lama-lama yang diterapkan kepadanya. Rasanya kalau dia duduk di situ, sudah lama dia menyampuk dan menerangkan perkara sebenar kepada papa.
......“Indigo adalah anak-anak yang mempunyai lebih daripada lima deria. Tahap IQnya juga lebih tinggi daripada kita. Contoh yang mudah untuk saya terangkan seperti anak encik dan puan, Nurin,” beritahu Inspektor Zahrul sebelum berhenti mengambil nafas.
......“Dia tak pernah belajar ilmu penyiasatan betul tak? Tapi kerana kelebihan yang ada padanya itulah yang membuatkan dia dapat menyelesaikan kes Nek Yam. Dan… Encik Mahmud dan Puan Riana tak pelik ke seawal usia tujuh tahun Nurin dah boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan lancar berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya?” terang Inspektor Zahrul memanjang lebarkan lagi penerangannya dan diakhiri dengan soalan.
......Memandangkan Encik Mahmud dan Puan Riana terdiam seolah baru menyedari sesuatu yang tidak pernah mereka fikirkan secara luas sebelum ini memberi peluang kepada Inspektor Zahrul menyambung lagi kata-katanya.
......“Untuk pengetahuan Encik Mahmud dan Puan Riana, sebenarnya kerajaan kita ada menubuhkan institusi khas untuk melatih anak-anak yang kita kesani mempunyai kelebihan seperti Nurin. Adalah lebih elok sekiranya Nurin dimasukkan ke dalam Akademi Khas dan keselamatannya lebih terjaga. Kalau dia bebas begini, saya takut orang jahat akan menggunakan kelebihan Nurin untuk kepentingan mereka.”
......Encik Mahmud dan Puan Riana mengangguk walaupun mereka belum faham sepenuhnya.
......“Boleh tolong panggilkan Nurin?” pinta Inspektor Zahrul tiba-tiba membuatkan Nurin terkejut.
......Dahi Puan Riana dan Encik Mahmud berkerut sedikit. Namun Encik Mahmud tetap menurut kata Inspektor Zahrul.
......“Nurin…” laung Encik Mahmud dari ruang tamu kemudian dia memandang gelas berisi air di atas meja yang belum disentuh Inspektor Zahrul lagi. “Jemput minum dulu, inspektor,” pelawanya.
......Nurin menarik nafas sedalam yang boleh sebelum menapak menuju ke arah ruang tamu.

Terima Kasih

Sampul surat berlogo DBP di dalam peti pos menjadi tanda
tanya saat saya membukanya.
Dan butirannya, nashkah TC Bulan Dis.
Hurm... rupanya puisi yang saya cipta 2 tahun lepas,
Daripada Teman Buat Teman tersiar.
Alhamdulillah, walaupun saya sendiri akui puisi itu
terlalu lurus (bodoh-bodoh) tetapi masih dibuka pintu untuk disiarkan.
Terima kasih DBP, tahun ini sudah dua puisi saya tersiar.
Hurm tahun depan macam mana pulak ya?
Tak buat apa-apa lagi pun... Cayoik!!!

Bertukang Mood / Mood Bertukang

Semalam wajah lain dan hari ni wajah lain.
Itulah blog a.k.a khemoh aku ni.
Sekarang ni mood mudah benar berubah.
Sebenarnya mood aku yang sedang
bertukang atau aku sedang bertukang khemoh ni?
 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon