Pengarah Muda, Liew Seng Tat

Abad ini menyaksikan penambahan filem Melayu daripada pelbagai genre menghiasi persada seni perfileman tanah air. Walaupun tidak setanding India atau Bollywood yang mengeluarkan lebih 1,000 judul filem setahun, walau bagaimanapun industri harus berbangga dengan pembabitan penerbit seperti David Teo yang sentiasa memberi peluang kepada pengarah-pengarah muda.

Dipetik daripada Berita Harian, artikel Pengarah Muda Galas Tugas Tingkatkan Mutu Filem (14.4.2010), pengarah filem merupakan satu tanggungjawab yang paling berat sepanjang menyiapkan sesebuah karya audio visual. Suatu ketika dulu, tanggungjawab ini digalas hanya oleh insan yang benar-benar berpengalaman dalam selok-belok dunia perfileman tempatan.


Nama seperti Pier Andre, Norliana Samsudin, Farid Kamil dan Syamsul Yusof adalah antara pelapis yang membenarkan penonton menyelami idea segar mereka. Mungkin karya mereka tidak sehebat Allahyarham Yasmin Ahmad yang karyanya lebih bersifat naturalistik atau mungkin juga disebabkan faktor usia muda menjadikan mereka individu yang degil. Dek kerana kedegilan itulah mereka mampu menggalas tanggungjawab seberat itu. Tapi persoalannya bila mereka akan meletakkan karya mereka sehebat karya sifu mereka yang terdahulu.

Di celah-celah kehadiran pengarah muda, mungkin ramai yang tidak mengenali Liew Seng Tat yang pada saya dia merupakan seorang pengarah yang ada iras seperti Allahyarham Yasmin Ahmad atau boleh juga dipanggil pengganti arwah. Box-office bukan hala tujunya sebaliknya keberkesanan dan penyampaian di dalam ceritanya. Buktinya, walaupun masih muda namun Liew Seng Tat berjaya meletakkan namanya sebaris dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, Ho Yuhang, Amir Muhammad, Nam Ron dan ramai lagi menerusi filem pendek Halal (26 Ogos 2009) dalam 15 Malaysia. http://15malaysia.com/films/halal/

Tugas sebagai seorang pengarah bukanlah mudah tetapi telah digalas buat pertama kalinya menerusi filem pendek Bread Skin With Strawberry Jam dan membuahkan hasil apabila berjaya memenangi hadiah utama Anugerah Video Malaysia Ke-8 pada tahun 2003. Filem pendek keduanya iaitu Not Cool juga berjaya meraih anugerah yang sama pada tahun berikutnya. Sudah jelas pengarah muda ini punya magisnya yang tersendiri. Tidak cukup dengan itu, filem pertamanya, Flower In My Pocket (2007) juga berjaya memenangi pelbagai anugerah dan hadiah di pelbagai festival termasuk Busan, Rotterdam, Fribourg dan Pesaro.


Diambil menerusi laman web http://www.filemkita.com, lakon layar yang baik akan menjelmakan visual pada penghayatan siapa yang membaca naskhah itu. Elemen visual dalam naratif dan pelukisan teks mampu dihadirkan bersama susunan pada setiap adegan. Maka tugas pengarah ialah memberikan elemen visual kepada naratif lakon layar dan menyampaikan teks itu dalam bentuk visual kepada penonton.


Keberkesanan Liew Seng Tat dalam aspek ini dapat dilihat dalam setiap hasil karyanya. Walaupun tema cerita yang diarahnya terlalu ringan atau agak sensitif seperti yang dapat dilihat dalam filem pendek Halal namun sebagai penulis dan juga pengarah bukan Melayu, dia berjaya menjadikan isu sensitif dan serius itu sebagai sebuah komedi. Dipetik daripada Youtube, Interview with Liew Seng Tat (The Real Director) dia mengatakan dalam setiap arahannya, dia mahukan penonton turut sama mengambil peranan dan bukannya sekadar duduk dan menonton. Ini kerana setiap apa yang dilakonkan itu umpama melakonkan kehidupan sebenar kita. Terjadinya filem pendek Halal adalah apabila ibu pengarah muda ini menganggap makanan yang haram dimakan oleh orang Islam adalah babi sahaja. Oleh itu sebagai anak, Liew Seng Tat mengambil peranan dengan menerangkan kepada ibunya menerusi filem pendek itu.


Diambil daripada buku Kritikan sastera Melayu Moden, Mana Sikana (2006:365), Satu penyelidikan yang telah dijalankan mendapati bahawa 80 peratus pembaca terpesona kepada sesebuah karya kerana ia menarik dan mempunyai isi yang baik. Tegasnya, keseronokan itu berdasarkan penilaian baik buruknya cerita, tinggi rendahnya mutu cerita dan kuat lemahnya kesan cerita. Apabila nilai sesebuah karya itu berdasarkan ceritanya, secara tidak langsung aspek-aspek seperti bahan, logika dan perutusannya menjadi subjek yang dibincangkan. Kemudian cerita itu dikaitkan dengan isi, tujuan isi atau cara cerita itu disampaikan. Tanpa disedari itulah yang dinamakan moral dalam karya sastera.


Kesimpulan yang dapat dibuat, walaupun bukan sebagai salah seorang pengarah muda yang dikenali juga bukan berbangsa Melayu, namun Liew Seng Tat masih menekankan unsur moral di dalam setiap hasil karyanya malah berani menulis juga mengarahkan cerita yang bisa menjadikan sensitiviti perkauman. Seperti Allahyarham Yasmin Ahmad, Liew Seng Tat juga tidak terikat dengan cerita berdasarkan bangsa mahupun agamanya sahaja sebaliknya malah tidak mementingkan populariti. Walaupun tidak diangkat di negara sendiri, namun kejayaannya dalam industri dijulang dalam anugerah luar negara.

4 ulasan:

Unknown said...

hang buat kerja kursus ke ni? letak sini? hehehe. apa cite mamat ni? PM link kat FB ako.

Unknown said...

yup aku bt... dh sumbit kt letc pun.

Izanor said...

Oh, buat kerja kursus rupanya. Pelik juga bila tiba-tiba ada catatan yang berkonsepkan ini di blog Rehal Nuharis. Hehehe!

Apa pun, satu catatan dan info yang bagus. Tadi, terfikir nak blogwalking sekejap, klik dan klik beberapa blog. Singgah ke sini, ingatkan sudah tercicir banyak benda. Rupanya dia pun lama tak update. Ces:D

Unknown said...

Mesti K.Izanor terkejut kan, tiba-tiba ilmiah sikit.

Sebenarnya saya yang tercicir banyak benda. Lama tak updade blog, blogwalking pun tidak, apa buku baru pun tak tau sebab tak sempat nak menjenguk. Sem ni sangat sibuk, sem depan entah macam mana la.

Apa pun tq sebab sudi singgah :)
Rindu nak borak2. Tak sempat nak pergi banglo pink hari tu, banyak sangat assigment :(

 
Rehal Nuharis Blog Design by Ipietoon