Seronok ke jadi glamor ni? Masa saya dekat ASK dulu sampai sekarang dia tak sudah-sudah nak jadi glamor. Tiap kali kalau berbual dengan dia, mesti perihal glamor ini tak akan terlepas dari mulut dia. Tak kurang juga kawan-kawan lain sama ada sewaktu praktikal, kerja, sekolah dan yang langsung mahupun tak langsung.
.
Sebenarnya saya pelik, apa yang seronok sangat jadi glamor ni? Pada saya tak seronok pun jadi glamor terutama yang berkaitan dengan dunia hiburan. Ke sana ke sini cerita mengenai kita akan didengari. Yang paling menyakitkan segala perbuatan baik buruk kita sebelum lahir sehingga dikebumikan akan dicungkil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab walaupun sebenarnya mereka sekadar melakukan tugas atau tanggungjawab mereka. Tapi pernah mereka memikirkan tanggungjawab dengan Tuhan? Saya tak kata semua wartawan menulis dari apa yang didengarinya sahaja, tapi kebanyakkannya. Sebelum menulis, fikir dahulu baik buruknya, samalah juga kita manusia biasa. Lainlah kalau hendak mempertahankan diri kita. Kalau tak percaya, ikuti luahan hati ibu Yasmin.
DILAHIRKAN WANITA
.
SUBANG JAYA: Pengarang dan wartawan sebuah akhbar tabloid (bukan terbitan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd) yang terbabit dalam penyiaran artikel kontroversi mengenai Allahyarham Yasmin Ahmad pada 27 Julai lalu, diminta memohon maaf kepada keluarga pengarah iklan dan filem itu secara bersemuka.
.
Ibu Yasmin, Inom Yon, berkata mereka juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kesilapan itu.
.
Dia berkata, tindakan undang-undang boleh dielak jika pengarang dan wartawan akhbar itu datang menemuinya sekeluarga serta membuat permohonan maaf secara terbuka.
.
Menurutnya, artikel yang ditulis dan disiarkan tanpa fakta tepat serta menggunakan sumber maklumat diragui itu menjejaskan nama baik pengarah terbabit dan mereka sekeluarga.
.
“Sehingga hari ini mereka belum datang bertemu kami. Yang datang sebelum ini cuma pegawai atasannya dengan membawa bersama surat permohonan maaf daripada syarikat penerbitannya. Kami tidak menyalahkan akhbar itu, begitu juga syarikat penerbitannya.
..
“Akhbar itu sudah memohon maaf pada muka depannya Khamis lalu dan menjelaskan apa yang berlaku, tetapi bagaimana pula dengan pengarang dan wartawan terbabit. Mereka sepatutnya bertanggungjawab, tetapi sampai sekarang mereka belum datang,” katanya pada sidang media di rumahnya, di sini, semalam.
.
Hadir sama, bapa Yasmin, Ahmad Hashim dan adiknya, Datin Orked dan Muzaffar Syah.
.
Inom berkata, beberapa rakan Allahyarham menasihatinya supaya tidak meneruskan tindakan mahkamah kerana bimbang masyarakat menganggap bukan-bukan.
.
Namun, baginya, cadangan mengambil tindakan undang-undang bukan disebabkan soal wang, sebaliknya lebih kepada usaha menjaga nama baik Yasmin.
.
“Ada peguam menghubungi saya memberitahu kes ini memang ‘kuat’ dan boleh dibawa ke mahkamah. Sebenarnya tindakan ini bagus juga sebagai pengajaran supaya jangan ada lagi yang memandai-mandai tulis berita dan buat kontroversi tanpa usul periksa.
.
“Ingin saya bertanya pengarang dan wartawan terbabit, apa nawaitu sebenar mereka menulis, seterusnya menyiarkan artikel berkenaan? Berapa pasti mereka setiap maklumat yang diperoleh itu tepat dan sahih? Mereka sedar ke tidak berapa besarnya impak artikel itu terhadap maruah Yasmin dan kami?
.
“Berani buat, berani bertanggungjawab. Mengapa mereka perlu takut bertemu saya, ayah Yasmin dan adik-beradiknya. Si pengarang dan wartawan itu tahu ke apa yang sebenarnya berlaku... jangan pandai-pandai membuat andaian yang akhirnya mengelirukan orang ramai,” katanya.
.
Inom berkata, jantina anaknya tidak sepatutnya dijadikan isu seperti hangat diperkatakan orang ramai ketika ini kerana Allahyarham dilahirkan sebagai wanita.
.
“Yasmin dilahirkan sebagai wanita, mengamalkan cara hidup wanita dan meninggal sebagai wanita. Malah semua dokumen mengenainya ada kami simpan, termasuk surat daripada Majlis Fatwa. Jadi mengapa dan kenapa perkara ini dijadikan isu sensasi,” katanya.
.
Yasmin, 51, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 11.25 malam, 25 Julai lalu, selepas dua hari koma akibat serangan angin ahmar.
.
p/s : Sepatutnya kita mendoakan perjalanannya lancar ke alam lain. Bukan membuka 'aib'. Berani kerana benar, dan berani buat, berani tanggung.
0 ulasan:
Post a Comment